Enggan Move On? Konsert Dato M.N45ir CIPTA 2, Oktober Ini!
Dihadiahkan, terutama buat fans tegar sebagai keraian cinta daripada seorang Sifu.

Oleh RUMI | Foto ICON Entertainment

“Kerana permintaan ramai dan kepada mereka yang tidak boleh move on lagi, maka kami adakan CIPTA 2.” – M Nasir

“ADA lagu-lagu lama, tetapi sebahagian besar persembahan akan diisi dengan lagu-lagu lain,” kata Datuk M Nasir, memberi bayangan mengenai Konsert Dato M.N45ir CIPTA 2 yang dijadual berlangsung pada 12 Oktober ini.

CIPTA 2, menurutnya merupakan kesinambungan kepada Konsert Dato M.N45ir yang mencatat full house pada penganjuran 10 Ogos lalu yang sehingga kini, masih diperkatakan dengan banyaknya perkongsian di media sosial.

“Kerana permintaan ramai dan kepada mereka yang tidak boleh move on lagi, maka kami adakan CIPTA 2,” jelasnya yang sudah pun memulai persiapan awal, termasuk rombakan bagi repertoire lagu yang bakal dipersembahkan.

Dianjurkan ICON Entertainment, pengumuman istimewa pada Sesi Majlis Apresiasi Media, baru ini menyaksikan siri kedua konsert yang mengutarakan tema denim biru dan top putih itu akan diadakan di lokasi sama, iaitu di Axiata Arena Bukit Jalil.

Bersandarkan judul lagu yang digunakan bagi pemilihan tiket untuk tempat duduk seperti Mentari Merah di Ufuk Timur, Layang-layang Terputus Talinya dan Sekuntum Bunga Sakura di Gurun Sahara nyata cukup untuk memancing keterujaan.

“Kami akan cuba bawakan lagu yang tidak dibawa pada persembahan pertama, selain menambah lagi beberapa lagu baru, iaitu rakaman-rakaman saya dalam persembahan kali ini. Saya berharap persembahan CIPTA 2 akan lebih bertenaga dan memberi makna kepada semua,” tambah M Nasir.

Begitu pun, kata pengasas ICON Entertainment, Iman Tang, CIPTA 2 yang turut dilihat sebagai extended version konsert Cipta, menghadkan kehadiran kepada 6,000 penonton saja.

“Selain repertoire lagu yang tentu akan berbeza konsert sebelumnya, Konsert Dato M.N45ir CIPTA 2 terhad kepada 6,000 penonton saja.

“Jadi, jika anda fans tegar M Nasir, atau telah terlepas menyaksikan konsert terdahulu beliau, Konsert Dato M.N45ir CIPTA 2 adalah momen terbaik untuk anda cipta dan simpan dalam lipatan sejarah,” katanya.

Akses

  • 12 Oktober 2024
  • Axiata Arena Bukit Jalil

Tiket

  • RM238 (Fantasia Bulan Madu – FBM), RM338 (Mentari Merah di Ufuk Timur – MMDUT), RM458 (Layang-layang Terputus Talinya – LLTL), RM488 (Sekuntum Bunga Sakura di Gurun Sahara – SBSDGS), RM528 (Laila Namamu Teratas – LNT) dan RM588 (Keroncong Untuk Ana – KUA)
  • Beli di www.ticket2u.com.my/mnasircipta2 mulai 27 Ogos ini, 2pm
  • atau, hubungi Hotline 012-6530700 (whatsapp)