Midnight Fusic Forevermore 2025 Satu Permulaan

Sebuah konsert solo perdana dan terbesar daripada band rock alternatif ini.
Oleh RUMI
“RANCANGAN ini bukan hanya satu lagi gig, ini adalah lembaran baharu untuk Midnight Fusic,” kata Arif, vokalis dan pemain gitar band indie berkenaan mengenai Midnight Fusic Forevermore 2025, konsert solo perdana dan terbesar mereka pada 14 September nanti.
“Kami membawakan senarai set, lagu dan visual baharu – keseluruhan pengalaman adalah sesuatu yang segar. Saya benar-benar teruja untuk berhubung dengan peminat kami dengan cara baharu ini. Saya tidak sabar untuk bersama-sama dalam satu ruang dengan peminat kami di mana semua orang boleh berkumpul sebagai satu dan berkongsi perjalanan kami.”
Dibawakan olej Oyollo Asia, konsert ini akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur.
Band yang ditubuhkan di Petaling Jaya, Selangor ini dianggotai empat anak muda, iaitu Arif Kamarudin dan Adrian Danial, kedua-duanya bagi vokal dan gitar, selain Firdaus Azmi (bass), dan Muaz Rabbani (dram).
Dikenali, antaranya dengan lagu Caramel Cream dan Lovesick, sebelum mengejutkan peminat dengan single Melayu pertama, Sandiwara, band ini meraikan tahun 2025 mereka dengan EP, Modus Operandi.
Ujar Arif, 14 September sememangnya momen yang sama-sama ditunggu dan diimpikan mereka selama ini atas kecintaan mereka terhadap muzik dan sebagai apresiasi terhadap sokongan para peminat.
Celah Muaz pula, “Saya fikir ia adalah kerana keseluruhan konsep seperti kami membuat persembahan untuk peminat. Kami kembali dengan konsert ini, sekali lagi, dengan lebih banyak lagu baharu. Kami menyusun senarai set agar mempunyai jalan cerita. Saya teruja untuk melalui penceritaan itu, masa lalu Midnght Fusic dan mempamerkan perkara baharu juga.

“Saya tahu momen terbaik adalah apabila lagu pertama dipersembahkan. Kami menjangkakan konsert ini akan menjadi sangat hype, momentum konsert menjadi sangat bagus, dan apabila lagu pertama diperdengarkan, semua peminat akan tenggelam bersama.
“Kita semua akan senada – lagu, rentak, penonton, kita semua.”
Dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, Midnight Fusic Forevermore 2025 juga merupakan keraian 10 tahun band yang membawa pengaruh alternatif yang kuat dan pop yang kaya, menampilkan cangkuk menarik, vokal emotif dan instrumentasi dinamik
Pengarah Urusan Oyollo Asia, Kenny Wong, mengakui pihaknya bersemangat untuk menyokong dan menjadi sebahagian daripada sejarah perjalanan band yang dilihat sebagai “bakat muzik generasi akan datang” itu.
“Kami percaya Midnight Fusic mewakili generasi akan datang – kumpulan yang berani, berbakat besar dan sebuah band tempatan yang memiliki muzik tersendiri dengan potensi global.
“Gabungan unik rock indie dan penceritaan yang menyentuh hati telah menawan hati anak muda Malaysia sejak 10 tahun lalu,” kata Kenny, yakin Midnight Fusic Forevermore 2025 “akan menjadi malam yang istimewa, tidak pernah dilihat sebelum ini dan tidak dapat dilupakan.
Akses
- 14 September 2025
- 8pm
- Zepp Kuala Lumpur
Tiket
- RM134 – Modus Operandi (Cat 4 – Berdiri); RM174 – W.L.W.A (Cat 3 – Berdiri); RM224 – Time Machine Cat 2 – Duduk); RM294 (VIP – Berdiri), dan RM3,844 (Cahayaku – VIIP Box/ 10 orang bagi setiap box)
- Layari www.tickets2u.com.my untuk pembelian
- Rujuk media sosial @Oyollo.asia dan @midnightfusic untuk info lanjut
Comments are closed.