Apa Akan Jadi Apabila Exists Bertemu Masdo?
Ada yang akan diputuskan pada 10 November ini pada pertemuan dua band berlainan generasi ini.

Oleh Zurina Waji

“… dalam tidaksamaan itu ada fans yang sama. Iaitu fans yang nak tengok Exists nak tengok Masdo juga, dan sebaliknya. Exists sebenarnya tdak pernah bersama band tempatan di satu pentas, mungkin itu suatu yang boleh dilakukan dengan Masdo.”

“EXISTS bukan band yang sudah habis zamannya, atau band lapuk,” tegas Along, pemain gitar band terkenal asal Johor ini.

“Kolaborasi dengan Kugiran Masdo pada November nanti akan membuktikan bahawa Exists masih relevan walaupun pada tahun 2024 ini, masih sesuai walaupun untuk selera muzik sekarang.”

Battle of Time Exists x Masdo anjuran Dennsa dan Sensorhythm ini disebut bakal mencetuskan gelombang dua era apabila buat julung kalinya, dua band itu bakal berkongsi pentas untuk mencatat kolaborasi luar jangkaan.

Meledak seawal single sulung, Untukmu Ibu, menurut Along, Exists tidak pernah meletak diri lebih superior berbanding band generasi baharu walaupun hakikatnya mereka sudah 33 tahun berada dalam seni,

“Exists sebaliknya merasakan digabung dengan Masdo ini sebagai satu penghargaan. Apa yang dapat dijangkakan menerusi kolaborasi ini? Paling seronok, apa yang akan dapat dirasa kelak kerana kita bercakap mengenai dua generasi berbeza dengan Masdo lahir pada era milenial, sedangkan Exists era 90an. Muzik pun berbeza.

“Cuma menarik, dalam tidaksamaan itu ada fans yang sama. Iaitu fans yang nak tengok Exists nak tengok Masdo juga, dan sebaliknya. Exists sebenarnya tdak pernah bersama band tempatan di satu pentas, mungkin itu suatu yang boleh dilakukan dengan Masdo,” katanya.

Selain Along, Exists, hari ini, masih kekal bersama Musa (bass) dan Ujang (dram), manakala vokal oleh Ezad Lazim. Selepas Paragon, album studio kelapan mereka pada 2004, mereka tidak pernah lagi muncul dengan album baru.

Langkah Seiringan dan Rahsia Pohon Cemara, selain Untukmu Ibu merupakan antara karya awal mereka yang masih menjadi siulan. Buih Jadi Permaidani, Mencari Alasan dan Dirantai Digelang Rindu pula adalah antara judul yang menjadikan Exists antara band Malaysia yang berhasil menembusi pasaran Indonesia.

Disokong oleh Kementerian Komunikasi bersama kumpulan My Creative Ventures, Battle of Time Exists x Masdo dijadual berlangsung di Dewan Merdeka, WTCKL pada 10 November ini. Tiket berharga serendah RM159 telah mula dijual pada 5 September lalu.

Exists, memetik kenyataan media penganjur, disifatkan sebagai “sebuah kugiran legenda yang karya mereka telah didengar daripada generasi Millenial kepada Alpha”, sekali gus “bukti karya Exists tidak mati ditelan zaman dan terus relevan meski era bertukar.”

Kenyataan sama juga menyebut gabungan dua band itu juga didorong Masdo dengan “aura muzik yang mereka bawakan telah menimbulkan fenomena dan gelombang tersendiri dalam kalangan penggemar muzik Nusantara.”

EXISTS PIKAT FANS MUDA

Enggan selamanya berada dalam zon selesa, menurut Along, berada di samping band seperti Masdo akan membuka ruang lebih luas untuk diterokai Exists.

“Paling penting dapat tunjuk siapa Exists kepada fans baharu, sekali gus memikat fans lebih muda yang jelas dimiliki Masdo,” ujarnya mengenai band itu yang segera meraih perhatian dengan muzik revival pop 60an mereka.

Juga dikenali dengan gaya mereka yang sering tampil dalam sut, Masdo yang ditubuhkan pada 2015 hit denga lagu seperti Dinda, Bunga dan Inilah Jalannya.

Dianggotai oleh Ali Sariah, vokalis dan pemain gitar; Asmawi (gitar) dan Putu Ceri (bass), Masdo melakar sejarah peribadi dengan lahirnya EP Jalan Abbey yang dirakam di studio paling popular dunia, Abbey Road Studio di London yang sinonim dengan band legenda, The Beatles.

Daripada segi muzik, jelas Along, antara Exists dan Masdo mempunyai sedikit persamaan.

“Lebih pada Britpop punya lagu,” katanya yang menyuntik vibrasi berkenaan ke dalam lagu seperti Percayakan Siti yang dirakam Exists bagi album Seperti Dulu pada 2003. “Exists ada ala-ala Beatles, Masdo pun ada. Keutamaan mereka memang di situ, di Britpop, muzik 60an.”

Penghormatan, menurutnya, perlu diberikan kepada Masdo yang komited dalam perjuangan mereka.

“Masdo band yang sangat bagus,” katanya. “Daripada segi imej, penampilan, lagu, pengurusan, semua mereka jaga sebab ada pengurus, fans sendiri. Sebab itu, tak boleh dinafikan, mereka banyak buat konsert, di mana-mana. Kerja berpasukan mereka bagus, mampu komited pada semua perkara.

“Di situ, saya hormatlah kerana mereka komited untuk apa saja. Itu satu perkara yang tidak semua band boleh buat. Sebab itu, Masdo berjaya. Jadi, konsert semacam Battle of Time Exists x Masdo ini adalah suatu yang saya perlu belajar daripada mereka, daripada segi buat komitmen dan menguruskannya.”

Ditanya apakah ini akan membuka lembaran baru buat Exists-Masdo, dia tidak menolaknya.

“Exists dapat menembusi pasaran fans lebih muda, setidak-tidaknya. Siapa sangka Exists boleh berkolaborasi dengan Masdo kerana kami sering disangka band sudah lama, sudah tidak relevan sedangkan hakikatnya karya-karya Exists masih segar dalam ingatan ramai orang,” tambahnya.

Battle of Time Exists x Masdo, November ini juga, katanya lagi, dilihat sebagai penentu untuk jelajah, misalnya ke Singapura. Ia signifikan terhadap perjalanan Exists yang nampaknya belum ada tanda untuk berhenti.

Akses

  • 10 November 2024
  • Dewan Merdeka, WTCKL
  • 8pm

Tiket

  • RM159 (Dia Pertama), RM199 (Lempeng Twist), RM219 (Anugerah Hati), RM299 (Bunga Cemara), RM399 (Teruna Juwita), RM599 (Bidadari Pujaanku), Royal Box RM789 (Untukmu Puspita Royal Box)
  • Beli di myticket.com, Atome