<i>Next Level,</i> KidDin Bawa Search Lewat <i>Rockin’ Arena</i> dan <i>Rockin’ On Rooftop</i>
Dua konsert gergasi dirancang sebagai penutup tirai 2022 dan meraikan kehadiran 2023.

Oleh Rumi

“… amat menitikberatkan piawaian ini, selaras dengan nama besar Search yang cukup berpengaruh selama empat dekad dalam genre rock tanahair.”

“KAMI amat terharu apabila peminat menobatkan konsert itu sebagai konsert paling berpengaruh, tahun ini,” kata Noordin atau Din, pemain gitar Search yang bersama adiknya, Kid dilihat sebagai tulang belakang Rockin’ On Rooftop di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur, Jun lalu.

KidDin, begitu mereka digelar penggemar band rock legenda ini yang kini terpecah dua – satu daripadanya diterajui dua beradik itu bersama Denden Gonjalez sebagai vokalisnya, Yan (bass) dan Minn (dram) selain Firdaus (keyboard undangan).

Kemelut yang melanda, sebelum ini nyata memberi hikmah buat KidDin yang disifatkan meniupi nafas baharu buat band asal Johor ini yang baru ini, mengumumkan penganjuran dua lagi konsert menjelang akhir tahun di Pulau Pinang, diikuti Johor Bahru pada Januari tahun depan.

Rasa syukur dan terima kasih disampaikan Din terhadap komen positif dan ulasan memberangsangkan peminat dan media terhadap konsert pasca pandemik itu yang jelas membuka laluan buat penganjuran dua lagi konsert gergasi ini.

“Kebanyakan klip video yang dikongsi di media sosial oleh peminat mendapat jumlah tontonan yang cukup tinggi,” kata Din, seraya mengakui ia mendorong permintaan tinggi untuk Search beraksi lagi.

Katanya lagi, tawaran turut diterima Search untuk mengadakan konsert di luar negara, namun buat masa ini, pihaknya memutuskan mengambil sikap sangat berhati-hati dalam memilih untuk bersetuju.

“Perkara paling penting ialah Konsert Rockin’ On Rooftop di Kompleks Campbell itu kami jadikan sebagai penanda aras untuk konsert seterusnya, baik daripada segi tempat, tarikh dan masa,” katanya, memetik kenyatan medianya.

Search juga, menurut Din, dijangka memainkan tidak kurang 20 lagu menerusi konsert itu yang perlu dijadikan lebih baik daripada sebelum ini dengan mempertingkatkan kualiti sistem bunyi, permainan muzik dan persembahan.

“Spesifikasi peralatan muzik dan sistem bunyi juga mesti mempunyai kualiti sama atau lebih baik lagi. Pihak kami amat menitikberatkan piawaian ini, selaras dengan nama besar Search yang cukup berpengaruh selama empat dekad dalam genre rock tanahair.

“Ini bermaksud apabila peminat menonton persembahan Search, mereka akan menikmati standard Search itu sendiri daripada segi kualiti bunyi dan penataan cahaya dikendalikan jurutera Search yang cukup berpengalaman.”

Selain itu, perancangan juga sedang diatur untuk Search bermain di Bandung, Indonesia pada Februari tahun depan, selain memenuhi permintaan penggemarnya di Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.

Akses

KONSERT ROCKIN’ ARENA

  • 24 Disember 2022
  • 9pm
  • Penang Spice Arena, Bayarn Baru, Pulau Pinang

KONSERT ROCKIN’ ON ROOFTOP

  • 28 Januari 2023
  • 9pm
  • AEON Mall (bumbung), Bandar Dato Onn, Johor Bahru

Tiket

  • RM148 dan RM268
  • Boleh dibeli di www.fenomenasearch.com
  • Atau, secara fizikal di kedai Search Rock Station, Kompleks Campbell, Kuala Lumpur