Jujur Takkan Melupakanmu Radja
Rindu yang membuai rasa, diadun dengan aura Ella lewat penampilan yang mengujakan.
Oleh Zurina Waji | Foto Orange International Entertainment
“Ian Kasela sebagai frontman Radja, bersama saudaranya, Moldy Kusnadi yang bermain gitar, selain Seno Aji (dram) memberikan sebuah persembahan energetik yang memperlihatkan band itu masih berupaya menambat hati.”
JUJUR, ada sedikit rasa skeptikal kala dikhabarkan mengenai cubaan untuk membawa Radja ke Kuala Lumpur untuk konsert, tahun ini. Skeptikal kerana apakah band Indonesia ini yang kali pertama menemui penggemar Malaysianya hampir 20 tahun lalu masih berpengaruh.
Ini, antaranya kerana hanya setahun lalu, konsert yang seharusnya menggandingkan Radja dengan sebuah lagi band Indonesia, Repvblik, diberitakan telah dibatalkan, antaranya dipercayai kerana penjualan tiket yang tidak memberangsangkan.
Insiden Mac lalu, biarpun membuat trauma susulan salah faham yang membawa kepada ancaman bunuh usai satu konsert Radja di Johor Bahru, nyata beralih menjadi panggilan buat mereka yang rata-rata mengenali band asal Banjarmasin, Kalimantan Selatan itu menerusi single Jujur.
Live in Concert: Radja (Special Appearance Ella) anjuran Orange International Entertainment di Mega Star Arena menjadi saksi terbalasnya kerinduan 5,000 fans untuk bernostalgia dengan band yang tinggal bertiga itu.
Ian Kasela sebagai frontman Radja, bersama saudaranya, Moldy Kusnadi yang bermain gitar, selain Seno Aji (dram) memberikan sebuah persembahan energetik yang memperlihatkan band itu masih berupaya menambat hati.
Barangkali tidak menduga akan diraikan audiens sebegitu rupa sehingga Ian menuturkan, “Ini adalah bab baru buat Radja kembali ke Malaysia dengan respons yang sungguh luar biasa daripada peminat semua, terasa momen intimasi itu sepanjang konsert berlangsung.”
Untuk sebuah band yang mula ditubuhkan pada Mac 1999 dan pada awalnya, dikatakan bermain muzik dengan nasi bungkus sebagai upah sebelum meledak pada 2004 lewat album ketiga, Langkah Baru, keraian itu jelas meniupkan semangat buat perjalanan Radja yang agak berliku.
“Suara serak basah Ella disambut keterujaan audiens, apatah lagi sebaik melihat kelibatnya yang tampil dengan persalinan glam rock dalam rona klasik hitam putih untuk duet Jujur, seraya menjadi kemunculan perdana Ella-Radja semenjak cover itu dirakam bagi album Rama-Rama, 16 tahun lalu.”
Seawal panggung dibuka Radja dengan Bulan, kemantapan suara pemilik nama sebenar, Iandhika Mulya Ramadhan yang turut mempamer tenaga yang seolah tidak terkurang, kini pada usia 49 tahun, merangsang audiens untuk sama menyanyi dan menari sepanjang malam.
Selalu Jauh Dari Cinta, Wahai Kau Cinta, Benci Bilang Cinta dan Ga Ada Waktu antara judul daripada 16 lagu yang diperdengarkan pada konsert yang turut dijadikan kesempatan untuk memperkenalkan Axel Farden Mulia yang juga merupakan anak Moldy sebagai penyanyi jemputan sebelum putera Ian, Hugo Kasela ditampilkan menerusi duet Aku Ada Kerana Kau Ada.
Saya bagaimanapun lebih tertarik mendengarkan Cinderella yang dinyanyikan Ian bersama seorang lagi anaknya, Hugo Kasela, didorong pertikaian berhubung hak cipta susulan dakwaan lagu itu sebagai ciptaan asal Ipay, sekali gus menghangatkan kembali lagu fast itu yang kali pertama dirakam untuk album kedua mereka, Manusia Biasa.
Sempat, segmen anak beranak itu yang dirasakan meleret dengan Ian mempromosi semua tiga remaja berkenaan membuat ada kalangan audiens mengungkapkan konsert itu telah berubah menjadi “hari keluarga.”
Kehangatan yang didambakan penggemar Radja bagaimanapun kembali selepas Ian mengambil alih panggung sepenuhnya, sebelum memancing audiens dengan korus Sepi Sekuntum Mawar Merah yang membuat seluruh arena meneriakkan nama penyanyi asalnya, Ella.
Suara serak basah Ella disambut keterujaan audiens, apatah lagi sebaik melihat kelibatnya yang tampil dengan persalinan glam rock dalam rona klasik hitam putih untuk duet Jujur, seraya menjadi kemunculan perdana Ella-Radja semenjak cover itu dirakam bagi album Rama-Rama, 16 tahun lalu.
Dia, sepertimana diduga, menghadiahkan versi penuh Sepi Sekuntum Mawar Merah dengan penuh karismatik, diiringi pemuzik tanahair, termasuk pemain gitar utama Slam, Shah yang mengundang rasa audines untuk mahu lagi dibuai Ella.
Saya tidak pasti apakah Ian, terutamanya menyedari tentang pengaruh Ella, namun dia tidak menyembunyikan kejutan mengimbau kala pertama kali diperkenalkan dengan sosok yang digelar Ratu Rock Malaysia itu.
Radja, menerusi Seno, sebelum ini juga mengakui teruja dengan kolaborasi itu selepas hanya mengenali Ella dengan “nyanyian yang sangat indah didengar” menerusi dua hits mereka yang dirakam dan digabungkan sebagai Jujur Takkan Melupakanmu.
Ian yang kembali menyertai Ella dan semua penyanyi undangan, bersama memberikan Takkan Melupakanmu sebagai penutup dengan kerancakan yang mengirim fans dalam mood sentiasa merindui Radja, setidak-tidaknya untuk nostalgia semalam.
Comments are closed.