Hael Husaini-Nadeera Bikin Raya Meriah Lain Macam
Duet, barangkali, antara paling happening yang mendahului carta lagu raya 2025.

Oleh RUMI

DARI melodi yang mencuit hati, lirik yang menghiburkan hingga ke tarian comel, kolaborasi Hael Husaini dan Nadeera mendominasi dengan suatu yang diperlukan pendengar – rasa tidak sabar untuk beraya.

Dibawakan oleh Rocketfuel Entertainment, Meriah Lain Macam adalah antara tiga karya terbaharu yang dipasarkan bagi memeriahkan sambutan Lebaran, tahun ini. Memang meriah belaka, tapi mana pilihan anda?

Lagu: Meriah Lain Macam

Penyanyi: Hael Husaini dan Nadeera

“Bagi saya, suasana pulang ke kampung untuk beraya itu memang ada rasa meriah lain macam!” kata Hael mengenai ciptaannya dan Iqie Hugh itu yang teasernya saja meraih lebih 5.3 juta tontonan seawal sebelum pelancaran rasminya.

Lagu yang disebut “penuh warna warni” ini yang turut menghasilkan 5,000 ciptaan di TikTok mengisahkan gelagat suami isteri yang sibuk membuat persiapan pulang beraya ke kampung – dengan segala kekecohan dan kelucuan.

“Saya ingin mencipta lagu yang menggambarkan keterujaan itu, tetapi dalam masa yang sama menyerlahkan keseronokan dan cabaran yang datang dengan perjalanan pulang ke kampung,” kata Hael lagi, berharap lagu itu dapat “menghidupkan lagi mood Raya.”

Lagu: Nyam Nyam Ketupat

Penyanyi: Wani Kayrie, Dinda Dania, Missalvy & Zizan Razak

“Paling kelakar apabila melihat Zizan Razak menari!” kata Wani Kyrie, merujuk pembikinan video muzik yang mengiringi lagu barunya itu yang turut dirakam bersama Dinda Dania dan Missalvy, selain Zizan sendiri.

Nyam Nyam Ketupat, lagu mengenai makanan dengan melodi yang catchy, lirik yang menghiburkan serta elemen ketupat sebagai ikon utamanya bukan saja menceriakan suasana, malah diramal bakal digemari ramai.

“Saya sangat seronok sepanjang proses rakaman lagu ini, apatah lagi ketika penggambaran video muzik,” ujar Wani lagi. “Kami bukan saja dapat menyanyi, tapi juga menari dengan rutin tarian yang comel dan mudah diikuti.”

Lagu: Dam Dim Dam Raya

Penyanyi: Nadeera

Bukan satu, tapi dua rupanya. Selain duet bersama Hael, penyanyi yang memberikan persembahan memukau pada Anugerah Juara Lagu lalu turut menandai Lebaran ini dengan Dam Dim Dam Raya yang juga merupakan single solo raya pertamanya.

“Saya rasa sangat bersyukur kerana brpeluang merakamkan bukan satu, tetapi dua lagu raya pada tahun ini,” kata Nadeera yang juga “mahu menampilkan sisi kreatif saya sebagai pencipta lagu dan memberikan sesuatu yang istimewa buat peminat.”

Dihasilkan dengan melodi yang membangkitkan nostalgia serta lirik yang menyentuh hati, lagu ini menggambarkan detik akhir Ramadan dan keterujaan menyambut Syawal bersama keluarga dan sahabat.