Adakah Lagi Selepas Blues Gang?
Persoalan yang entah bila akan terungkai, dan mungkin tidak dalam tempoh yang agak lama.

Oleh Zurina Waji | Foto MEM

“Rasa skeptikal, datang perasaan 50-50 dengan keupayaan mereka untuk membuat persembahan pada malam berkenaan, sesekali menyelinap.“

BEG tote dicetak “Blues Gang. Malaya Blues 1973 – 2024” – hitam atau putih, jadi memorabilia sederhana yang mengaitkan audiens konsert Blues Gang Apo Nak Dikato di Zepp Kuala Lumpur, baru ini.

Bagi sebahagian, ia bagaimanapun memberi makna besar, terutama malam konsert solo berskala besar pertama band ini yang pernah diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai band blues tertua tanahair.

Cuma konsert itu yang hanya berlaku di tahun ke-51 penubuhannya membuatkan saya tidak dapat mengelak daripada berasa aneh walaupun frontman, Ito Mohd, dalam temubual sebelum ini, memberitahu mereka tidak pernah merasakan peluang itu terlewat hadir.

Masih, saya tidak merasakan ia mudah buat band ini yang kini tinggal bertiga, iaitu Julian Mokhtar yang bermain gitar utama dan Ghani Dato Abu Talib (gitar kedua/ keyboard), selain Ito selepas pemergian Jim Madasamy (bass dan vokal) pada 2018, disusuli Shaik Karim (dram/ vokal), Julai tahun lalu.

Rasa skeptikal, datang perasaan 50-50 dengan keupayaan mereka untuk membuat persembahan pada malam berkenaan, sesekali menyelinap.

Kerana pada usia Ito dan Ghani atau Tok Ghani, begitu dia dikenali, sudah menjangkau 73 tahun, tentunya tidak wajar untuk mengharapkan mereka beraksi sebagaimana konsert berskala besar terakhir mereka lewat Konsert 2 Raksaksa Reunion bersama Sweet Charity pada 2011.

Biarpun dengan Ito yang masih mempamerkan misai tebal yang menjadi signature beliau, kegusaran saya tidak juga hilang namun harapan cuba disandarkan selepas menjenguk mereka menjalani latihan yang menjadi kesempatan saya untuk meminta lagu Mak Siti dimainkan.

Diambil daripada album 1993 mereka, Esok Hari, malam itu Mak Siti dan bunyi harmonika Ito membuat saya terhibur sebagaimana kali pertama saya mendengar lagu ciptaan mendiang Jim itu usai sekolah dulu,

BACA: 50 Tahun Blues Gang dan Power Apo Nak Dikato

BACA: Pertama dan Mungkin, Terakhir Buat Blues Gang

“Untuk sebuah band dengan anggota asalnya dan purata usia 70 tahun, mereka hebat sebenarnya.”

BLUES NOSTALGIA

Jujur, Blues Gang sebenarnya tidak perlu membuktikan apa-apa.

Tidak pernah berhenti bermain muzik selama setengah abad ini, daripada gig ke festival,selain kelab, konsert Blues Gang Apo Nak Dikato yang dianjurkan AV Group itu menyerlahkan kenyamanan band ini.

Diiringi Kit Afero sebagai pemain gitar, Munir Shamsudin (dram), Shaharudin Sharif (bass) dan Satiman (keyboard), saya merasai paduan pengalaman dan keghairahan yang tidak pernah padam yang memungkinkan persembahan cukup effortless.

Malam itu turut menampilkan artis undangan , Alex Terry yang memukau dengan harmonikanya, selain Shasya Zainal.

Kata teman yang berlatar politik yang turut hadir menyaksikan konsert, dan sempat mengelola kolum ulasan album-album muzik underground semasa kami sama bertugas di akhbar, “Untuk sebuah band dengan anggota asalnya dan purata usia 70 tahun, mereka hebat sebenarnya.

“Kenyataan bahawa Ito boleh membuat persembahan selama hampir dua jam, okay termasuk 20 minit rehat, dan Julian berdiri cool memainkan gitarnya, dan Ghani yang nampak lemah tapi masih boleh memberikan sentuhan blues dengan keyboardnya, ya memang puas hati.”

Sederhana dengan kehadiran 1,000 penonton, malam dinikmati dengan rasa nostalgia yang diberikan lewat 16 lagunya.

“Biarpun versi Apo Nak Dikato, malam itu tidak seperti dijharapkan, pengaruh lagu ciptaan Ito yang berusia lebih 40 tahun itu terhadap perjalanan Blues Gang sehingga diangkat sebagai lagu mereka yang “paling power” harus diakui.”

Seawal montaj, ia berupa tribute, antaranya terhadap perjuangan menentang kegiatan lanun cetak rompak yang menguasai industri muzik pada era 1980an dan turut dibicarakan filem Kembara Seniman Jalanan arahan Nasir Jani.

Pentas yang dibuka dengan persembahan Dikir Barat, sebelum Malaya Blues memulakan persembahan Blues Gang yang kemudian membawa saya, antaranya kepada Ibu ke Jumpo Kawan Lamo dan Ku Tetap Menanti yang mengusik rasa.

Julian, anggota paling muda pada usia 64 tahun, mengubati kerinduan penggemarnya dengan menyanyikan Don’t You Hide sebelum kembali pada gitarnya, memberikan Katakan dan Khatulistiwa.

Biarpun versi Apo Nak Dikato, malam itu tidak seperti dijharapkan, pengaruh lagu ciptaan Ito yang berusia lebih 40 tahun itu terhadap perjalanan Blues Gang sehingga diangkat sebagai lagu mereka yang “paling power” harus diakui.

Saya suka dengan vibrasi ditinggalkan Blues Gang lewat encore Oh! Mama Saya Mahu Kahwin yang bikin gamat dalam kalangan audiens. Saya juga melihat sosok legenda muzik, Datuk Ramli Sarip di tengah audiens, tampak senang.

Kata teman tadi lagi, usai konsert, “Kalau Blues Gang main di konsert terbuka dengan budak-budak muda, tentu gamat, gegak gempita.” Entah apakah itu akan terjadi, namun saya hanya berharap malam itu akan dikenang dalam lipatan sejarah perjalanan manis band yang bernama Blues Gang ini.