Cherry On Top Yang Bikin Ketagih
Siap untuk pentas berprestij Dewan Filharmonik Petronas, September ini, siapa band ini sebenarnya?

Oleh Zurina Waji

“Nak buat macam mana. Bukannya kami merancang untuk jadi anak orang itu, atau anak orang ini, tapi itulah hakikatnya yang perlu kami terima.” – KUZAN

PADA usia 18 tahun, Bobo yang juga ahli paling muda sudah menjadi pemuzik undangan untuk rakaman album, antaranya bagi penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza dan beberapa band rock seawal bersekolah rendah.

Berlima dengan Kuzan, 22, yang bermain keyboard; Osama, 23 (gitar); Ayen Tommy, 25 (dram) dan abangnya, Didi, 22, (gitar), di samping Holy, vokalis dan satu-satunya perempuan, mereka mencipta kesepakatan sebagai Cherry On Top dan meluncur dengan single Ketagih, baru ini.

Jelas pemain bass ini impiannya saat ini ialah agar dapat bersama Holy dan rakan pemuziknya – kecuali Didi yang sedang mendalami bidang automotif – meneruskan pengajian dalam bidang muzik di ASWARA kelak.

Tapi tidak hanya Bobo, jelas ada terlalu banyak bakat di dalam band ini.

Sekilas, bagaimanapun mudah sebenarnya untuk melemparkan pelbagai prasangka apabila mengetahui setiap ahli band ini mengalir daripada mereka darah seni keluarga yang menjadikan mereka bukan biasa sebenarnya.

“Nak buat macam mana,” kata Kuzan yang mewarisi bakat bapanya, Raja Sham, Pemuzik Kanan, Orkestra RTM selain menjadi Pengarah Muzik dan juga seorang gitaris, komposer, penyusun, dan programmer muzik.

Jelasnya yang juga mendalami seni suara bersama ibunya, Zaira Aziz, seorang guru vokal, “Bukannya kami merancang untuk jadi anak orang itu, atau anak orang ini, tapi itulah hakikatnya yang perlu kami terima.”

Ketagih, duet Holy bersama Datuk Syafinaz Selamat, juga dijadikan judul bagi EP sulung mereka di bawah label One Scream Studio. Dicipta oleh Kusham dan lirik Syafinaz Selamat, ia diharap dapat memperkemaskan langkah mereka sebagai sebuah band rock progresif.

Terbaru, dengan pengumuman Konsert Generasi DFP Edisi 2024 pada 25 September ini dan turut menampilkan Cherry On Top yang melepasi penilaian Dewan Filharmonik Petronas (DFP) menerusi uji bakat yang disertai lebih 100 band tanahair.

“Sebab anak artis, masuk industri guna kabel?” tambah Kuzan. “Boleh jadi stres juga, tapi pada masa sama ia lebih memotivasi kami untuk menjadi sebagus orang tua atau keluarga. Atau, mungkin lebih baik. Jika diberi ruang dan masa, tidak mustahil, bukan?”

Lalu, apa kata yang lain?

“Puas melihat, membesar dikelilingi banyak band hebat dulu, dan kini giliran kami berada di dunia itu sangat mengujakan.” – DIDI

OSAMA

“Tak pernah ada syarat, Cherry On Top mesti anak somebody,” kata anak penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah ini. “Saya memang kenal Raja Sham sekeluarga sejak kecil kerana beliau sering mengiringi Baba (Jamal) dalam persembahan. Tapi dengan ahli band lain, keakraban terjadi dengan sendirinya.

“Ikutkan, setelah kenal yang lain barulah tahu rupa-rupanya masing-masing ada latar belakang sebegini. Baba pesan, bakat yang ada jangan disia-siakan. Katanya, ‘Baba pun menyanyi saja, tak macam kamu boleh main muzik juga. Tonjolkan bakat itu.’ Itu yang saya pegang buat semangat.”

HOLI

“Ini rezeki, biarlah apa orang mahu kata, pakai kabel atau sebaliknya,” kata gadis yang dibesarkan dalam keluarga seni yang bertumpu di tanah kelahirannya, Sabah. “Jika sudah ditentukan, sudah rezeki kamu, apa kamu boleh buat?

“Jadi, baiklah ambil peluang dan gunakan, serlahkan lagi bakat. Kami tidak merancang untuk Cherry On Top harus anak somebody. Tapi kenapa saya memilih bersama band ini? Hanya kerana saya suka menyanyi.”

AYEN TOMMY

“Apa yang penting bagi saya, sekarang ini ialah kerana dapat membanggakan Big Boss,” katanya, ketawa merujuk bapanya, Black yang juga pemain dram band rock legenda, Wings. “Sudah tentu, saya memandang tinggi padanya.

“Saya cuba lari daripada imejnya, termasuk menggunakan nama pentas untuk mengelak diketahui orang, tapi lama kelamaan orang tahu juga. Band ini juga ruang untuk saya memperbaiki permainan, selain belajar bermacam genre, bukan rock semata yang menjadi minat saya.”

DIDI

“Kami dua beradik membesar di studio,” akui Didi kerana penglibatan bapa mereka dalam industri muzik, termasuk menguruskan band rock seperti DEF-GAB-C, antaranya. “Puas melihat, membesar dikelilingi banyak band hebat dulu, dan kini giliran kami berada di dunia itu sangat mengujakan.”

BOBO

Kata Bobo pula yang mula bermain muzik sejak berusia lima atau enam tahun, dram sebagai instrumen pertamanya.

“Satu penghormatan dapat kepercayaan penyanyi sehebat Datuk Siti (Nurhaliza), selain Zamani Slam dan Exad Lazim, antaranya. Juga band rock seperti Panji dan Melisa walaupun ketika itu saya masih bersekolah, sekali gus memperkukuh keyakinan saya untuk meneruskan langkah dalam muzik.”

Dan seperti kata Bobo lagi, siapa dapat mempertikaikan jika muzik sudah sebati dalam jiwa?