Sentimental Malam Nurkasih Slam
Satu konsert sederhana untuk fans melempiaskan rindu dalam nostalgia yang mengesankan.

Oleh Zurina Waji | Foto MEM

“… konsert ini adalah demi memenuhi permintaan fans yang jelas hanya menginginkan peluang untuk melepaskan rindu seraya mengimbau kenangan lalu dengan lagu-lagu malar segar Slam.”

SIAPA peduli tentang penataan cahaya, pentas yang polos selagi ada sosok bernama Zamani di situ? Siapa peduli tentang soal state-of-the art yang dibicarakan seorang teman sebaik penyanyi bertubuh melidi itu melantunkan suara lunaknya?

Ini realitinya. Cukup dengan aura seorang Zamani, lenyaplah segala ketidaksempurnaan, jika ada.

Ditambah dengan kelembutannya, pendiam dan sering tampil malu, terutama pada awal kemunculannya dulu, liku kehidupan insan bernama Zamani ini yang menjadi tontonan masyarakat malahan mendekatkan lagi para penggemarnya yang tidak jemu memberi sokongan.

Dan kembalinya Zamani bersama Slam, baru ini, pada malam yang dipentaskan sederhana di Zepp Kuala Lumpur, Konsert Slam Nurkasih diraikan 2,000 fans, iaitu yang pertama di tanahair semenjak dia selamat menjalani pembedahan tulang belakangnya.

Ini soal besar, tentunya bagi sebahagian fans pada konsert anjuran AGV & WMD, selain Belbis sebagai rakan produksi dan Mewah Event Management sebagai rakan strategik yang didengari membicarakan tentang kondisi penyanyi kesayangan mereka itu.

“Dah okay ke? Eh, ya lah. Dia dah tak nampak bongkok sangat macam sebelum ini,” kedengaran kumpulan beberapa penggemar wanita yang berdiri di hadapan saya, ikut bersorak dan pantas merakam di telefon bimbit sebaik Zamani muncul berjaket kulit merah untuk membuka konsert dengan Kembali Merindu.

Sedang tidak berapa jauh, ada pasangan bukan Melayu yang daripada telo bahasanya seperti Indonesia ikut teruja, menyanyi bersama. Itu mengingatkan saya tentang populariti diraih Slam seawal album kedua mereka, Kesan Terbukti pada 1995 yang turut menerobosi pasaran republik itu dengan judul Tak Mungkin Berpaling yang mencecah jualan 2 juta unit.

Slam terus melangkah gah di persada muzik Indonesia dengan lagu-lagu pop Melayunya, dilonjakkan dengan single Gerimis Mengundang melalui album kompilasi Terbaik Slam pada 1996 yang membolehkan band yang didirikan pemain gitarnya, Shah, meraih trofi di Anugerah Muzik Indonesia.

BACA: Demi Penuhi Permintaan Fans, Konsert Slam Nurkasih Siap Imbau Memori

“… mood roman dan mellow yang menjadi identiti Slam, lagu-lagu cinta dan cerita tentang kelukaan menguasai awal malam, antaranya lewat Biarkannya, Doa Buat Kekasih, Suratan dan Rindiani…

MEMORI KEMBALI TERJALIN

Slam tanpa Zamani adalah suatu yang tidak mungkin dapat diterima para penggemarnya.

Sungguhpun begitu, Slam sebagai sebuah kumpulan tidak boleh dikesampingkan, apatah lagi melihatkan keterujaan audiensnya yang sebahagiannya membesar bersama band itu.

Kesatuan Slam, tidak hanya sebagai sebuah kumpulan tapi menjangkaui sebuah persaudaraan, yang membolehkan mereka kekal bersama, cukup lama untuk meraikan ulang tahun ke-30 mereka, tahun depan.

Seperti kata Shah pada pertemuan lalu, konsert ini adalah demi memenuhi permintaan fans yang jelas hanya menginginkan peluang untuk melepaskan rindu seraya mengimbau kenangan lalu dengan lagu-lagu malar segar Slam.

Sesuai dengan mood roman dan mellow yang menjadi identiti Slam, lagu-lagu cinta dan cerita tentang kelukaan menguasai awal malam, antaranya lewat Biarkannya, Doa Buat Kekasih, Suratan dan Rindiani sebelum Maria Mariana mengakhiri Set A.

Rasa gusar tentang keupayaan Zamani untuk meneruskan malam terpadam apabila celotehnya jelas menghiburkan audiens yang kemudian diperdengarkan Manisnya Rindu dengan energi yang konsisten, didukung oleh Lili (bass), Man (dram) dan Eddie (keyboard), selain Shah sendiri.

Disusuli Jika Kau Rasa Getarnya, Slam terus membuai audiensnya dengan judul seperti Tak Mungkin Berpaling dan Kita Terpaksa Bermusuhan sebelum Nur Kasih yang sedikit upbeat diperdengarkan.

Slam kembali menusuk dengan Gerimis Mengundang, mengingatkan bagaimana judul ciptaan Saari Amri ini disifatkan antara paling berhantu, diikuti Mentari Muncul Lagi sebelum Kembali Terjalin menghantar audiens pulang dengan perasaan yang mengasyikkan.

Jelas, Konsert Slam Nurkasih berhasil membalas kesetiaan para penggemarnya, memenuhi keinginan mereka untuk dihumbankan ke dalam mood sentimental nostalgia semalam, dan kerana Slam masih Slam yang mereka kenal dulu, itu sudah cukup.