Lebih Happening, RIF 2025 Tampilkan Juicy Luicy

Di festival bagi mempererat hubungan dua hala industri hiburan Malaysia-Indonesia.
Oleh RUMI
“Nama Ruang Inspirasi itu sendiri lahir daripada hasrat kami untuk menyediakan satu ruang, di mana muzik bukan saja menghibur, tetapi juga menyentuh jiwa dan memberi inspirasi.”
“ADA ruang perkongsian, cerita dan inspirasi yang menjadikan setiap momen lebih peribadi dan mendalam,” kata penganjur, Expoindo mengenai Ruang Inspirasi Festival atau singkatannya, RIF 2025.
Gabungan persembahan muzik dengan elemen inspirasi dan perkongsian kisah di sebalik karya-karya popular artis yang terbabit dilihat penganjur bakal memberi pengalaman konsert yang “lebih happening, inspiratif dan penuh emosi.”
Dianjurkan bersama Thrive, ia dijadual berlangsung pada 17 Ogos nanti. RIF 2025 bakal menyaksikan dua persembahan diadakan dalam masa satu hari, masing-masing pada tengah hari dan malam.
“Nama Ruang Inspirasi itu sendiri lahir daripada hasrat kami untuk menyediakan satu ruang, di mana muzik bukan saja menghibur, tetapi juga menyentuh jiwa dan memberi inspirasi,” kata penganjur, memetik kenyataan medianya.
“Edisi kali ini, kami tampilkan kumpulan pop alternatif terkenal dari Indonesia, Juicy Luicy sebagai artis utama yang juga tidak asing bagi peminat muzik tempatan, terutama dalam kalangan generasi muda menerusi hits mereka seperti Lantas, Lampu Kuning, dan Sialan.

“Lagu-lagu mereka bukan saja dekat dengan pengalaman hidup pendengar, malah sarat dengan mesej emosi yang kuat. Disebabkan tu, Juicy Luicy dipilih sebagai tumpuan utama penganjuran RIF tahun ini.”
Jelas Expoindo lagi, perkongsian kisah peribadi dan perjalanan dalam dunia muzik artis yang terbabit menawarkan pengalaman yang lebih dekat dan bermakna buat semua yang hadir.
“Kami mahu penonton merasa lebih rapat dengan artis, bukan sekadar menonton dari jauh,” katanya, sambil berkongsi hasrat untuk meluaskan penganjuran RIF ke bandar utama lain di Malaysia sebagai usaha memperkukuh semangat komuniti.
“Harapan kami, RIF akan menjadi jambatan budaya yang mengeratkan lagi hubungan dua hala antara industri hiburan Malaysia dan Indonesia, sambil menyebarkan nilai-nilai positif dan inspirasi kepada masyarakat melalui muzik yang kawa bawakan.”
Selain Juicy Luicy, barisan artis yang membuat persembahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Akses
- 17 Ogos 2025
- 7.30pm
- Mega Star Arena, Kuala Lumpur
Tiket
- Bagi acara membabitkan Juicy Luicy, RM528 (presale VVIP-Duduk); RM328 (presale VIP-Duduk); RM158 (presale Platinum-Berdiri); RM258 (presale Gold-Berdiri); RM128 (presale Silver-Berdiri); dan RM150 (Group Photo Top Up
- Layari aplikasi BBO Events atau ke laman web ri-fest.com/kualalumpur untuk pembelian tiket.
Comments are closed.