Canggung Berbual, Efek Rumah Kaca Berbicara Lewat Muzik
Band indie ini ingin berintimasi dengan fans menerusi konsert solo pertama di Kuala Lumpur.
Oleh Zurina Waji
“Kami pernah bawa satu, dua lagu daripada album Rimpang di Kuala Lumpur, tapi kali ini lebih banyak lagu yang kali pertama diperdengarkan di Kuala Lumpur, selain daripada lagu-lagu lama, seawal album pertama.”
“INGIN memainkan muzik paling terkini, terutama daripada Rimpang,” kata Cholil Mahmud, vokalis Efek Rumah Kaca, membayangkan repertoire yang dipersiapkan untuk konsert Di Udara Kuala Lumpur Live at Zepp KL esok, 25 Oktober.
Rimpang, merujuk album keempat mereka yang memasuki pasaran pada Januari 2023, masih memperjuangkan isu-isu sosiopolitik semasa. Ia mengangkat realiti kehidupan, namun dalam luahan yang lebih matang, bersesuaian dengan usia mereka kini yang mengumpan dengan judul seperti Fun Kaya Fun, Bergeming, Heroik dan Tetaplah Terlelap.
Tampil dengan persembahan solo, buat pertama kalinya, menjadikan kunjungan band dengan akronim ERK kali ini lebih istimewa.
“Kesempatan membuat persembahan secara solo adalah kesempatan yang jarang dan tentunya, akan digunakan untuk memainkan album RImpang,” katanya mengenai kemunculan kelima mereka di ibu kota.
“Selalunya kami bermain, berkongsi pentas, atau bermain di tengah acara. Jadi, ada keterbatasan untuk menyusun set list. Kali ini, secara solo, ada lebih keluasan untuk menyusun lagu apa yang ingin dibawa.”
Oleh itu, konsert anjuran Shezco Sdn Bhd itu dianggap sebagai pertemuan yang lebih bersifat intimasi selepas kali terakhir band yang ditubuhkan di Jakarta itu berkongsi pentas Kuala Lumpur dengan beberapa band lain, dua tahun lalu.
“Kami pernah bawa satu, dua lagu daripada album Rimpang di Kuala Lumpur, tapi kali ini lebih banyak lagu yang kali pertama diperdengarkan di Kuala Lumpur, selain daripada lagu-lagu lama, seawal album pertama.
“Justeru, kami senang Efek Rumah Kaca dapat kembali lagi,” katanya mengenai konsert yang menyaksikan penganjur menawarkan gitar bernilai RM2,000 yang siap ditandatangani ahli band untuk dimenangi fans bertuah, selain vinyl khas Rimpang.
Selain Cholil yang turut bermain gitar, band indie Indonesia yang ditubuhkan pada 2001 ini turut dianggotai Akbar Bagus Sudibyo (dram dan vokal latar belakang) dan Poppe Airil (vokal latar belakang) dengan penyertaan Reza Ryan (gitar dan berbilang alat) dua tahun lalu.
Lagu seperti Kamar Gelap, Cinta Itu Biasa, Balerina dan Cinta Melulu adalah antara karya yang mencipta penggemar ERK di Malaysia sejak mereka debut dengan album Efek Rumah Kaca pada 2007.
“Berbual,” menurut Cholil lagi, adalah suatu yang “cukup canggung” dalam persembahan ERK yang lebih selesa untuk bermain muzik dan membiarkan karya band yang dianggap introvert ini berbicara dengan audies.
“Bahkan di Indonesia kami merasa muzik kami lebih layak berbicara sesuatu daripada kami kerana ia akan membawa pesan di saat konsert atau selepas, atau di luar. Kami fikir (berbicara) lebih efektif lewat karya-karya itu sendiri, iaitu tentang apa yang kami fikirkan.
“Lagi pula, kami tidak begitu mahir dengan isu-isu di Malaysia. Mungkin ada isu seperti masyarakat di Indonesia, tapi Malaysia mungkin ada pemahaman politik yang merata dan tentunya berbeza sehingga kami merasakan lagu-lagu ada pesan yang dapat disampaikan dengan lebih baik.”
Bagi Akbar, respons diberikan penggemar terhadap karya-karya mereka yang asalnya hanya sebuah band kecil, menegakkan identiti dan perjuangan dengan menolak campur tangan luar seperti label besar, sememangnya suatu yang tidak dijangka.
“Tak sangka yang Efek Rumah Kaca boleh bermain muzik sampai sekarang, menjadi pengalaman yang luar biasa,” katanya.
Cholil kemudian mencelah, “Kerana itu, kami tidak menyangka karya kami akan mendapat respons di Jakarta, apatah lagi di Malaysia. Lagu-lagu kami dapat dikenali sehingga dapat bermain di Malaysia, kami gembira.
“Satu penghormatan untuk dapat bermain di Malaysia berkali-kali.”
Masih ada tiket berbaki untuk bertemu Efek Rumah Kaca di konsert Di Udara Kuala Lumpur Live at Zepp KL dengan harga serendah RM188. Sila layari ilassotickets.com atau hubungi 03-48168029.
Comments are closed.