Skalut Party Tipe-X Tampilkan 2 Band Lokal

Sempena meraikan lebih tiga dekad band ska punk itu di persada seni muzik.
Oleh RUMI
“Ini merupakan pesta muzik yang meraikan semangat ska yang penuh warna, penuh tenaga dan penuh kenangan.”
TIGA dekad jujur dengan muzik mereka, Skalut Party jelas satu penghormatan terhadap legasi Tipe-X.
Dianjurkan Rockstage Entertainment, konsert eksklusif ini sepertimana menurut Pengarahnya, Talib Othman, “Ini merupakan pesta muzik yang meraikan semangat ska yang penuh warna, penuh tenaga dan penuh kenangan.”
Skalut Party, katanya lagi, menjanjikan malam penuh bertenaga, sarat dengan elemen ska, punk dan nostalgia era kegemilangan muzik alternatif rantau ini dan dibawa khusus buat para peminat Tipe-X yang telah lama menantikan kehadiran semula mereka ke Malaysia.
Justeru, ikut meraikan malam bermakna ini adalah dua band tempatan, Armpunk Syndicate dan Banyak Bunyik Republik sebagai pembuka malam Skalut Party yang akan menyaksikan sebuah produksi canggih daripada segi pencahayaan dan sistem bunyi.
Pengaruh band asal Jakarta ini sememangnya signifikan, terutama dalam memperkenal dan mempopularkan genre ska punk, bukan saja di tanah kelahiran mereka, malah di rantau ini, termasuk Malaysia.
Sejak menawan arus perdana lewat album Ska Phobia pada 1999, banyak karya yang dihasilkan, antaranya Mereka Tak Pernah Mengerti, Super Surprise dan Seven telah memastikan mereka kekal di persada muzik.
Sedia untuk memperdengarkan gabungan elemen ska, punk dan reggae yang menjadi identiti Tipe-X, band ini akan kembali bersama vokalis, Tresno Riadi, Anto (bass), Billy (gitar), Arie Hardjo (dram), Micky (trombone), Yoss (saksofon) dan Andi (trompet).
“Kami ingin mencipta suasana yang bukan saja menghiburkan, tetapi juga mengembalikan semangat zaman kegemilangan muzik ska,” ujar Talib. “Persembahan ini juga akan menyaksikan susunan muzik yang lebih besar dengan sentuhan eksperimentasi bagi memperbaharui pengalaman penonton.”
Akses
- 2 Ogos 2025
- 8pm
- JioSpace, Petaling Jaya
Tiket
- Cat 1 – RM208 (Berdiri, berhampiran pentas) dan Cat 2 – RM190 (Berdiri, sisi dan belakang)
- Layari www.myticketempire.com untuk pembelian tiket.

Comments are closed.