M Nasir, Kid, dan Generasi Jaket Biru
Di malam Konsert Dato M.N45ir CIPTA 2 yang membenamkan audiens dalam nostalgia.

Oleh Zurina Waji | Foto Bangsawan Pictures

“Ia ada sejarah sendiri. Lagu itu jadi legenda, (beri) kesan yang sangat besar. Fantasia Bulan Madu memulakan dunia balada rock, Hilary (Ang) yang main (semasa rakaman). Tapi Isabella, Kid main solo. Juga Tiara. Saya ingin nak kaitkan, jika orang tak tahu, sekarang orang tahu.” – M Nasir

“BUT he’s just a Kid,” kata Datuk M Nasir, mengulanginya lagi, berseloroh di belakang pentas, usai konsertnya, baru ini.

CIPTA 2, merujuk malam yang digelar sepenuhnya sebagai Konsert Dato M.N45ir CIPTA 2, mencatat momen mengharukan buat ramai yang menyaksikan penampilan Kid, pemain gitar yang telah bersama band rock Search sejak album Fenomena pada 1989.

Kerana M Nasir, sebagai pencipta, telah menaikkan Search seawal band itu debut dengan Cinta Buatan Malaysia dan pantaslah apabila penghormatan diberikan kepada Kid yang memberikan signaturenya semasa rakaman Isabella, juga Tiara untuk band Kris.

“Kid inividu, pemilik, yang unik. Semua lagu itu dia main dalam rakaman,” kata M Nasir, merujuk alasannya memilih Kid. “Ia ada sejarah sendiri. Lagu itu jadi legenda, (beri) kesan yang sangat besar. Fantasia Bulan Madu memulakan dunia balada rock, Hilary (Ang) yang main (semasa rakaman).

Tapi Isabella, Kid main solo. Juga Tiara. Saya ingin nak kaitkan, jika orang tak tahu, sekarang orang tahu.”

CIPTA 2 yang merupakan kesinambungan kepada Konsert Dato M.N45ir Cipta di Axiata Arena Bukit Jalil yang mencatat full house pada 10 Ogos lalu, menurut saya, mengesahkan magisnya sentuhan Kid yang beberapa tahun ini terheret dalam drama perebutan nama Search susulan konflik dalaman.

Sempat bertemu M Nasir di studio latihan menjelang konsert, saya maklum dengan repertoire akuiya disusun “untuk orang, untuk fans”, menjadikannya “sebuah konsert popular, berisi lagu-lagu popular.”

Secara peribadi, pentas Cipta, bagi saya lebih memberi rasa, dengan roh dan semangatnya, lewat judul seperti Hijab Kekasih dan Seribu Tahun Takkan Mungkin. Tapikonsert anjuran ICON Entertainment kali ini juga membuat saya ternantikan keroncong Srikandi Cintaku, selain mengira secepat mana Cinta Dewa Dewi dendangan asal Spider dapat membuat saya bingkas melompat.

Cuma satu yang tidak saya duga ialah vibrasi yang akan diberikan pemain gitar bertubuh kecil bernama Kid.

BACA: CIPTA 2, Wonderland M Nasir Buat Fans

BACA: Senandung M Nasir dan Cinta Yang Merintih

“Orang yang kecam tidak tahu sejarah Kid, jadi apabila M Nasir mengangkatnya itu satu penghargaan kerana seorang pemain gitar kena begitulah. Kid bukan sekadar bermain gitar, tapi penyumbang besar dalam lagu.” – Along Exists

KENANGAN LALU

“M Nasir bijak kerana meletak Kid,” kata Along Exists, antara artis yang berada di celah audiens, menyifatkan penampilan pemuzik asal Johor itu dengan “opening gempak” adalah antara momen terbaik CIPTA 2.

“Kid memang layak bermain malam itu sebab hasil karya atau sentuhannya memang menjadi. Seperti Isabella dan Tiara walaupun ada lagi ciptaan M Nasir yang menampilkan solo terbaik Kid tidak dimainkan, iaitu Nur Nilam Sari.

Sentuhan Kid, jelasnya perlu diakui memperluaskan pengaruh lagu itu sampai ke Indonesia, antaranya.

“Tiara, misalnya kalau didengar semula hanya muzik yang simple, very raw, tapi gaya 90an, gitar perlu mengisi muzik dengan solo, lines yang menarik, maka lagu itu jadi penuh dan mahal. Ia sekali gus menjawab pertikaian terhadap Kid yang dikecam, kononnya teruk bermain live.

“Apa yang dilakukannya adalah besar cuma orang tak nampak. Orang yang kecam tidak tahu sejarah Kid, jadi apabila M Nasir mengangkatnya itu satu penghargaan kerana seorang pemain gitar kena begitulah. Kid bukan sekadar bermain gitar, tapi penyumbang besar dalam lagu,” ujarnya lagi.

Bara sebenarnya bermula seawal malam apabila M Nasir memberikan Pawana sebagai pembuka tirai, diikuti Hukum Karma sebelum audiens melarut, antaranya dengan Alleycats, Senyumlah Kuala Lumpur dan Andainya Aku Pergi Dulu ke Kenangan Lalu Flybaits yang melangkaui lebih empat dekad.

Fans, hampir semuanya daripada 8,500 yang meredah hujan, sepertimana disarankan ““lebih rileks, lebih rock n roll,” dalam top putih dan jeans biru mereka, tenggelam dalam nostalgia yang kembali lewat karya lelaki yang juga digelar Sifu itu.

Along mengakui dirinya paling terkesan dengan lagu-lagu daripada album solo seniman asal Singapura itu, “Rajawali Terbang Tinggi, Apokalips dan Mentera Semerah Padi, lagu yang memang saya tunggu, malam itu.”

Kesilapan daripada segi teknikal dan nyanyian yang dikesan, menurutnya tidak menjadi isu kerana CIPTA 2 secara keseluruhan adalah sebuah persembahan yang baik yang hanya boleh diberikan seorang pengkarya seperti M Nasir.

NOSTALGIA YANG MENGASYIKKAN

Bagi nostalgia yang dikembalikan tentunya bermakna buat fans yang mengenali M Nasir melangkaui era solonya, malah lebih ke belakang semasa dia bersama Kembara dan karya-karya era rocknya, atau seawal dia bertatih sebagai pencipta untuk debut Sweet Charity.

“Ini kerja saya,” kata M Nasir, nampak senang melayani pertanyaan media yang melahirkan kekaguman terhadap energinya pada sepanjang malam dengan usianya yang sudah mencecah 67 tahun itu. “Kena seronok dengan kerja saya.”

Lagu yang menurutnya, “memberi kesan nostalgia yang sangat asyik, boleh nampak gambar (kenangan) semasa mendengar dalam fikiran”, selain judul popular menjadi landasan repertoire disusun sebegitu rupa.

Suatu yang segar, meliputi susunan lagu untuk konsert yang memberikan muzik mewah, menampilkan Aznan Alias sebagai Pengarah Muzik dan Gitar 1 itu ke seni psikedelik, antara yang melatari visual yang jadi personal dengan kolaj foto ibu-ibu kiriman fans saat Bonda dilantunkan.

Suatu Hari di Hari Raya pun tidak terasa aneh untuk disampaikan pada penghujung malam yang menyaksikan ribuan sampul raya turun dari langit arena – kata penganjur, Iman Tang, berisi nota baru RM1 dengan jumlah keseluruhan RM10,000 – ke riba audiens.

M Nasir berkata, dalam “dianggap kelakar” awalnya, dia juga melihat makna mendalam, atau metafora mengenai kecintaan pada kemanusiaan yang mengiringi antem “hari gembira, hari kemenangan” itu yang didedikasinya untuk “mereka yang terkesan dengan perang, penindasan.”

Jelas, daripada mana sudut pun untuk melihatnya, malam itu akan sentiasa menerawang di kepala.

Info

– Selain Aznan Alias sebagai Pengarah Muzik, CIPTA 2 menggabungkan antara pemuzik terbaik tanahair, daripada Firdaus Mahmud (keyboard 1), Rafi Mohd (Skor Muzik dan gitar 2), Norman Abdullah (bass), Eddie Slam (keyboard 2) dan Ujang (dram).
– Pa’ang Zaman tampil bermain perkusi (Latin), manakala Awe, Mat Din, Che Long, Anas Makwan dan Mat Rock untuk perkusi tradisional. Mohar bagi flute, Boy Gambus (flute 2 dan gambus), Ikhman Orkestra Simfoni Kebangsaan (trumpet), Hanif Orkestra RTM (trombone), Aizat MBMB (saksofon – tenor) dan Farid Universiti Malaya (saksofon – alto). Konsert dimantapkan Yuaz, Eja, Widy, Juanita dan Awe sebagai penyanyi latar.