Angan Ben Ladin
Kenapa rapper dan komposer, Malique masih jadi sandarannya untuk kolaborasi bersama Shiha Zikir ini.
Oleh Zurina Waji | Foto Sony Music Entertainment Malaysia
“Cara Malique tu lain. Sejak dulu, saya minat cara dia rap, cara dia menyanyi, bagaimana dia membawa dirinya dan menyusun kariernya.”
“MACAM cliché bunyinya, tapi mestilah Malique. Cara bagaimana dia membina namanya, legasinya, itu yang buat saya meminatinya,” akui Ben Ladin mengenai antara sosok yang mempengaruhinya dalam bermuzik.
Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, peluang mendapatkan Hikayat BinLadin, karya rapper terkenal itu yang mula dikenali sebagai duo Too Phat pada 2018 itu bersama Dedeq, lebih daripada sekadar debutnya dalam seni suara.
Hikayat BinLadin malahan membuka pintu untuk Ben yang pernah menyertai sebuah program pencarian bakat semasa berusia 11 tahun untuk meneroka keupayaannya dan lebih enak, yang diidolakan mengiringi langkahnya.
“Cara Malique tu lain,” kata Ben, terbaru menjalin usahasama lagi menerusi single, Angan yang turut menampilkan Shiha Zikir, seorang lagi penyayi yang turut dikaguminya. “Sejak dulu, saya minat cara dia rap, cara dia menyanyi, bagaimana dia membawa dirinya dan menyusun kariernya.
“Banyak yang dikongsi Malique untuk menjadi seorang penyanyi, jadi rapper sebenar. Saya beruntung kerana dapat berkolaborasi dengan seorang yang pertama saya idolakan. Banyak yang diajarkannya.”
Jelas penyanyi berusia 22 tahun ini, dia memang punya banyak sebab untuk berkongsi keterujaannya tentang kelahiran Angan yang juga merupakan kolaborasi ketiganya bersama Malique selepas Rampung pada 2019 yang dicipta bersama Luca Stickta dengan lirik, Stiqma dan Luca.
“… tiada lagu sesuai sehinggalah datang Angan. Seperti diduga, sebaik masuk saja suara Shiha terus mood lagu ini diangkat.”
Angan yang mengisahkan perasaan seseorang yang terperangkap dalam ilusi untuk mencapai kehidupan mewah dan kuasa yang tinggi, mengalami rasa kebingungan dan ketidakpastian dalam mengejar impian kerana realiti kehidupan yang sukar diwujudkan.
Ia merupakan ciptaan bersama Malique dan Ben, manakala lirik oleh Malique dan Muhaimin.
“Angan adalah sebagaimana yang saya inginkan,” kata Ben mengenai penerapan elemen tradisional yang disifatkannya telah dilengkapkan oleh kelunakan suara Shiha. “Kali pertama mendengarnya memang saya dapat rasakan auranya, bunyian muzik yang saya mahukan. Saya mahukan rasa tradisional itu, vibrasi Nusantara kerana ia dekat dengan hati kita.
“Kala mendengarkan beat Angan, saya terus terbayangkan suara Shiha disebabkan sudah lama sebenarnya saya berniat untuk berkolaborasi dengannya, tapi tertangguh berikutan tiada lagu sesuai sehinggalah datang Angan. Seperti diduga, sebaik masuk saja suara Shiha terus mood lagu ini diangkat.”
Sambil menyifatkan dirinya masih mentah dalam nyanyian, anak kelahiran Johor Bahru ini yang juga merupakan antara pelakon muda berbakat selepas meraih perhatian menerusi drama Amsyar, sekali lagi meletakkan Malique sebagai sosok penting dalam perjuangannya.
“Kerana bekerja dengannya buat saya rasa selesa. Malah sesiapa pun sebenarnya, kalau dia buat lagi, dia komited, bersungguh-sungguh seolah-olah seperti lagu itu dibuat untuk dirinya sendiri. Apa citarasa lagu yang saya nak saya akan dapat apabila bersamanya,” katanya yang memasang impian untuk ke pentas lebih besar, bermula dengan Angan untuk meneroka pasaran seperti Indonesia, Singapura dan Brunei.
Lagu Angan boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati di semua platform penstriman muzik seperti Apple Music, Spotify dan YouTube.
Comments are closed.