UK’Slam: Battle, Atau Kolaborasi Bersejarah 2 Raja?
Kala dua band pop rock popular 90an memutuskan untuk bergabung di satu pentas.
Oleh Zurina Waji | Foto MEM
“… untuk melihat sejauh mana persembahan ini akan berhasil. Kami mahu melihat bagaimana jadinya apabila Amir dan Zamani bergabung, sudah tentu tanpa mencacatkan lagu itu.” – Shah
ADA 30 lagu dikhabarkan akan diperdengarkan pada Concert UK’Slam Musical yang mempertemukan, buat kali pertamanya, dua band pop rock yang pernah mendominasi carta 90an tanahair.
Seawal pengumuman dibuat, bagaimanapun ada pula mempersoalkan apakah mungkin dua raja berkongsi takhta yang sama?
Shah, pemain gitar dan juga pendukung Slam, mengakui persoalan sebegitu sebenarnya menambah keterujaan untuk melihat hasil penggabungan UK’s dan Slam itu lewat konsert di Stadium Malawati, Shah Alam, pada 3 Februari nanti.
Dibahagikan kepada empat segmen, termasuk persembahan secara akustik, setiap band akan memperdengarkan masing-masing sembilan lagu menerusi segmen solo, manakala 12 lagi membabitkan duet.
“Kami pun sama teruja, sepertimana fans, untuk melihat sejauh mana persembahan ini akan berhasil. Kami mahu melihat bagaimana jadinya apabila Amir dan Zamani bergabung, sudah tentu tanpa mencacatkan lagu itu,” katanya, merujuk vokalis UK’s dan Slam itu.
“Sebut UK’s, mahu pun Slam, pada dasarnya orang dah tahu lagu semacam apa yang dibawa. Jadi, penting untuk kami mengekalkan jiwa lagu berkenaan, tidak perlu diubah sampai jadi benda pelik, tapi lebih kepada usaha untuk mencantikkan lagi.”
Selain Amir, konsert anjuran Bombbay Legend Worldwide bersama Amir UKs Entertainment itu menyaksikan UK’s turut dibarisi Denil (gitar), Olley (bass), Amirul (dram) dan Mus Satira (gitar) manakala Slam kekal bersama Eddie (keyboard), Lily (bass) dan Man (dram), termasuk Shah dan Zamani.
Bagi memantapkan persembahan, konsert itu turut menampilkan pemuzik undangan, iaitu Raja Sham bagi gitar akustik, selain Mirzan (keyboard), Mohar (seruling bambu), Paang (perkusi) dan Shafiq (gitar).
Konsep konsert berkenaan, kata Shah pada pertemuan di studio latihan diadakan di Sungai Buloh, adalah sebagaimana dikehendaki penganjur dan mereka hanya akur. Satu previu persembahan kemudiannya diadakan, baru ini, yang menampilkan duet Amir-Zamani.
“Sebab kita hormat konsep itu. Jadi, apabila Bombbay (penerbit) beritahu nak buat macam mana, kami ikut, namun masih berkongsi kepakaran. Tak semua lagu kami akan mainkan, juga tidak semestinya sampai habis, cuma beri input mana yang senang, ringkas dan sedap.
“Apa yang kita kisahkan ialah mencari apa yang terbaik untuk diberi kepada fans. Setiap persembahan, sebenarnya kami memikirkan begitu. Cuma ini tak boleh terlalu memisahkan Slam dan UK’s, jadi fans kena datang dan menilanya sendiri,” katanya.
“Satu masa dulu, album UK’s dan Slam meraih jualan ratusan ribu unit, dan kalau kita bawa kenangan 90an itu ke Stadium Malawati sudah tentu audiens akan diimbau nostalgia, mungkin zaman bercinta kerana lagu-lagu UK’s dan Slam.” – Amir
HADIAH UK’s-SLAM
Bombbay, atau nama sebenarnya, Zamberi Shaari, berkongsi hasrat untuk mencipta masterpiece sebagai hadiah daripada UK’s dan Slam kepada peminat yang setia sepanjang perjalanan kedua-dua band itu.
Ditanya tidakkah 30 lagu mungkin membuatkan konsert jadi meleret, dia menafikannya.
“Tak panjang (durasi) kalau bahan itu bagus orang akan rasa masa cepat,” katanya. “Orang akan mahu tengok macam mana dua band ini buat persembahan bersama dan audiens tak akan terasa dengan masa yang berlalu, apatah lagi ini sejarah UK’s dan Slam di satu pentas buat julung kalinya.”
Cabaran dalam pemilihan judul daripada puluhan hits UK’s, menurut Denil pula, turut disahut peminat yang memberi respons positif setelah dipelawa untuk mencadangkan lagu pilihan untuk dipersembahkan.
“Sebenarnya macam-macam judul diberikan fans, termasuklah lagu yang tidak pernah kami mainkan,” katanya, ketawa. “Mana lagu dapat permintaan tinggi, itu yang kami utamakan seperti Siapa Yang Rampas Cintamu dan Di Sana Menanti Di Sini Menunggu.”
Amir, dalam satu perbualan, mengakui dengan mendadaknya lagu seperti Kembali Terjalin dan Gerimis Mengundang, dia sudah pun menjangkakan pada awal kemunculan Slam, band asal Johor ini akan pergi jauh dalam dunia muzik.
“Saya bersama UK’s masih di syarikat rakaman, BMG Music apabila saya mengenali Slam. Di situlah saya melihat Slam ini bakal menyaingi UK’s, secara sihat, dan terbukti sampai ke hari ini, mereka masih diminati dan kekuatan mereka memang tidak dapat dinafikan.
“Satu masa dulu, album UK’s dan Slam meraih jualan ratusan ribu unit, dan kalau kita bawa kenangan 90an itu ke Stadium Malawati sudah tentu audiens akan diimbau nostalgia, mungkin zaman bercinta kerana lagu-lagu UK’s dan Slam,” katanya.
Shah, ketika ditanya mengenai muzikal sebagai sebuah konsep persembahan, ia adalah peluang untuk mereka berbuat suatu yang istimewa, daripada segi muzik, penyampaian dan susunan lagunya.
“Lagu UK’s mahu pun Slam, orang dah tahu memang sedap, tapi bagaimana kita mahu berikan yang istimewa buat fans. Saar Amri (komposer) memang tengah hot ketika Slam mendapatkan beberapa lagu daripadanya, seperti juga UK’s, cuma tak pernah nyanyi bersama.
“Justeru, apa yang saya nampak, konsert ini akan jadi nostalgia sebab lagu-lagu UK’s dan Slam, intro saja orang akan tahu. Ia menjadi lagu untuk semua zaman dan dengan sistem bunyi hebat kelak, nilai lagu itu juga akan diangkat,” katanya.
Akses
- 3 Februari 2024
- Stadium Malawati, Shah Alam
- 8.45pm
Tiket
- Tiket berharga serendah RM108
- Dapatkan di www.ilassotickets.com, atau hubungi hot;ine 011-1329 7822
Comments are closed.