Malam Intimasi UK’s: Up Close and Personal
Showcase istimewa Oktober ini untuk peminat setia daripada kumpulan yang memberikan banyak karya cinta.

Oleh RUMI | Foto UK’s

“… malam intimasi dengan beberapa kejutan manis yang dirancang, termasuk menjadikan hadirin malam itu orang pertama yang diperdengarkan dengan single baru UK’s berjudul Tak Sangka, hasil ciptaan Saari Amri.”

“FANS buat hati kami tersentuh,” kata Amir, vokalis UK’s, “dengan cerita cinta mereka, suka duka perjalanan hidup mereka yang entah bagaimana ada persamaan dengan lirik banyak judul popular kami.

“Tak hairanlah lagu-lagu UK’s dianggap cukup peribadi, seolah-olah lagu-lagu UK’s ini ditulis untuk mereka, ibarat diari mereka.”

Kerana peminat juga, menurutnya, UK’s dapat bertahan selama lebih tiga dekad ini dan sebagai tanda terima kasih, sebuah persembahan berkonsep showcase dan makan malam yang digelar UK’s: Up Close and Personal akan diadakan di ibu kota pada 26 Oktober ini.

“Kesetiaan peminat selama lebih tiga dekad ini buat kami terharu. Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih, dipersembahkan UK’s: Up Close and Personal, buat julung kalinya, eksklusif untuk 284 tempat duduk.

“Ia akan menjadi sebuah malam intimasi dengan beberapa kejutan manis yang dirancang, termasuk menjadikan hadirin malam itu orang pertama yang diperdengarkan dengan single baru UK’s berjudul Tak Sangka, hasil ciptaan Saari Amri,” katanya.

Dianjurkan oleh Amir UK’s Entertainment dan Laga Emas, ia mendapat kerjasama Hotel Ideas, Kuala Lumpur bagi lokasi persembahan, manakala Mewah Event Management sebagai rakan strategik. Showcase ini turut menampilkan Azmani sebagai artis undangan.

Amir berkata, lebih 15 lagu akan dipersembahkan pada malam itu, antara yang mendapat permintaan tertinggi peminat ialah Kekasih di Menara, Siapa Rampas Cintamu, Di Luar Kemampuanku, Tergamak Kau, dan Di Sana Menanti Di Sini Menunggu.

Selain sesi beramah mesra, menurutnya, cabutan bertuah yang menawarkan hadiah, antaranya pakej penginapan di Villa Molek, Langkawi juga menanti peminat.

Ditubuhkan seawal 1989 sebagai Ukay oleh Saari, kegagalan album sulung, Tinggal Irama menyaksikan kemasukan Amir pada 1991 yang merakam enam daripada tujuh album UK’s, termasuk Bisa Berbisa pada 1994 yang meraih penjualan tertinggi, ketika itu, dengan lebih 350,000 unit.

Selain Amir, UK’s kini turut Denil sebagai pemain gitar, Olley (bass), Amirul (dram) dan Mus Satira (gitar).

Turut prihatin dengan situasi semasa yang menimpa penduduk Gaza, Amir berkata, UK’s ingin menggunakan kesempatan pada malam itu untuk menyatakan solidariti terhadap perjuangan saudara Palestin.

“Sebagai tanda solidariti, sebahagian hasil jualan tiket akan disalurkan ke tabung Palestin. Ayuh! Bersama kita jadikan malam UK’s: Up Close and Personal sebagai momen terindah dan penuh makna dalam perjalanan kita,” tambahnya.

Akses

  • 26 Oktober 2024
  • Hotel Ideas, Kuala Lumpur

Tiket

  • RM299 (Zon C), RM350 (Zon B) dan RM450 (Zon A)
  • Beli di tickets.uks.my
  • Bagi Premium Ticket berharga RM8,000 (semeja untuk lapan orang), akan turut diberi penginapan percuma satu malam beserta sarapan di Hotel Ideas, dan beg cenderahati berisi beg, mug dan baju T. 
  • Sila hubungi Encik Nizal di 01170025255 untuk info lanjut