Sering Patah Hati, ALVN Tampilkan Rescue Me
Single diinspirasi daripada pengalaman peribadi yang dihimpun dalam albumnya, between the lines.

Oleh RUMI | Foto Universal Music

“… setiap kali anda cuba untuk menjalinkan hubungan, ia seakan-akan tidak bertahan lama. Selepas beberapa pertemuan, saya mula mempersoalkan diri sendiri dan bertanya mengapa ia begitu sukar

“SAMA ada tiga, empat atau enam bulan saja,” akui ALVN Chong, bintang TV popular, mengimbas pengalamannya dalam menjalin hubungan cinta.

Sukar untuk mempercayai kata-katanya itu, apatah lagi dengan ketampanan dan populariti yang dimiliki, namun menurutnya dia sendiri merasa hairan mengapa begitu sukar untuknya menjalin hubungan.

“Secara peribadi, tiada satu pun hubungan istimewa saya yang lalu yang bertahan lebih daripada setahun,” katanya, turut menjelaskan bagaimana ia mencetuskan idea bagi penghasilan single Rescue Me.

Jelasnya, lagu itu berkisar tentang kesedaran bahawa “cinta bukan untuk anda.”

“Terutamanya selepas melihat orang lain seperti rakan-rakan rapat anda jatuh cinta, berkahwin, dan mempunyai anak. Ini kerana, setiap kali anda cuba untuk menjalinkan hubungan, ia seakan-akan tidak bertahan lama.

“Selepas beberapa pertemuan, saya mula mempersoalkan diri sendiri dan bertanya mengapa ia begitu sukar bagi kita, tetapi begitu mudah bagi orang lain untuk mencari cinta. Itulah cerita dan inspirasi daripada lagu ini,” katanya, memetik kenyataan medianya.

Digubah oleh Hyuk Shin dan Seann Bowe dengan bait Rescue Me merupakan nukilan Bowe dan ALVN sendiri, padanlah mengapa ia menjadi suatu yang sangat peribadi dan dekat dengan hatinya.

Ia disusun oleh CUURLEY dan diterbitkan oleh Hyuk Shin yang dimuatkan di dalam album studio penuhnya, between the lines.

“Jika anda boleh membaca between the lines, anda mungkin akan mengenali saya dengan lebih baik. Ini kerana, dari lagu pertama hingga kelapan, ia menceritakan tentang jatuh cinta kali pertama… “

Situasi itu, kata ALVN lagi, jelas digambarkan di dalam liriknya, terutama pada pra-korus dan korusnya.

“Anda rasa seperti terperangkap di satu tempat terlalu lama. Syurga sebenarnya membina penjara untuk anda,” katanya mengenai antara bait single berbahasa Inggeris itu yang berupa luahan hatinya dan meyakini ramai dapat mengaitkan diri dengan lagu itu, atau setidak-tidaknya memahami maksudnya.

“Saya rasa anda akan mula merasa bahawa tidak kira apa yang anda lakukan atau apa cara yang anda cuba untuk mencari cinta atau merasai cinta, ia seakan mustahil.”

Rescue Me, menurut ALVN, ditulis bersama Hyuk Shin dan Bowe di Los Angeles dan siap dalam masa hanya dua hari, sekali gus menyempurnakan impiannya untuk muncul dengan album studio penuh.

“Saya menulis bersama bagi kebanyakan lagu, terbabit dalam sekitar lima lagu selain menulis bakinya. Jika anda boleh membaca between the lines, anda mungkin akan mengenali saya dengan lebih baik

“Ini kerana, dari lagu pertama hingga kelapan, ia menceritakan tentang jatuh cinta kali pertama dan jatuh cinta dengan rakan baik anda dan ingin bertemu mereka untuk satu malam lagi, kemudian anda ingin melakukannya sekali lagi, dan akhirnya mengalami masalah komunikasi sebelum akhirnya patah hati.

“Ia adalah satu kitaran perjalanan emosi,” tambahnya.   between the lines boleh didengar di semua platform media digital, bermula 16 Ogos lalu.