Cromok Unplugged dan Jinaknya Unicorn Metal
Kejutan daripada band thrash heavy metal ini pada malam SoulFest 2024 yang menjulang semangat Made in Malaysia.
Oleh Zurina Waji | Foto ATOI untuk MEM
“… vibrasi keMelayuan yang ditiupkan ke dalam karya berkenaan tanpa lengah membuat tali jantung ikut bergetar.”
TIDAK menduga akan merasainya, tapi I Don’t Belong Here melangkaui jangkauan pada malam Cromok bermain secara unplugged sehingga bunyian lazim distorted metal yang diberi susunan baharu menjadi sebegitu indah.
Sebaik Karl mengalunkan gitarnya, menyambut denting keyboard pada intro mengesankan daripada Archer, pemuzik undangan yang mengiringi band thrash heavy metal ini, vibrasi keMelayuan yang ditiupkan ke dalam karya berkenaan tanpa lengah membuat tali jantung ikut bergetar.
Baur alunan karya klasik, Fatwa Pujangga, antara yang disuntik pada lagu daripada album Forever In Time itu yang diperdengarkan menghampiri penghujung persembahan mereka di SoulFest 2024, baru ini, iaitu sebuah festival muzik yang dilancarkan sebagai satu jenama yang menampilkan gandingan unik seni dan teknologi.
Jika ditanya, bohonglah kalau saya mengatakan saya sudah boleh menjangkakanya kerana seawal pertemuan dengan Karl, ketika mengkhabarkan idea persembahan mereka nanti, dalam keterujaan saya tidak boleh menepikan risiko eksperimentasi Cromok Unplugged. Cukup untuk membayangkannya membuat sel otak saya seolah tidak berhubung.
Soalnya yang dibicarakan di sini ialah Cromok, band dengan sejarah berusia 36 tahun.
“Kita suka ambil masalah sebenarnya, benda senang nak disusahkan,” kata Karl, separuh berseloroh, apabila ditanya mengenai idea bermain secara unplugged, sejurus soundcheck pada petang sebelum persembahan.
“Lama dah nak buat macam-macam, tapi tidak kesampaian.”
Berlangsung secara Live Streaming dari pentas Metal Dreamscape, Studio Mantin, Negeri Sembilan, konsert anjuran Stagemaker Sdn Bhd itu turut menyaksikan kehadiran terhad audiens pada festival yang memberikan “Inspirasi artistik. Kreativiti tanpa batas” itu.
SoulFest, dianjurkan sebagai platform yang mendukung konsep Made in Malaysia, membawa antaranya jenama Sudoku Drums & Keyboards, selain ZFX, penghasil pedal gitar. Diberikan secara digital sepenuhnya, ia turut mengenengahkan bakat semuda Harris Ikhmal Mohd Saifulnazim, 12, dan Nur Irfana Mohd Ibrahim, 17.
Bertema rock alternatif dan metal bagi acara sulung festival, Cromok bermain di antara persembahan Tebabo! yang berpotensi dan Nrocinu yang berpengalaman di pentas canggih yang dibina menerusi pengaplikasian gabungan animasi dan teknologi Extended Reality (ER).
Cromok, kini kekal dengan Sam, vokalis dan pemain bass, selain Karl, turut diiringi Shah Sidious (gitar), selain Apis Cropox (dram) selepas pemergian Allahyarham Miji yang juga salah seorang pengasas band yang ditubuhkan di Australia ini.
BACA: Unplugged Pertama Cromok Gegarkan SoulFest 2024
“… tidak dapat membayangkan semacam apa vokal Sam kelak yang identitik dengan lontaran garaunya. Tapi tanpa garau itu, bukanlah thrash. Kan?”
EKSPERIMENTASI AKUSTIK
“Akustik, tidak semua orang boleh main sedap,” ujar Karl, mengakui walaupun hanya memainkan tujuh lagu, antaranya Another You dan Misery, konsep julung kali itu memaksa band legenda ini menggandakan latihan.
“Main gitar elektrik mudah, petik sikit bunyi dah kuat. Tapi akustik kalau salah… kami selalu berusaha keras macam mana nak naikkan lagi tahap kita. Semakin kami berusaha keras, semakin baik jadinya.”
Jelas Karl, bermain secara unplugged menyaksikan banyak penukaran dibuat daripada segi susunan muzik.
“Kami kena banyak bereksperimen. Apabila buat konsert ini, kita berlatih dua kali ganda disebabkan susunan baharu,” katanya, sempat mengundang tawa apabila menambah, “Sudahlah memori pun masalah, asyik tak ingat. Faktor usia, macam mana ni?”
Shah yang pada malam itu turut bermain untuk Nrocinu, menyifatkan Cromok Unplugged benar menguji keupayaan seorang pemuzik.
“Sebab sebelum ini dengan muzik yang distorted lebih mudah untuk main, tapi apabila akustik memang tidak boleh menipu. Bunyi akustik lebih natural, cuma nak sedapkan memang tidak senang,” katanya.
Cuma bukan soal susunan muzik semata, malah saya juga tidak dapat membayangkan semacam apa vokal Sam kelak yang identitik dengan lontaran garaunya. Tapi tanpa garau itu, bukanlah thrash. Kan?
“Vokal tak ubah, masih pakai vokal sama hanya disesuaikan dengan lagu,” kata Sam. Seaneh ia kedengaran, menariknya malam itu suaranya berpadu dalam nada segar karya-karya yang diperdengarkan.
Tanpa berselindung, akui Karl tentang konsert unplugged mereka, “Kami pun terkejut juga, tidak terfikir akan jadi macam ini. Kecuali Archer, kami semua tiada latar belakang muzik. Nota taugeh-taugeh (muzik) kami tak reti. Kami bukan komposer, jadi kena cuba-cuba dan ambil masa.
“Cabaran buat unplugged adalah nak bagi sedap. Itu cabaran terbesar kerana orang sudah biasa dengar heavy, jadi macam mana nak buat suatu yang unplugged, akustik yang masih boleh rasa heavy sikit yang masih boleh diterima fans.”
Little One membuat saya sentimental sebelum Journey menyempurnakan malam bersejarah itu. Masih, I Don’t Belong Here, paling membekas yang menurut saya sengaja disusun untuk menusuk jiwa, menghambat rasa pada kerinduan yang terpendam.
Satu bar kini telah dinaikkan, tapi persoalannya apakah Cromok dapat memenuhi ekspektasi yang makin menggunung?
Comments are closed.