“Apalah erti BCL tanpa kejutan?” – BCL tentang Konsert Farmasi Soundzation
Penyanyi jelita Indonesia ini membayangkan vibrasi di konsert, November ini.
Oleh Zurina Waj| Foto INT X Group
“… sudah tentu ada suatu yang berbeza menanti. Mungkin Kuala Lumpur akan jadi tempat pertama untuk mendengar lagu baharu dipersembahkan secara live.”
“KONSERT setiap tahun? Jangankan setahun, setiap bulan pun okay, cuma menunggu undangan,” seloroh Bunga Citra Lestari mengenai perasaannya sekiranya perlu lebih kerap membuat persembahan di Kuala Lumpur.
Dijadual kembali November ini, dan kali pertama sepentas dengan pelantun Jiwa Yang Besedih, Ghea Indrawari, selain hos, penyanyi dan pelakon popular, Elly Mazlein untuk Konsert Farmasi Soundzation di Megastar Arena, dia mengakui kota ini mengujakannya.
“Kembali ke Kuala Lumpur selalu buat saya teruja,” katanya. “Saya senang untuk punya alasan dapat kembali ke Kuala Lumpur. Saya punya kehidupan di sini, kehidupan di Malaysia dan tidak hanya di Indonesia.
“Selama ini, kalau pulang ke Malaysia kerana berjumpa keluarga atau bercuti, tapi apabila ada sesuatu untuk dibuat seperti projek atau bekerja, kota ini terasa lebih dekat lagi kerana hidup kita ada di sini juga.”
Ditemui usai sidang media Konsert Farmasi Soundzation di ibu negara, penyanyi yang senang diteriak BCL ini, memberitahu dia menjangkakan akan menyampaikan tidak kurang 12 lagu pada malam itu.
“Saya senang dengan penggabungan artis Malaysia-Indonesia, dan semuanya wanita!” katanya merujuk Ghea dan Elly yang hadir sama. Majlis itu turut disertai Pengerusi Projek, Datuk Safizan Ikhzani; Pengarah Projek dan Konsert, Ellie G; Presiden FARMASI, Emre Tuna serta pemuzik legenda, Man Kidal sebagai Pengarah Konsert dan Muzik.
“Mungkin ada lagu dari situ (konsert solo) tidak akan dimainkan, sebaliknya mungkin ada lagu baharu kelak. Satu, dua lagu baharu dan lagu-lagu lain dengan susunan muzik berbeza. Konsert seumpama ini lebih merasa di jiwa, tapi menyeronokkan juga kerana ia tentang menikmati masa gembira bersama dan ada vibrasi yang berbeda.”
“Orang tidak menyedari saya (sebenarnya) dekat dengan Ghea. Dia, orang yang saya temukan di ujibakat dan kini boleh menyanyi di Malaysia. Oh, Elly? Orangnya sangat menarik. She’s very funny.”
Seolah sengaja memancing, pelantun Cinta Sejati ini menambah, “Apalah erti BCL tanpa kejutan? Mungkin ada duet, mungkin tidak, bergantung perancangan, namun sudah tentu ada suatu yang berbeza menanti. Mungkin Kuala Lumpur akan jadi tempat pertama untuk mendengar lagu baharu dipersembahkan secara live. Seperti konsert (solo) sebelum ini dengan Badai Telah Berlalu.
“Kenapa ya selalu seperti itu, menyanyi di Malaysia dulu sebelum di Indonesia?”
Dianjurkan oleh INT X Group, konsert yang diperindahkan oleh FARMASI, iaitu peneraju jenama kosmetik antarabangsa yang berpangkalan di Turkiye sebagai penaja utama, BCL mengakui tidak menyangka akan sepanggung Ghea dan Elly.
“Ghea, kerana saya merupakan juri semasa dia menyertai Indonesian Idol dulu. Saya tahu perjalanannya. Saya menjadi saksi kepada perjalanan Ghea, apatah lagi ini konsert pertama baginya di Kuala Lumpur.
“Orang tidak menyedari saya (sebenarnya) dekat dengan Ghea. Dia, orang yang saya temukan di ujibakat dan kini boleh menyanyi di Malaysia. Oh, Elly? Orangnya sangat menarik. She’s very funny,” katanya, ketawa lagi.
Sementara itu, Pengarah Projek dan Konsert, Ellie G, berkata Konsert FARMASI Soundzation bakal menghadiahkan sebuah pengalaman luar biasa kepada audiens apabila gandingan seni muzik dan kecantikan mencernakan pengisian bermakna, antaranya dalam pemerkasaan wanita.
“BCL, misalnya dipilih bukan saja kerana popularitinya, tapi juga pesonanya yang menjadi lambang kebangkitan wanita. Ia bersesuaian prinsip kecemerlangan dan integriti yang dipegang FARMASI yang memperkasa kecantikan sejati daripada luaran dan dalaman.
“Begitu juga Ghea yang menyerlah, termasuk mengungguli pelbagai anugerah pada usia muda. Manakala Elly adalah penghibur serba boleh yang berupaya menguasai pentas, baik dalam interaksi dengan audiens mahu pun nyanyian. Elly tentunya menjanjikan malam yang lebih happening, seraya mencatat momen manis buat audiens kelak,” katanya, memetik kenyataan medianya.
Promosi konsert ini dikendalikan Mewah Event Management, manakala tiket, iLasso Tickets.
Tiket berharga RM288 (Silver), RM488 (Gold), RM688 (Platinum), RM888 (Diamond) dan RM1,088 (VIP) boleh didapatkan secara online di www.ilassotickets.com atau layari Soundzation Official di semua platform media sosial untuk maklumat lanjut.
Comments are closed.