Healing dengan Noh Salleh, Insomniacks di Perayaan Patahati Universe

Edisi sulung himpunan penyembuhan jiwa lewat irama dan lagu di Melaka pada 23 Ogos ini.
Oleh RUMI
“… Perayaan Patahati Universe adalah sebuah himpunan penyembuhan jiwa, dicipta sebagai pelukan hangat buat hati-hati yang pernah retak, namun masih merindui keindahan.”
“INI adalah malam healing, malam yang membawa pesan apa jua yang dihadapi bukanlah satu pengakhiran,” ujar Pengarah Projek, Patahati Universe, Cassandra mengenai konsert Ogos mereka di Melaka.
Digelar Perayaan Patahati Universe, konsert dengan isu mental health yang mendasari konsepnya dengan tagline “Himpunan Warga Patahati” itu menyaksikan kemunculan Noh Salleh dan Insomniacks, antaranya.
Konsert di Panggung Bangsawan Melaka itu boleh ditonton pada harga tiket serendah RM109.
Jelas Cassandra, konsert berdurasi hampir tiga jam itu akan bergema dengan irama yang menyapa jiwa, merawat luka, dan merangkul setiap degup patah hati, disuntik dengan banyak pesan positif.
“Satu dunia kini berbicara tentang isu mental health, tentang soal jiwa dan emosi,” katanya, memetik kenyataan medianya. “Justeru, Perayaan Patahati Universe adalah sebuah himpunan penyembuhan jiwa, dicipta sebagai pelukan hangat buat hati-hati yang pernah retak, namun masih merindui keindahan.”
Konsert yang julung kali diadakan itu menggabungkan nama besar hingga bakat media sosial, termasuk pempengaruh Tik Tok, Motivasi Fiq Sam yang dikenali dengan pesan positifnya untuk meraih minat anak-anak muda, terutamanya.

“Ini sebuah perjalanan emosi yang puitis, di mana melodi menjadi ubat dan lirik menjadi penawar menerusi untaian pemuzik sehebat Noh Salleh dan Insomniacks, selain band Cherpen dan Kucaimars, manakala Rijeu sebagai pembuka pentas.
“Diiringi 25 lagu galau, patah hati dan healing, konsert akan diselang-seli pesan positif melalui tayangan drama pendek dan suara latar Motivasi Fiq Sam, selain interaksi artis semasa persembahan,” tambah Cassandra.
Konsert diadakan dengan kerjasama Tourism Melaka, selain Panggung Bangsawan Melaka sebagai rakan strategik, manakala publisiti oleh Mewah Event Management dan iLasso Tickets, tiket rasmi.
Berlatar lokasi seklasik Panggung Bangsawan Melaka yang terletak di zon buffer UNESCO, Perayaan Patahati Universe juga akan tampil dengan segmen Sambutan Hari Lahir Istimewa Warga Patahati Universe untuk meraikan penonton yang lahir pada tarikh 23 Ogos.
Bagi dress code, penonton dianjurkan mengenakan warna putih (single & sedang mencari teman baru yang istimewa), hitam (sudah berpunya & sedang menikmati saat indah bersama), dan merah (patahati – mati rasa & sedang merawat emosi yang terluka).
Akses
- 23 Ogos 2025
- 8pm
- Panggung Bangsawan Melaka
Tiket
- RM109 (Patahati – Berdiri), RM129 (Jatuhati – Duduk) dan RM159 (Luluhati – Duduk). Khas bagi pasangan, RM196 saja
- Layari ilassotickets.com untuk pembelian

Comments are closed.