Sokong Lokal, Hausboom Music Festival 2024 Sertakan 40 Jenama Streetwear
Bukan hanya konsert, edisi terbaru festival ini bakal tampil lebih gah pada 5 dan 6 Oktober ini.

Oleh RUMI

“Selain konsert sebagai acara utama, turut diadakan Hausboom Lokal Fest yang menyaksikan pembabitan 100 bisnes lokal, membabitkan 40 jenama streetwear seperti SVG, Hikari, Tntco, The Capacity, Asly dan Homebois, dan 40 thrift stores.”

GIG kecil-kecilan asalnya, Hausboom Music yang memasuki tahun ketujuh penganjurannya kembali lebih gah menerusi penyatuan muzik dan bisnes lokal, kata Ketua Pegawai Eksekutif Hausboom, Azri Zahier Azmi.

Ini kerana, menurutnya sudah tiba masanya jenama Hausboom Music yang dibangunkan pada 2017 dilihat bukan sekadar sebuah konsert, tapi festival yang perlu diraikan dalam piawaian yang seawajarnya.

Bertema Colours of Life yang menggambarkan pengalaman luar biasa yang akan diperolehi pengunjung, Hausboom Music Festival 2024 dijadual berlangsung di KL Base pada 5 dan 6 Oktober ini.

Jelasnya, selain menghimpunkan 32 artis Malaysia-Indonesia, juga dianjurkan Hausboom Lokal Fest, buat pertama kalinya, membabitkan 100 peniaga, merangkumi 40 jenama streetwear terkenal tanahair.

“Pemilihan artis, kebanyakannya bersandarkan undian di platform media sosial Hausboom sendiri,” katanya, pada sidang media Hausboom Music Festival 2024, baru ini yang turut dihadiri Tmbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan.

“Bakal mewarnai pentas Hausboom Music Festival 2024 ialah legenda seperti Wings dan Exists, dan Datuk Zainal Abidin. Juga Bunkface, Masdo, Joe Flizzow, ACAB, Yaph, Airliftz dan 53 Universe, antaranya. Ikut ditampilkan, pemuzik Indonesia, iaitu Payung Teduh dan The Changcuters.

“Selain konsert sebagai acara utama, turut diadakan Hausboom Lokal Fest yang menyaksikan pembabitan 100 bisnes lokal, membabitkan 40 jenama streetwear seperti SVG, Hikari, Tntco, The Capacity, Asly dan Homebois, dan 40 thrift stores.”

Penganjuran Hausboom Lokal Fest itu, menurut Azri Zahier, adalah sebahagian daripada usaha untuk memartabatkan jenama-jenama lokal, streetwear Malaysia yang kebanyakannya pernah berkolaborasi bersama Hasuboom, sebelum ini.

“Sebagai penarik, Hausboom juga akan memperkenalkan 100,000 Hausboom Sparkling Juice dengan label edisi terhad Hausboom Lokal Fest pada hari acara nanti yang menyediakan pelbagai hadiah dengan mengimbas kod QR yang disediakan.

“Label pada botol edisi terhad itu adalah kolaborasi dengan lima jenama tempatan dalam industri fesyen, iaitu SVG, Hikari Riders, Asly dan The Capacity,” katanya, selain 300,000 botol edisi terhad versi Hausboom Music Festival 2024 yang boleh didapatkan, antaranya di rangkaian 7-Eleven Malaysia dan Petron yang turut menyediakan hadiah terkumpul berjumlah RM400,000 untuk dimenangi.

Dia berkata, bagi melengkapi pengalaman pengunjung ke Hausboom Music Festival 2024, pelbagai seleksi menu akan disediakan 30 peniaga makanan terkenal tempatan seperti Kampong Kravers, Muiz Hot Chicken, Grill Haven, Beard Brothers dan Roti Wap.

Hausboom juga, katanya, buat julung kalinya menjalin kerjasama dengan Hotlink yang menawarkan pengalaman unik di lokasi untuk penggunanya, menikmati penstriman tanpa gangguan untuk semua senarai playlist di mana-mana, pada bila-bila masa, selain mengakses Fastlane, di gerai barangan dan Hotlink VIP Lounge.

Akses

  • 5 & 6 Oktober 2024
  • KL Base

Tiket

  • RM189 (Umum), RM348 (Rock Zone) dan RM1,200 (VVIP) untuk kemasukan ke kedua-dua Hausboom Music Festival 2024 dan Hausboom Lokal Fest
  • Sila layari https://sayalive.io/hbm2024
  • Bagi pembelian hanya ke Hausboom Lokal Fest, tiket berharga RM15 akan mula dijual pada 1 September ini