Senandung M Nasir dan Cinta Yang Merintih
Sekilas, malam Konsert Dato M.N45ir Cipta di tahun ke-45nya dalam seni.

Oleh Zurina Waji | Foto Bangsawan Pictures

“Intro sayu yang dialunkan Datuk Ramli MS daripada instrumen klasiknya yang kali pertama ditandai untuk album Phoenix Bangkit Datuk M Nasir pada 2001 membuat jantung bergetar… “

HIJAB Kekasih. Jujur, itu yang paling saya nanti-nantikan, malam itu.

Kerana sudah acapkali diperdengarkan pelbagai versi yang membuat hati tertanya-tanya apa lagi yang bisa dilakukan, akordian sebagai pembuka yang menyeru rasa memberikan pentas Konsert Dato M.N45ir Cipta kelebihan.

Bukan akordian sembarangan, melainkan dialunkan seorang lagi maestro muzik dengan pembawaan yang kadang ditafsir satu keangkuhan, mengiringi sosok yang digelar Sifu yang tampil dengan gaya Melayu fusionnya.

Intro sayu yang dialunkan Datuk Ramli MS daripada instrumen klasiknya yang kali pertama ditandai untuk album Phoenix Bangkit Datuk M Nasir pada 2001 membuat jantung bergetar, sekali gus mengesahkan giliran untuk lagu paling menggugah rasa itu.

Lagu karya M Nasir dengan bait menusuk nukilan Seth itu sering mengatasi banyaknya judul yang membuat sesak dada yang malam itu ikut ditiupi roh daripada seruling Mohar yang bagai menterjemahkan kecintaan yang dirintihkan.

Kerana lagu itu sangat peribadi, barangkali buat ramai orang juga, menakjubkan bagaimana syair Hijab Kekasih mencipta kemanisan dalam perjalanan hidup. Bergantung tingkat yang dilalui, apakah singgah seketika dan kadang bagi tempoh agak lama, mungkin melewati lembah hina sebelum harus tetap berjalan sehingga ke satu nokhtah yang diputuskanNya.

Pemahaman yang membuat mata berkaca, diberikan menurut perjalanan yang tentunya memberi pelbagai penafsiran, hasil pembelajaran daripada pengalaman yang hendak diambil, apakah dengan mata kasar atau mata kalbi.

Bukan berlebih-lebihan pula kalau saya merasakan paduan dua sosok itu, bersaksikan ribuan audiens yang bikin Axiata Arena Bukit Jalil full house pada konsert anjuran ICON Entertainment itu menghadiahkan momen cukup magis.

BANJIR MEDLEY

M Nasir. Insan yang tidak perlu susah payah ditebak, sebaliknya nikmati saja momen bersamanya pada setiap kesempatan, menampung karyanya yang memberi kedalaman makna, baik menerusi irama indah Melayu mahu pun sekeras rock seperti diberikannya lewat Seribu Tahun Takkan Mungkin.

Dicipta untuk BumiPutra Rockers pada 1988, ia juga mengembalikan kenangan pada era kegemilangan rock yang di sebalik pelbagai prasangka, menghimpunkan banyak karya yang tersurat dan tersirat di tangan para penyair berseluar dungree yang dulunya digelar kutu.

Diperdengarkan lewat medley baladanya, seawal Seroja, diikuti Cinta Kristal dan Senja Nan Merah, keterujaan baru terasa sebaik telinga menangkap bait Seribu Tahun Takkan Mungkin yang sekian lama tidak didengari sehinggalah versi M Nasir malam itu.

Diberikan, setelah seniman asal Singapura ini membuka panggung dengan Raikan Cinta sebelum berdisko dengan Bikin Filem, tanpa menduga dia akan memberikan Tujuh Nafas Lagi yang langka, diambil daripada album 2006nya, Sang Pencinta.

“Mentera Semerah Padi, usai Sahabat Gua, adalah antara judul yang pantang disisih, dilihat meniupi semangat keMelayuan biarpun entah berapa ribu kali diputar, di panggung mana sekali pun.”

Senandung Malam dan Hati Emas, antara yang dinyanyikannya sebelum ke medley bossa, juga dengan lagi judul rare, Seloka Cinta Remaja dan tiupan horn yang mengiringi, mengingatkan tentang kehebatan beliau sebagai pencipta walaupun sempat memberikan momen krik krik dengan bulu-bulu merah jambu yang nampak canggung.

Bercanda di Pasiran Pantai, duet seksi Allahyarham Sudirman dan Anita Sarawak, memberi rasa asyik dalam kelucuan kala M Nasir menari ditemani Mat Rock, salah seorang pemuzik yang mengiburkan arena dengan langkah cha cha dan marakasnya.

Lagi dengan ciptaannya yang menaikkan ramai penyanyi dan band tanahair, lewat medley Cinta Sakti, Seragam Hitam dan Tinggal Satu Peluru kemudiannya dengan susunan muzik yang segar, terdengar raw yang bikin layan.

Kudos kepada Aznan Alias atau Nan (Saturnine) sebagai Pengarah Muzik yang turut bermain gitar, dibantu Firdaus Mahmud (keyboard). Juga Rafi Mohd (gitar 2), Norman Abdullah (bass), Eddie Slam (keyboard 2) dan Ujang (dram), selayaknya pesta kelas papan atas yang turut menghimpunkan Pa’ang Zaman (perkusi) dan Awe, Mat Din, Che Long, Anas Makwan dan Mat Rock bagi perkusi tradisional, selain Mohar (flut), Boy Gambus (flut/ gambus), Roza Rasul (piano).

Ikut memperindahkan repertoire, Ikhman, Orkestra Simfoni Kebangsaan (trumpet), Hanif, Orkestra RTM (trombone), Aizat, MBMB (Saksafon – Tenor) dan Farid, Universiti Malaya (Saksafon – Alto), selain Yuaz, Eja, Widy, Juanita dan Awe sebagai penyanyi latar.

MENTERA MELAYU

Kembali ke pentas, berganti busana lebih gelap dan berkain batik, M Nasir membakar dengan Phoenix Bangkit, diikuti karya malar segar yang menjadi tuntutan dalam banyak persembahannya, termasuk Langgam Pak Dogo yang berisi antara bait nukilan Allahyarham Loloq yang paling saya minati,

Sejurus kerancakan ditinggalkan Bukalah Hatimu, M Nasir menghadirkan kejutan dengan kemunculan sosok Ramli MS dan arkodiannya, memberikan roh kepada Hijab Kekasih yang tidak pernah gagal memberikan bekas pada jiwa.

Mentera Semerah Padi, usai Sahabat Gua, adalah antara judul yang pantang disisih, dilihat meniupi semangat keMelayuan biarpun entah berapa ribu kali diputar, di panggung mana sekali pun. Berhantu, dan itulah hakikatnya.

Ada sebagai lagu akhir tidak membuat canggung untuk menari joget walaupun lintang pukang melangkah, apatah lagi bagi para penggemar yang datang siap bertanjak, tidak kalah dengan ramainya perempuan tampil dalam persalinan Melayu, sebahagian lengkap bercucuk sanggul.

Cuma, malam dirasakan masih muda. Ribuan penggemar enggan berganjak, dan M Nasir tahu apa yang diingini mereka lalu dengan senang memberikan hits klasiknya, Suatu Masa sebelum Sentuhan Listrikmu yang terasa ekstra seksi, malam itu.

Saat panggung ditutup dengan Apokalips, pada usianya yang sudah mencecah 67 tahun, dan tenaga yang tidak terkuras, saya melihat sosok misterius yang paling membekas dalam 45 tahun ini. Entah apakah 3,000 karyanya dapat merungkai misteri itu, hanya Tuhan yang tahu.

INFO

  • Konsert Dato M.N45ir CIPTA 2 akan diadakan pada 12 Oktober nanti sebagai extended version malam Cipta, baru ini.
  • Terhad untuk 6,000 kerusi, pembelian boleh dibuat di www.ticket2u.com.my/mnasircipta2 mulai 27 Ogos ini, 2pm.