Exists x Masdo: Canda, Tribute dan Pak Maon
Pertemuan dua band berlainan generasi yang membagi vibrasi dengan cara tersendiri.
Oleh Zurina Waji | Foto Dennsa dan Sensorhythm
“Battle of Time Exists x Masdo tentulah sangat berbeza kerana ini crowd Exists dan Masdo. Masa Juara Lagu lain, agak protokol tapi kali ini, crowd lebih menyeronokkan. Kepuasan tentulah pada malam Exists x Masdo.” – Along
BATTLE of Time Exists x Masdo tidak seharusnya memberi kenangan sebegitu. Iaitu, tentang Ezad Lazim yang membuat saya dan teman-teman ternganga dengan sut biru seakan satin penuh sulaman berlabuci, berseluar gelobos dan topi lebar hitamnya.
Selain Allahyarham Datuk M Daud Kilau, saya tidak tahu apakah ada yang berupaya untuk tidak nampak kekok biarpun over berlapis-lapis pakaian sarat berbatu. Tapi apakah itu telah merosakkan malam konsert di mercu senostalgik Pusat Dagangan Dunia?
DARI JUARA LAGU KE MALAM BATTLE
1994. Itu kali pertama Exists menjejakkan kaki di PWTC, sebagaimana ia dikenali asalnya sebagai Pusat Dagangan Dunia Putra. Tepatnya di Dewan Merdeka, mereka beraksi di Juara Lagu ke-9, mempertandingkan lagu Anugerah dengan Mamat sebagai vokalisnya.
Along, sepertimana Mamat, yang baru berusia 16 tahun, ketika itu, mengakui kembalinya Exists ke Dewan Merdeka bagi Battle of Time Exists x Masdo anjuran Dennsa dan Sensorhythm yang berlangsung, baru ini, mengimbau banyak kenangan.
“Biarpun tidak menang, (Juara Lagu 94) adalah antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan,” katanya. “Sebab itu kali pertama Exists mengadakan persembahan di PWTC, di depan audiens yang ramai walaupun Juara Lagu pertama kami ialah pada 1992 menerusi Untukmu Ibu.
“Battle of Time Exists x Masdo tentulah sangat berbeza kerana ini crowd Exists dan Masdo. Masa Juara Lagu lain, agak protokol tapi kali ini, crowd lebih menyeronokkan. Kepuasan tentulah pada malam Exists x Masdo,” kata pemain gitar ini.
Kecuali Mamat yang kemudian diganti Ezad, Exists malam itu kekal bersama Musa yang bermain bass, Ujang (dram) dan Ajai (keyboard), selain Along. Begitu pun, mood agak terganggu dengan kelemahan sistem bunyi, selain bunga api pyro yang kadang tidak perlu.
“Sistem bunyinya dulu dan sekarang lebih kurang sama. Susah dapat mutu yang terbaik sebab (pentas) terlalu dekat dengan audiens, jadi alat pembesar suara tidak boleh terlalu kuat, tidak boleh terlalu perlahan,” kata Along.
“Percayakan Siti, antara yang membawa saya ke konsert malam itu dan susunan muziknya, saya kira antara versi terbaik diberikan Exists yang pada malam itu memberikan 14 judul…”
Ada harapan diletakkan lewat pertemuan band daripada dua generasi ini kerana Exists, misalnya memiliki rekod sukses dalam banyak konsert solo mereka. Juga Kugiran Masdo sendiri yang mula menerobosi pasaran luar seperti Singapura dan Indonesia.
Kata Musa, kolaborasi seumpama ini sebenarnya perlu mengambil kira banyak pertimbangan.
“Ikutkan, ia memerlukan lebih masa kerana (konsert) agak tergesa-gesa, mungkin perancangan penganjur melewati projek asal,” katanya, mengakui “tidak begitu gemar ia diadakan pada Ahad yang menghalang peminat luar negara, misalnya untuk hadir.”
BACA: Apa Akan Jadi Apabila Exists Bertemu Masdo?
TRIBUTE P RAMLEE-SALOMA
Masdo memulai kehangatan dengan 10 lagu mereka. Dianggotai Ali Sariah, vokalis dan pemain gitar; Asmawi (gitar) dan Putu Ceri (bass), band yang memberi nafas segar dengan revival 60an itu memperdengarkan, antaranya Bunga, Janji Manis dan Dinda sebelum mempersilakan Exists usai Bercanda di Malam Indah.
Percayakan Siti, antara yang membawa saya ke konsert malam itu dan susunan muziknya, saya kira antara versi terbaik diberikan Exists yang pada malam itu memberikan 14 judul, termasuk klasik Rahsia Pohon Cemara, Mengintai Dari Tirai Kamar dan Alasanmu.
Kadang, hanya dapat menghela nafas memandang Ezad, untung perasaan dipujuk dengan kelunakan suaranya yang mengusap banyak hati yang mendengar. Kejutan diberikan Exists lewat Pancut ke Siling yang dibawa secara medley bersama Oh! Benih Adam.
“Seleksi lagu, biasanya Exists akan pilih lagu hit yang semua orang akan sing along, tapi lagu yang tidak pernah dimainkan juga mesti ada. Tiadalah persembahan sama, balik-balik lagu itu saja,” jelas Along.
“Jadi, mesti ada pembaharuan. Biasanya hardcore fans mesti tahu, itulah kami selit supaya orang tidak bosan. Itu yang saya belajar daripada persembahan sebilangan artis lama yang hanya memberikan lagu sama setiap kali, tidak memberikan lagu yang rare.
“Sebab itu, Battle of Time ada lagu macam Pancut ke Siling.”
Tiba masa berkongsi satu pentas, sekali gus akhirnya, Pujaanku dan Kapalterbang Kertas diperdengarkan, disudahi Pesta Muda Mudi, nyanyian asal Allahyarhamah Puan Sri Saloma yang menurut Along sebagai tribute kepada lagu-lagu Biduanita Negara itu dan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
“Kami sama bersetuju dengan Pesta Muda Mudi untuk kolaborasi supaya ada konsep a-go-go, twist untuk orang enjoy. Juga kerana kami inginkan satu rasa nostalgia dan tribute kepada lagu-lagu P Ramlee dan Saloma.
“Exists memang meminati P Ramlee, begitu juga Masdo. Lagu itu juga memang untuk kami enjoy, ada bahagian solo (gitar) masing-masing. Paling enjoy bila nampak ada audiens berpakaian macam Pak Maon,” katanya, ketawa merujuk (karekter lakonan Allahyarham Mahmud June dalam filem Nasib Do Re Mi, lakonan dan arahan P Ramlee.
Di sebalik semua ini, Musa terus terang menilai Battle of Time Exists x Masdo “sebagai pengalaman sekali dalam hidup, contohnya dengan persembahan bersama Masdo ini yang amat saya hargai sebagai satu kenangan manis.”
Aneh, namun itulah bagaimana Pesta Muda Mudi menjadi penutup Exists x Masdo yang sempurna.
Comments are closed.