Efek Rumah Kaca di Udara Kuala Lumpur
Band popular Indonesia ini kembali untuk konsert solo pada 25 Oktober ini!

Oleh RUMI

“Secara simboliknya kami menamakan persembahan ini sebagai Di Udara Kuala Lumpur Live at Zepp KL selepas lama juga ERK tidak beramah mesra dengan peminat mereka di Malaysia.” – Kamarul Hafizad

EFEK Rumah Kaca ternyata tidak mudah dilupakan.

Biar sempat kurang main di panggung lantaran memberi tumpuan kepada hal lain sehingga ruang kekosongan itu terisi dengan banyak band baharu tetap tidak memadam kerinduan pada band asal Jakarta ini.

Kerinduan yang bakal berbalas, akhirnya dengan kembalinya vokalis, Cholil Mahmud yang turut bermain gitar, Poppe Airil (vokal latar belakang) dan Akbar Bagus Sudibyo (dram dan vokal latar belakang) ke ibu kota pada 25 Oktober nanti.

Selepas dua tahun, Efek Rumah Kaca yang sinonim dengan akronim ERK, bakal hadir secara solo untuk memenuhi permintaan para penggemar mereka menerusi konsert Di Udara Kuala Lumpur Live at Zepp KL.

Jelas Cholil, tiada yang lebih membahagiakannya dan rakan-rakan bandnya kecuali untuk bersua muka dengan para penggemarnya di Malaysia yang pernah disaji dengan karya seperti Kamar Gelap, Cinta Itu Biasa, Balerina dan Cinta Melulu.

“Kami berasa senang untuk kembali ke Malaysia. Kali ini, lewat Di Udara Kuala Lumpur Live at Zepp KL, ERK akan lebih intim berpesta dengan semua penggemar kami Semoga kita menikmati sinestesia bersama nanti,” katanya.

Dianjurkan Shezco Sdn Bhd, menurut kenyataan media wakilnya, Kamarul Hafizad, konsert itu dinamakan sedemikian sempena judul popular yang dimuatkan di dalam album sulung mereka, Efek Rumah Kaca pada 2007.

“Secara simboliknya kami menamakan persembahan ini sebagai Di Udara Kuala Lumpur Live at Zepp KL selepas lama juga ERK tidak beramah mesra dengan peminat mereka di Malaysia.

“Jadi, muzik dan kasih sayang di antara ERK dan peminat akan bertebaran di udara pada sepanjang malam 25 Oktober nanti di ruang Zepp KL,” katanya.

Akses

  • 25 Oktober 2024
  • Zepp Kuala Lumpur

Tiket

  • RM188 (CAT 1/ Free Standing), RM218 (Normal Standing), RM268 (CAT 2/ Premium Seating), RM448 (Royal Box), RM3,500 (Pakej 8 pax/ Meet & Greet)
  • Diskaun 15% kepada 50 pembeli tiket sehingga 31 Ogos ini sempena keraian bulan Merdeka
  • Beli di ilassotickets.com atau hubungi 03-48168029