Timeless Ungu
Di konsert yang menjelaskan mengapa fans masih tidak jemu dengan band berusia 28 tahun ini.

Oleh Zurina Waji | Foto Bangsawan Pictures

“… lama tidak melihat Ungu beraksi, terutama sejak frontman mereka itu menyertai politik, ada persoalan berlegar – apakah saya akan dihadapkan dengan karekter orang politiknya di pentas kelak, atau melihat mereka memberi justifikasi kepada 28 tahun keberadaan mereka dalam dunia muzik?”

UNGU. Saya tidak ingat di mana, tapi kali pertama diperkenalkan kepada band dengan nama Ungu itu, apa yang saya ingat ialah Pasha, pada usia 20an, ketika itu menyanyi dengan jeans dan baju-T putih tanpa lengan.

Tapi paling diingati tentunya vibrasi 90an yang dibawa, selain nama Ungu itu sendiri yang saya kira agak feminin bagi sebuah band rock. Bukan aneh, hanya kedengaran kurang machonya, ketika itu.

Penampilan Ungu di Mayapada Ungu Live in Kuala Lumpur 2024 – 30 Hits Timeless, baru ini yang melangkah ke pentas dengan sut gelap mereka, nyata memberi tanggapan segar, kejutan yang menyenangkan.

Di Mega Star Arena, Bukit Bintang, Pasha, kini pada usia 45 tahun dan tubuh agak berisi, terus membuka panggung lewat Hampa, diikuti Percaya Padaku sebelum menyapa 5,000 audiens pada malam tajaan AKE Group yang dianjurkan Icon Entertainment itu.

Band asal Jakarta ini punya sejarah yang panjang dengan penggemar Malaysia mereka, iaitu sejak single Demi Waktu yang meledak di Indonesia pada 2005 ikut melorongkan jalan buat Ungu ke negara ini.

Sedar tentang konsert Ungu yang sentiasa mendapat sambutan baik sehinggakan Pasha mengakui senang dengan Malaysia yang disebut “rumah kedua”, dilihat memberikan rasa tidak sekadar pada sut mereka.

Kerana sudah agak lama tidak melihat Ungu beraksi, terutama sejak frontman mereka itu menyertai politik, ada persoalan berlegar – apakah saya akan dihadapkan dengan karekter orang politiknya di pentas kelak, atau melihat mereka memberi justifikasi kepada 28 tahun keberadaan mereka dalam dunia muzik?

Biar tidak lagi duduk sebagai wakil Datuk Bandar Palu, Sulawesi Tengah selepas tamat tempoh pada 2021, Pasha masih ada dua tahun sebagai Ketua Umum Barisan Muda Penegak Partai Amanat Nasional (BM PAN).

Disapa keghairahan Ungu – Enda atau nama sebenarnya, Franco Wellyjat Mendjaja dan Onci (Arlonsy Miraldi) yang bermain gitar; juga Makki (Makki Oemar Parikesti) dan Rowman (M Nur Rohman), masing-masing di bass dan dram, selain Pasha (Sigit Purnomo Syamsuddin), padanlah mudah untuk mereka meraih penggemar.

“… 30 judul itu, walaupun 12 daripadanya secara medley, bukan mudah. Juga kerana bukannya band ini sudah lama tidak bergadang dengan penggemar Malaysianya, cabaran tentunya apa lagi yang baru daripada Ungu?”

30 LAGU, 1 MALAM

Pasha manggung selesa, tanpa basa-basi seorang politikus, hanya diplomasi, malah memikat lewat penghormatannya kepada pemuzik Malaysia yang memberi “inspirasi sehingga kami bisa belajar muzik.”

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada teman-teman musisi Malaysia, khususnya 90an yang sudah banyak memberi referensi untuk kita belajar muzik,” katanya ketika persembahan menuju ke separuh malam.

“Untuk kita dengar muzik-muzik Amerika, muzik Eropah, bahkan Timur Tengah juga kita dengar, tapi paling berpengaruh kerana kita serumpun adalah musisi-musisi Malaysia. Izinkan kami memberi penghormatan kepada musisi Malaysia, kepada seluruh rakyat Malaysia.”

Imej band popular Exists menghiasi skrin sebagai latar persembahan sambil Ungu memperdengarkan Mencari Alasanmu yang disambut audiens sepenuh hati, diikuti Di Sana Menanti Di Sini Menunggu, hit Ukays.

Jika ada yang berkira bagaimana Ungu akan memberikan 30 lagunya pada malam itu, 10 judul menyusul secara medley, antaranya Untukmu Selamanya, Hati Yang Kau Sakiti dan Ku Ingin Selamanya usai hit Andai Ku Tahu diperdengarkan.

Kekasih Gelap, Demi Waktu dan Seperti Mati Lampu antara judul yang awal diteriakkan audiens sebelum ditunaikan Ungu menuju akhir persembahan yang melakar kepuasan maksimal buat malam itu.

Harus diakui, menyanyikan 30 judul itu, walaupun 12 daripadanya secara medley, bukan mudah. Juga kerana band ini kerap juga akhir ini bergadang dengan penggemar Malaysianya, cabaran tentunya apa lagi yang baru daripada Ungu?

Fans jelas menghargai bagaimana Pasha, bersama teman Ungunya, dengan tenaga yang seolah tidak terkuras, meninggalkan sementara pentas politiknya untuk menyantuni Kuala Lumpur sebagai pemuzik sejati dengan vibrasi yang dijangkakan.

Ia membuatkan saya terfikir bagaimana nantinya Ungu pada ulang tahun ke-30 mereka nanti? Masih bertahankah Ungu sekiranya Pasha, benar melangkah ke dewan tertinggi politik pada usia yang menghampiri separuh abad kelak?

Tapi Kuala Lumpur, baru ini mengesahkan biar pun dengan kontroversi yang malah sampai sempat membelit, termasuk peribadi Pasha, jelas ada keberuntungan dengan nama Ungu itu yang dibina atas keghairahan seni mereka.

Dan untuk satu tempoh lagi Ungu nampaknya akan bikin fans tetap senang. Itu kekuatan Ungu.