Pernah Ajar Mengaji, Patutlah Suara Fadhilah Intan Ada Roh
Bagaimana pelantun Dawai asal Indonesia ini membuai perasaan dengan suaranya.

Oleh Zurina Waji

“Kerana lagu Dawai saya bisa menyanyi dan dipanggil ke Malaysia. Semasa diberitahu ada konsert di Penang, apakah saya mahu untuk menyertainya, siapa saja yang tidak mahu, bukan? Untuk bersama Wali Band dan artis Malaysia, kesempatan yang indah buat saya.”

PENGALAMAN mengajar anak-anak kecil membaca al-Quran, menurut Fadhilah Intan, tidak dinafikan banyak membantunya dalam melentur suara, tonasi dan perasaannya, sekali gus membentuk personalitinya dalam bersenandung.

Ia, malah membentuk perjalanan yang penuh makna walaupun dia tidak begitu menyedarinya, ketika itu.

“Semasa masih bersekolah menengah dulu saya mendapat kesempatan untuk mengajar anak-anak kecil mengaji, tapi itu bukanlah kerjaya utama. Cuma kesempatan yang menyenangkan kerana diakui, ada sijilnya.

“Pengalaman yang sangat baik, tentunya tanpa menduga bagaimana dengan mengaji, mengajar al-Quran rupanya memberi kelebihan kepada saya untuk mendalami rasa, juga bermain dengan lenggok suara apabila memasuki dunia muzik,” katanya.

Dawai yang menggugah rasa telah menjulang nama gadis berusia 25 tahun asal Surabaya, Jawa Timur ini walaupun lucunya ramai yang keliru dengan namanya yang cukup keMelayuan itu sehingga diduga dia penyanyi Malaysia.

Ditanya, dia ketawa, lembut. Justeru, dia menganggap salah faham itu membuahkan rezeki buatnya walaupun sebelum ini, dia sebagai penyanyi asal lagu ciptaan Hendro Djasmoro dan Albert Juwono itu tidak begitu dikenali.

Juga banyaknya versi Dawai yang dijadikan cover, termasuk oleh penyanyi sehebat Datuk Siti Nurhaliza dan Aina Abdul, dilihat membantu dalam memperkenalkan dirinya yang hanya membilang hari untuk Konsert Wali “Cari Jodoh” & “Dawai” In Penang.

Dijadual berlangsung di Spice Arena, Pulau Pinang pada 3 Februari nanti, konsert anjuran Orange International itu menampilkan Wali Band bersama Khai Bahar dan Saixse, selain Fadhilah sebagai penyanyi undangan.

“Kerana lagu Dawai saya bisa menyanyi dan dipanggil ke Malaysia,” kata gadis dengan nama sebenar, Fadhilah Intan Pramita Sari ini. “Semasa diberitahu ada konsert di Penang, apakah saya mahu untuk menyertainya, siapa saja yang tidak mahu, bukan?

“Untuk bersama Wali Band dan artis Malaysia, kesempatan yang indah buat saya.”

Fadhilah, bagaimanapun tidak meraih laluan mudah sebelum mendapatkan Dawai yang juga dijadikan runut bunyi filem Mata Di Ujung Sajadah arahan Key Mangunsong yang dibintangi Titi Kamal, Jenny Rachman, Fedi Nuril dan Citra Kirana itu.

Dimuat naik, kali pertama ke saluran You Tube Fadhilah Intan pada Ogos tahun lalu, tidak ramai yang menyedari bahawa dia sebenarnya telah pun muncul dengan single Siapa Dia yang dicipta penyanyi dan komposer terkenal, Melly Goeslow, setahun sebelumnya.

Banyak menyertai pertandingan nyanyian, dia bagaimanapun sering tewas di tangan adik-adiknya.

“Saya, sebetulnya belajar menyanyi daripada kecil kerana adik-adik juga menyanyi. Cuma masa kecil, kerana semuanya menyanyi, kalau bertanding selalunya kategori sama dan saya selalu kalah,” katanya, ketawa.

“Jadi, adik-adik yang selalu menang. Lalu, saya cuba mencari genre yang berbeza daripada mereka, ternyata selepas saya belajar klasikal atau opera, barulah keluar ciri khas suara Fadhilah Intan. Cuma belum boleh sinden (nyanyian tradisional Jawa), mahu belajar juga kalau boleh.”

Fadhilah, semasa diperkenalkan pada sidang media di Kuala Lumpur, sebelum ini mengakui sempat berasa panik apabila diminta menyanyikan beberapa baris lagu Dawai di hadapan wakil media tempatan.

“Sempat panik kerana banyak kamera, takut mengecewakan,” katanya, tapi ternyata memukau dengan nyanyian impromptu itu, membayangkan keasyikan yang akan diberikan menerusi persembahan di Pulau Pinang nanti.

Tiket berharga serendah RM88 masih boleh didapatkan di ticket2u.com.my/walipenang atau hubungi hotline +6011 1133 7638.