“Bukan olahan romantik, tapi… “ Late Night Frequency tentang single “mental”
Borderline Personality Disorder, karya mewah daripada sebuah band indie yang bikin impresif.
Oleh Zurina Waji | Foto MEM & LNF
“…ramai kawan yang menghidap BPD, antara kecelaruan mental yang mungkin masih asing bagi masyarakat. Itu buat saya terfikir untuk menulisnya di dalam lagu. Jangan salah faham, (lagu) bukan olahan romantik, tapi saya mahu mengurangkan rasa stigma itu.”
“LAPAN puluh peratus lirik adalah mengenai simptom dan daripada pengalaman kawan-kawan yang menghidap BPD,” kata Dr Moja Salim, merujuk karya Borderline Personality Disorder, bersandarkan antara penyakit mental yang juga dikenali dengan akronim BPD itu.
Celaru Pinggiran Personaliti, begitu apabila ia diterjemahkan kepada Bahasa Melayu, dan frontman Late Night Frequency ini tahu benar apa yang dinukilkan untuk single baharu band indie funk pop itu yang hadir bersama video muzik rasmi BPD arahan Hashra Shamsudin yang dihasilkan dengan kerjasama MyCreative Ventures.
Ia juga merupakan sebahagian daripada kempen ‘Borderline Personality Disorder’ Awareness Through Art di samping penulis dan pelukis, KW, menerusi penganjuran yang turut memaparkan sesi temuramah bersama Dr Aida Harlina, pakar psikiatri Hospital Cyberjaya di platform media sosial.
“Saya seorang doktor perubatan bertauliah dan pernah berkhidmat di Jabatan Psikiatri, Hospital Serdang sebelum memutuskan, tahun lalu, untuk menjadi pemuzik sepenuh masa,” katanya pada majlis pelancaran single dan video muzik di Subang Jaya, baru ini, yang turut menyaksikan perkongsian mengenai terapi oleh Mashitah, Psikologi Klinik Hospital Cyberjaya.
“Kenapa BPD? Sebab ada ramai kawan yang menghidap BPD, antara kecelaruan mental yang mungkin masih asing bagi masyarakat. Itu buat saya terfikir untuk menulisnya di dalam lagu. Jangan salah faham, (lagu) bukan olahan romantik, tapi saya mahu mengurangkan rasa stigma itu.
“Simptom gangguan mental ini diterjemahkan ke dalam muzik dengan harapan untuk beri kesedaran kepada masyarakat. Bagi penghidap pula, kalau mereka mendengar (lirik) diharap beri rasa mereka tidak sendirian dan langkah berikutnya ialah dapatkan rawatan.”
Penuh energi, penampilan band yang senang diteriak LNF itu dengan salah seorang pemuziknya yang muncul dengan kostum kelabu serigala dalam gaya hip hopnya, sekilas mengundang skeptikal sehinggalah gilirannya meniup saksofon.
“… Borderline Personality Disorder sebaliknya menghujat dengan pertanyaan: Kenapa terlalu sedikit, atau mungkin langsung tidak tahu mengenai band dengan potensi sebesar ini?”
Mr Wolf, kemudian dia diperkenalkan, mengangkat karya yang dihasilkan Dr Moja itu yang turut bermain gitar, bersama pemain dram, Ringoedahar, dengan iringan Adeep Nair (gitar) dan Kumiro (bass).
Diandalkan bagi memperkenalkan album kedua mereka, News Antara Kawan, yang dijangka memasuki pasaran, akhir tahun ini, ia yang diterbitkan oleh Taja Mustapha, Dr Moja Salim dan Hazeeq Azhar itu menampilkan Azran Hamzah dan Takahara Suiko bagi suara latar.
Seolah menaiki roller coaster, karya itu meroket dengan bunyian mewah biola Wani Ismail, Dorothy Kay dan Joanne Aw, dan cello Sophia Ng, daripada The Amethyst String Quartet yang disusun oleh Faizul Hakim Kamis.
KEMBARA PSYCHEDELLIC NUSANTARA KE K-POP CARA LNF
Petang itu, berlatar pentas sederhana di ruang yang menyesakkan, Borderline Personality Disorder sebaliknya menghujat dengan pertanyaan: Kenapa terlalu sedikit, atau mungkin langsung tidak tahu mengenai band dengan potensi sebesar ini?
Tidak mengejutkan apabila Dr Moja, atau nama sebenarnya, Ahmad Mujahid Husin Salim, mengakui menyasarkan pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) selepas band ini – sama ada disedari atau tidak, diiktiraf Anugerah Industri Muzik ke-23 bagi Lagu Pop Elektronik/ Dansa Terbaik menerusi Fun Lust Love, selain menjuarai Anugerah Lagu Indie 2022.
“Nak BPD meraih tempat di AJL,” kata doktor muda berusia 33 tahun ini, berkongsi harapan terhadap single itu yang turut berbicara “tentang memberi kasih sayang”, membiaskan bayangan mengenai hala tuju LNF, meletuskan nama dan karya-karya mereka di jalur utama muzik.
Justeru, News Antara Kawan beri banyak sebab yang mengujakan band yang baru menjangkau usia lima tahun ini yang disifatkannya mengandungi “campuran pelbagai genre, berbeza daripada Diskografi (debut).”
Jelas teruja, menurutnya lagi, “Ada funk. Ada psychedelic Nusantara.” Entah seloroh atau dia benar memaksudkannya, dia ketawa kecil apabila membisikkan, “K-Pop pun ada”, menjelaskan album dengan tujuh lagu itu yang bakal menampilkan kolaborasi, antaranya dengan Acap Salammusik dan Aman RA.
Jika Diskografi diinspirasi daripada permainan video FIFA, album kedua lebih mencerminkan LNF.
“Lebih diri sendiri,” kata Dr Moja, “daripada segi bunyi, dengan inspirasi daripada band tanahair seperti Meet Uncle Hussain. Isu kesihatan mental yang juga pernah disentuh pemuzik seperti Yonnyboii, malah Amir Jahari menerusi Hasrat, hanyalah satu daripada subjek dalam album ini.”
Katanya lagi, penerbitan sebuah filem pendek, bermula dengan video muzik BPD “mengenai perhubungan antara seorang ayah dan anak dalam metafora isu penderaan terhadap haiwan” mengiringi album kedua LNF yang menjadikannya band indie pertama tempatan berbuat demikian.
“Saya tidak ingin mendedahkan dulu isi filem pendek ini, tapi sepertimana isu kesihatan mental, ia berkaitan dengan sekeliling kita,” katanya, gembira dengan respons positif terhadap Borderline Personality Disorder yang diharap membuka jalan buat LNF mencipta nama dengan cara tersendiri.
Comments are closed.