55 Tahun Sweet Charity, Tak Pernah Terfikir Pun!
Kenapa Konsert Semalam Di Malaya besar ertinya buat band rock asal Singapura ini.
Oleh Zurina Waji
“… 50 tahun lebih sikit, satu yang tak pernah kita fikirkan dan muzik menyatukan kita, seni menyatukan kita. Kita ada tengok majalah Barat, antaranya tentang band seperti ACDC yang sudah 50 tahun, Pink Floyd 50 tahun… “
“BANYAK nostalgia,” kata Datuk Ramli Sarip, mengimbau perjalanan Sweet Charity yang melangkaui soal bermain muzik semata, malah menjadi lambang perjuangan dan pengorbanan, terutama setiap ahlinya.
Perjalanan yang menurut frontman band ini, mencetuskan idea di sebalik Konsert Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity di Zepp Kuala Lumpur, Jumaat ini, yang membawa mereka kembali ke ibu kota selepas 13 tahun.
Rasa nostalgia, menurutnya, tentunya bukan saja buat band yang dibangunkan, antaranya dengan pemain dram, Rahman Sarbani pada lewat 60an itu, tapi juga para penggemar yang membesar bersama muzik mereka sejak merakam album pada 1979.
“Perjalanan kita ini agak jauh, tapi ini satu pencapaian bagi industri (muzik), juga kumpulan Sweet Charity dan peminat. Kita tak sangka akan sampai ke sini, 50 tahun lebih sikit, satu yang tak pernah kita fikirkan dan muzik menyatukan kita, seni menyatukan kita.
“Kita ada tengok majalah Barat, antaranya tentang band seperti ACDC yang sudah 50 tahun, Pink Floyd 50 tahun… kita pun ada cukup bahan bagi dikongsi dengan peminat dan industri untuk sampai ke tahap ini,” katanya.
Justeru, menurut Ramli, tiada yang lebih mengasyikkan berbanding momen yang bakal tercipta.
“Sweet Charity bukan hanya hiburan biasa, tapi memberi erti tentang peranan setiap orang yang kena banyak berkorban. Ini jadi satu show yang akan ada berlainan rasa, tenaga dan juga dorongan,” tambahnya pada pertemuan yang turut dihadiri Rosli Mohalim (gitar) dan Ahmad Jaafar (keyboard dan vokalis kedua), selain Rahman.
“Set list sangat ketat dalam segi muziknya, susunan lagunya dan mudah-mudahan dapat longgarkan persembahan dengan suasana yang lebih santai. Semakin dekat konsert, ada momen baik dirasakan. Saya ada rasa yang sangat positif.
“Kita ada lagu yang okay, kuat dan tempat yang baik. Selebihnya kita tawakal. Perkara sebegini kena ada kepercayaan. Muzik kita walau nampak bersahaja, perlukan skil yang tinggi, energi yang kuat dan dalam, kalau tidak tak akan sampai.”
“… jadi cermin bagi mereka (pemuzik) yang baru. Saya ingat lagi arwah Arab (duo Arab & Aidit), katanya ‘Brader boleh pergi lagi, boleh nyanyi lagi. Kalau kita (orang muda) tak boleh, malulah.”
Sebanyak 25 lagu, kebanyakannya susunan baru, akan diperdengarkan pada konsert berdurasi hampir tiga jam itu yang dibahagikan kepada lima segmen, antaranya penghormatan buat Palestin selain irama keMelayuan. Ia akan dimantapkan dengan penampilan Roza Rasul (keyboard, Din (bass), Addy Cradle (gitar) dan Riduan Zalani (percussion).
Dianjurkan oleh Malaysia Shipowner’s Association, konsert itu turut membabitkan Rasa Karya bagi produksi, selain Mewah Event Management sebagai rakan strategik dan Ilassotickets untuk pengurusan tiket.
Pada pertemuan di Warisan Studio di Sijangkang itu, di mana latihan membabitkan Sweet Charity dan semua pemuzik diadakan, lagu seperti Hilang Gelap Terbitlah Terang, Datang dan Pergi, dan Di Tahun 2000, antara yang diperkemaskan bagi malam konsert kelak.
“Rahman dilahirkan di Pontian,” kata Ramli, sebelumnya mengimbau di sebalik pemilihan Semalam Di Malaya bagi judul konsert. “Saya dibesarkan di kampung tapi arwah mak ayah dari Muar, macam Rosli pun ada pertalian di sana.
“Selalulah ke Johor tanpa pasport. Boleh masuk causweway suka-suka saja. Hari Raya pun, saya tidak meraikannya di Singapura, tapi ke pantai Lido, mandi. Masa itu, (Singapura) belum ada Sentosa Island (taman tema), belum ada Zoo.”
Tidak hanya nostalgia, mungkinkah konsert di Kuala Lumpur ini juga bakal melakar sejarah?
Ramli, ketika mendengarnya, sebaliknya berkata, “Kalau tidak pun, jadi cermin bagi mereka (pemuzik) yang baru. Saya ingat lagi arwah Arab (duo Arab & Aidit), katanya ‘Brader boleh pergi lagi, boleh nyanyi lagi. Kalau kita (orang muda) tak boleh, malulah.’
“Generasi kini lebih mencabar apabila berharap single, belum ada pun 10 lagu (sendiri) untuk buat persembahan. Sampai bila nak guna lagu orang untuk dijadikan bahan anda? Bakat saja tak cukup sebab semua orang ada bakat, tapi masih kena disiplin. Jika tengok TV, set dah macam konsert Queen, tapi apabila turun di jalanan dah lain game. Jadi, kena laluilah dengan tekun.”
Tiket terhad Konsert Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity masih boleh didapatkan di www.ilassotickets.com
Comments are closed.