“39 tahun ini apa benda yang saya tidak buat?” – Awie dan TRIAD
Satu-satunya vokalis, di konsert bersama tiga band – Wings, Dragon Malaya dan Search, lebih daripada hanya satu kerja gila.
Oleh Zurina Waji
“… konsert bersejarah yang tidak pernah dibuat orang. Ini momen untuk mengabadikan tiga band ini, Wings, Dragon Malaya dan Search (KidDin) sebagai kenang-kenangan di masa depan, tentang satu benda gila yang pernah berlaku.”
“PRACTICE sampai pengsan,” kata Datuk Awie, sempat berseloroh mengenai persiapannya menghadapi Konsert TRIAD yang menyaksikan, buat julung kalinya, menampilkan tiga band rock ikonik dengan hanya seorang penyanyi.
2025 amat signifikan buat dirinya sebagai penyanyi kerana bersama Wings yang diasaskannya, bermakna sudah 40 tahun juga dia menjadi anak seni. Juga, bukan sedikit onak ranjau yang ditempuhinya untuk berada pada kedudukan, hari ini.
Ikutkan, tiada apa yang hendak dibuktikan lagi, tapi katanya, TRIAD lebih daripada itu.
“Ini tentang soal mencipta momen,” katanya yang mengabdikan sembilan jam sehari demi menjayakan konsert yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 14 Februari nanti.
“Iaitu momen yang saya ingin abadikan supaya dapat dikenang satu hari nanti sebagai sebuah konsert bersejarah yang tidak pernah dibuat orang. Ini momen untuk mengabadikan tiga band ini, Wings, Dragon Malaya dan Search (KidDin) sebagai kenang-kenangan di masa depan, tentang satu benda gila yang pernah berlaku.”
Sebagai keraian, walaupun kedengaran gila, masih satu keraian yang bermakna. Ini ditambah pula dengan hajat untuk kembali sepentas dengan Search dapat dipenuhi, akhirnya, menerusi konsert anjuran Rumah Produksi Merah itu.
TRIAD juga, menurutnya, menyaksikannya harus bekerja ekstra keras dengan sembilan jam sehari diperuntukkannya untuk latihan.
“… album Cinta Buatan Malaysia, ada Balada Pemuzik Jalanan, Pasti, Kejora. Seperti Mentari Merah di Ufuk Timur dan Rock n Roll Pie, ramai nak dengar lagu-lagu ini kerana kita membesar dengan lagu-lagu Search.”
“Tahun ini, masuk 40 tahun, dan 39 tahun ini (sebelumnya) apa benda yang saya tidak buat?” kata rocker berusia 54 tahun ini mengenai usia pembabitannya dalam seni, meliputi daripada cabang nyanyian ke lakonan, malah pengarahan.
Justeru, tidak hanya mengenai dirinya, TRIAD sebenarnya juga sebagai pentas untuknya memberikan penghormatan buat band Search, terutama dua beradik Kid dan Din yang menerajui salah satu band selepas terpecah dua susulan konflik membabitkan ahli asalnya.
“Saya menghormati senior, seniority,” katanya, menjelaskan mengapa Search menjadi band penutup malam TRIAD kelak. “Ia adalah band ketiga yang pernah saya anggotai. Search sebagai penutup (konsert) kerana siginifikannya mereka bagi sebahagian besar kita.
“Kerana kita tahu, kalau kita kenal pasti lagu-lagu Search, lagu-lagu yang semua orang mahu dengar, contohnya album Cinta Buatan Malaysia, ada Balada Pemuzik Jalanan, Pasti, Kejora. Seperti Mentari Merah di Ufuk Timur dan Rock n Roll Pie, ramai nak dengar lagu-lagu ini kerana kita membesar dengan lagu-lagu Search.”
Soalnya, mampukah Awie, apatah lagi dengan kebanyakan hits daripada tiga band berkenaan bernada tinggi. Tekad untuk berusaha kekal dengan key asal, dia mengakui ia tidak mudah untuk dilakukan.
“Wings akan cari hits perlahan dan rancak, begitu juga Dragon Malaya (senarai) daripada album Rentap, tapi Search,” katanya, menarik nafas sektika, membayangkan cabaran yang menanti dan senyum, dia menyambung, “Rupanya Nordin dah pilih (lagu), katanya ‘Kau nyanyi saja.’ Seram!”
Sambil mengakui cabaran yang bakal diberikan TRIAD bagai menyuntik adrenalinnya, katanya lagi, “TRIAD akan menyaksikan Wings sebagai pembuka panggung, diikuti Dragon Malaya dan penutup konsert saya nak meroket. Sebab itu juga mengapa Search akan jadi penutup persembahan, jadi roket yang naik ke atas.”
“Saya hidup sepenuhnya, menjadi orang dewasa adalah daripada hasil nyanyian. Saya tak pernah buat kerja lain, walaupun masa kecil pernahlah jual air, kuih, niaga cakoi.”
Tanpa berselindung, kata Awie, dia juga benar berharap TRIAD menemukan kedudukannya di dalam Malaysia Book of Records kelak.
“Momen ini saya nak abadikan supaya kita dapat kenang satu hari nanti, ada sebuah konsert bersejarah yang tidak pernah dibuat orang. Pihak Malaysia Book of Records juga mengakui belum ada mana-mana band buat sebegini, dan kejayaan TRIAD penting untuk memastikan impian ini terlaksana.
“Tapi lebih penting audiens boleh sing along dan terhibur, dan TRIAD dapat berikan sesuatu yang belum pernah mereka alami.”
Itu sekali gus mengundang pertanyaan, daripada mana dia beroleh kekuatan untuk melakukan apa yang dilakukannya, selama 40 tahun ini?
“Saya sayangkan industri (seni) ini, saya sayangkan kerjaya saya. Saya hidup sepenuhnya, menjadi orang dewasa adalah daripada hasil nyanyian. Saya tak pernah buat kerja lain, walaupun masa kecil pernahlah jual air, kuih, niaga cakoi.
“Tapi selepas itu sampailah mendirikan rumahtangga, beli rumah semuanya adalah hasil seni, nyanyian, berlakon. Sebab itu, saya harus kuat, apatah lagi saya ada anak-anak, seven wonders di rumah,” katanya yang dalam jadual padatnya, baru ini sempat menganjurkan majlis aqiqah anak bongsunya, Putra Ahmad Arjunna dan majlis ulang tahun keempat Putra Ahmad Andeeka.
“Daripada mata mereka melihat saya, saya melihat mereka, jadi saya kena sihat. Kena teruskan kerja-kerja saya supaya saya dapat buat suatu yang baik untuk industri. Kita nak benda baik saja, tak nak huru-harakan keadaan supaya apabila saya tiada nanti, industri ini terus berkembang.”
Kerusi VIP dan duduk hadapan bagi malam TRIAD telah pun habis dijual, namun masih ada tiket berbaki yang terhad pada harga serendah RM188 yang boleh didapatkan dengan melayari ubertickets.asia.
Comments are closed.