Lauk Spider Dah Cukup Masin!
Di malam yang mengimbau penemuan hampir tiga dekad M Nasir, dan jargon indah Loloq.
Oleh Zurina Waji | Foto IFIX ENTERTAINMENT
“… melantunkan Ngam Ho, juga judul bagi debut Spider pada 1998, serak suaranya sambil bermain gitar yang menjadikannya tersendiri, masih membuat hanyut pada malam Spider Keluar Sarang Live in Kuala Lumpur 2024, baru ini.”
TAM atau nama sebenarnya, Rustam Mustafah seharusnya tidak menjadi vokalis band rock dengan pengaruh ska dan punk ini.
Begitu pun, 28 tahun usia band ini yang malahan tidak merancang akan dikenali sebagai Spider itu hanya mengesahkan keputusan untuk akur pada permintaan Datuk M Nasir sebagai produser dan pemilik Luncai Emas, syarikat mereka bakal bernaung, adalah paling tepat.
Sepertimana kali pertama mendengar sosok yang kini berusia 51 tahun itu melantunkan Ngam Ho, juga judul bagi debut Spider pada 1998, serak suaranya sambil bermain gitar yang menjadikannya tersendiri, masih membuat hanyut pada malam Spider Keluar Sarang Live in Kuala Lumpur 2024, baru ini.
Keasyikan muzik, seawal Ajaib sebagai pembuka tirai, dibentangkan dengan kemantapan 20 karya daripada enam album studio mereka pada konsert anjuran IFIX Entertainment itu. Sebahagian judul merupakan ciptaan Tam, padat dipersembahkan, termasuk dengan kemasukan instrumen brass yang membuat kaki menggeletis.
Tak percaya? Tanyalah pada 2,400 audiensnya yang membikin ombak kecil dalam kepadatan ruang di Zepp Kuala Lumpur, satu angka mengharukan bagi band tanahair yang langka membuat konsert solo berskala besar.
Fans, terutama yang memenuhi zon berdiri, meniupi vibrasi biar dalam ruang yang sekadar cukup untuk menghayun tangan mengikut mood yang dicetuskan Spider yang turut menampilkan Aie (dram) dan Is (bass), selain Pown di gitar yang menggantikan sementara Nafie yang berdepan isu kesihatan.
“… enak sambil menelurusi perjalanan band asal Johor Bahru ini yang ikut membicarakan keindahan takdir yang menuai pengkisahan bersama bait magis Allahyarham Loloq yang menjentik akal… “
SPIDER UNPLANNED BAND
Ironi sebetulnya apabila mengingatkan pengakuan Tam mengenai Spider sebagai “unplanned band.” Pada pertemuan kami awal tahun itu, katanya lagi, “Ini tak ada plan punya band. Kita so much into music.
“Gitar, komposisi semua tu kita suka kecuali bila fikirkan ‘aku jadi penyanyi?’ Itu suspens.”
Justeru, mudah untuk memahami mengapa Tam, dalam sesi bersama media usai konsert, terharu dengan sambutan tidak diduga yang memungkinkan Spider Keluar Sarang menjadi persembahan “terbaik, suatu (perkara) yang diidam-idamkan.”
Saya sebenarnya masih tidak mengerti mengapa band seumpama Spider mengambil masa sebegitu lama untuk muncul dengan konsert solo mereka, namun Tam menyambutnya dengan rendah diri, melihatnya “berlaku pada momen yang tepat, dapat kumpul fans baru, (malah) tengok ramai orang muda (menonton).”
Muzik, jelas jadi sandaran band ini yang tiga tahun lalu kehilangan pemain bass, Allahyarham Tony Iskandar Alberto. Kerana agak lama juga mengenali Tony, saya tidak dapat mengelak daripada membayangkan wajahnya, malam itu, tenggelam dalam keasyikan pada tali bassnya.
Seharusnya Tony meraikan ulang tahun yang ke-54, 7 Julai ini lantas menjadikan persembahan malam itu agak sentimental, terutama buat Tam yang mengakui “ralat (Tony dan Nafie) tidak dapat bersama pada tahap ini”, apatah lagi mereka bersahabat seawal sebelum Spider dilahirkan.
Lalu apa cara untuk menzahirkan penghormatan pada memori itu kecuali tumbuh matang dalam perjalanan.
Spider yang dipacu Tam yang pernah disebut M Nasir “memiliki personaliti yang menarik”, diimbangi Aie yang telah dua dekad berjuang sama sebelum muncul Is dengan dreadlocksnya, memberikan warna pada band yang menurut saya agak underrated ini.
NGAM HO LOLOQ
Sungguh, malam jadi tambah enak sambil menelurusi perjalanan band asal Johor Bahru ini yang ikut membicarakan keindahan takdir yang menuai pengkisahan bersama bait magis Allahyarham Loloq yang menjentik akal lewat judul seperti Laukku Cukup Masin, Telinga ke Tulang, Kacap Terlabik, selain Ngam Ho.
Spider, menurut saya, memberi justifikasi kepada kegeniusan Loloq dalam berkongsi pandang. Buat Spider, menerusi banyak lagu yang dihasilkan Tam, persahabatan mereka dizahirkan lewat jargon, atau slang yang menikam dalam kelucuan yang dinukilkan Loloq.
Seolah ada kerinduan ikut dilempiaskan Spider yang menerusi album Bintang 12 mereka pada 2007 menampilkan lirik oleh Loloq bagi semua 10 judulnya dengan tujuh daripadanya dicipta Tam. Anti Graviti, Katalis, Mabuk, selain Telinga ke Tulang yang diperdengarkan malam itu dipetik daripada Bintang 12.
Biar tanpa menyebutnya, sebahagian daripada hadiah keluarnya Spider daripada sarang adalah penghormatan, juga penghargaan buat insan yang sampai kini, masih membekas dengan ratusan karyanya, meliputi marhaen ke politikus, sampai ke daerah sufisme.
Kecuali letusan bunga api di depan pentas yang pantasnya dihadkan, selain perjalanan persembahan yang kadang membuat audiens terpinga-pinga dengan rehat yang agak kerap antara satu-satu lagu, Spider, hakikatnya muncul untuk menghapus dahaga.
Barangkali aneh untuk mengatakan ini, tapi Spider Keluar Sarang hanyalah satu permulaan.
Comments are closed.