CIPTA 2, Wonderland M Nasir Buat Fans
Konsert pada 12 Oktober ini yang direncana sebagai penutup yang bermakna bagi 2024.
Oleh Zurina Waji | Foto ICON Entertainment
“… bukan saja (lagu-lagu) yang orang minta tak dapat dengar, tapi saya pun tidak boleh menyanyi kerana lagu-lagu standard yang sepatutnya kita nyanyikan.” – M Nasir
“CIPTA 2, konsepnya (dirancang) untuk orang, untuk fans,” kata Dato M Nasir yang kembali ke pentas pada 12 Oktober untuk Konsert Dato M.N45ir CIPTA 2 yang disebut “tidak pernah ada dalam perancangan asal” itu.
Dianjurkan ICON Entertainment sebagai kesinambungan kepada Konsert Dato M.N45ir yang mencatat full house pada penganjuran di Axiata Arena Bukit Jalil pada 10 Ogos lalu, dia sememangnya tidak menduga respons terhadap persembahan awal itu.
“Saya ingat kali pertama (konsert) cukup, tapi saya fikir, kenapa tidak (dianjurkan lagi). Jadi, bolehlah kita tutup tahun ini dengan CIPTA 2.
“Mungkin apa yang saya keluarkan itu tidak cukup kerana banyak lagi yang saya… bukan saja (lagu-lagu) yang orang minta tak dapat dengar, tapi saya pun tidak boleh menyanyi kerana lagu-lagu standard yang sepatutnya kita nyanyikan,” katanya.
Sempat meluangkan masanya, di tengah latihan akhir di studio di pinggir ibu kota bagi memantapkan persembahannya kelak, seniman kelahiran Singapura itu berkongsi harapan agar konsert berkenaan juga dapat dipersembahkan di luar Kuala Lumpur.
Seraya menyifatkannya sebagai perkembangan sihat buat industri seni tanahair, dia berkata, CIPTA 2 turut menyaksikan rombakan pada repertoire, separuh dengan judul baharu, antaranya yang meraih permintaan tertinggi fans.
Dia mengakui, pada dasarnya memang bukan mudah untuk memilih daripada lebih 3,000 judul lagu yang berada di dalam arkib ciptaannya, baik yang dinyanyikan sendiri mahu pun dirakam oleh penyanyi lain.
Judul popular dirakam band rock seperti Search dan Wings, selain legenda 70an seperti Alleycats adalah antara yang dijangkakan sejak awal, melihatkan pemilihan kategori tiket yang menggunakan nama seperti Fantasia Bulan Madu, Mentari Merah di Ufuk Timur, Layang-layang Terputus Talinya, Sekuntum Bunga Sakura di Gurun Sahara, Laila Namamu Teratas dan Keroncong Untuk Ana.
Ia juga bakal menampilkan pemain gitar rock terkenal, Kidd untuk sepentas dengan M Nasir.
BACA: Senandung M Nasir dan Cinta Yang Merintih
BACA: Enggan Move On? Konsert Dato M.N45ir CIPTA 2, Oktober Ini!
M Nasir bersama Iman (kiri sekali), Aznan dan Rafi
“… kita santai sikit, sarung jeans biru dan top putih anda, lebih rileks, lebih rock n roll. CIPTA 2 akan bawa 8,500 audiens masuk ke dalam dunia M Nasir, wonderland M Nasir.” – Iman Tang
Ditanya mengenai pemilihan lebih 30 judul yang dikongsi pada petang latihan itu, jelas M Nasir, “Perubahan dalam setengah juga dan seleksi lagu adalah berdasarkan, selalunya apabila saya buat lagu ada kembar dia. Kalau macam Hati Emas, ada Gerhana. Juga ada beberapa lagu, dia ada seakan-akan dan akan dibawa nanti.
“Seperti Awan Nano, antara yang akan dinyanyikan nanti, itu saya yang putuskan dan juga atas permintaan peminat. Jadi, ada judul atau susunan yang orang tidak biasa atau tidak pernah dengar akan dibawa.
“Ada jenis lagu (dicipta) begini, ada pula genre macam begini. Kadang saya nak buat macam lain pula, tapi kerana konsep (CIPTA 2) untuk orang, ia perlu menjadi sebuah persembahan popular. Jadi, ya. Ini adalah sebuah konsert popular, berisi lagu-lagu popular.”
Penganjur, Iman Tang, yang juga pengasas ICON Entertainment, mengakui CIPTA 2 diputuskan kurang daripada 48 jam.
“CIPTA 2 memang tiada dalam perancangan, hanya tercipta apabila kami mendapat respons mengenai ramai yang tidak boleh move on, termasuk kerana pandangan banyak lagu yang mahu didengar tidak dimainkan.
“Kurang 48 jam, bermula dengan satu makan malam, saya berkongsi idea dan beliau (M Nasir) minta untuk berbincang dengan keluarga dan esoknya saya diberitahu, okay boleh teruskan dengan CIPTA 2.
“Sebelum membentangkan idea, saya menyemak kekosongan lokasi di Axiata dan kebetulan ada persembahan pada 12 Oktober dibatalkan. Biar pun pada malam itu, tiada idea apa lagi, penting stadium ada dan beliau setuju. Kita umumkan dulu, idea kemudian,” katanya.
Bagi menghangatkan lagi mood pada malam CIPTA 2, siri kedua konsert itu mengutarakan tema denim biru dan top putih.
“Lagu-lagu kali ini lebih pada rock, ada Search, Wings misalnya. Jadi, kita santai sikit, sarung jeans biru dan top putih anda, lebih rileks, lebih rock n roll. CIPTA 2 akan bawa hampir 9,000 audiens masuk ke dalam dunia M Nasir, wonderland M Nasir,” tambah Iman.
CIPTA 2 yang menyaksikan Aznan Alias sebagai Pengarah Muzik dan Gitar 1, akan dibantu oleh Firdaus Mahmud yang juga pemain keyboard 1, Rafi Mohd bagi Skor Muzik dan gitar 2, selain Norman Abdullah (bass), Eddie Slam (keyboard 2) dan Ujang (dram).
Pa’ang Zaman bermain perkusi (Latin), manakala perkusi tradsional dimainkan Awe, Mat Din, Che Long, Anas Makwan dan Mat Rock. Juga Mohar (flute), Boy Gambus (flute 2 dan gambus), Ikhman Orkestra Simfoni Kebangsaan (trumpet), Hanif Orkestra RTM (trombone), Aizat MBMB (saksofon – tenor) dan Farid Universiti Malaya (saksofon – alto).
Ia juga dimantapkan dengan lima penyanyi latar, iaitu Yuaz, Eja, Widy, Juanita dan Awe.
“CIPTA 2 ntuk orang, untuk fans.” – M Nasir
Comments are closed.