<i>Kuching Jazz</i> Kembali, Ekstra Jazzy Bersama Afgan, Phum Viphurit & Noryn Aziz!
Dua malam pesta yang dimeriahkan dengan jualan gastronomi dan kraftangan, akhir Oktober ini.

Oleh Rumi

KUCHING kembali jadi tumpuan dengan kehadiran 10 penghibur jazz berpengaruh, termasuk bintang Indonesia, Afgan bersempena Kuching Jazz, bermula 28 Oktober ini.

Dua tahun tertunda kerana pandemik, pesta yang telah mewarnai kalendar keraian di Sarawak itu yang turut dikenali sebagai Kuching Waterfront Jazz Festival akan diadakan di Waterfront, Grand Magherita Kuching.

Acara yang memasuki tahun keempatnya dianjurkan oleh Hemisphere Corporation Sdn Bhd.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark Ferguson, Kuching Jazz boleh disifatkan sebagai satu percutian hujung minggu yang ideal, menjadikan kunjungan ke kota kebanggaan Sarawak itu cukup berbaloi.

“Peminat festival ini serta genre muzik yang diketengahkan penghibur yang diterbangkan dari beberapa negara seperti Australia, Indonesia, Singapura dan Thailand akan menjadi magnet kepada peminat,” katanya.

Beliau menerusi kenyataan medianya, turut mengumumkan selain Afgan yang dikenali, antaranya menerusi lagu Sudah dan Jodoh Pasti Bertemu, pengunjung akan dihiburkan oleh penyanyi jazz terkenal Malaysia, Noryn Aziz, bersama Leon Sapphire, Ta’Dan Ky Den dan Ushera.

Kemeriahan Kuching Jazz pasti lebih dirasai dengan kehadiran penyanyi sensasi Thailand, Phum Viphurit, selain Freyja Garbett (Australia) dan Dawn Wong & The Ark Royal (Singapura), sambil pengunjung menikmati seleksi gastronomi dan kraftangan yang dijual di bazar.

Barisan pemuzik dan penghibur yang ditampilkan, menurut Mark, dipercayai akan memberi kepuasan dan menjadi hadiah terbaik buat pengunjung, apatah lagi dengan reputasi acara ini yang pernah disertai nama-nama besar seperti Datuk Sheila Majid, Tompi, Kunto Aji, Baihana, Carmen Souza Trio, Siti Navarro dan Harvey Malaiholo serta Dayang Nurfaizah dan Ning Baizura.

Akses

  • 28 & 29 Oktober 2022
  • Waterfront, Grand Magherita Kuching, Sarawak

Tiket

  • Pas 1 Hari:

Hari Pertama Pra Jualan RM180 (Dewasa), RM90 (Kanak-kanak 3-12 tahun) dan di lokasi RM200 (Dewasa), RM100 (Kanak-kanak 3-12 tahun);

Hari Kedua Pra Jualan RM280 (Dewasa), RM140 (Kanak-kanak 3-12 tahun) dan di lokasi RM300 (Dewasa), RM200 (Kanak-kanak 3-12 tahun)

  • Pas 2 Hari:

Pra Jualan RM350 (Dewasa), RM170 (Kanak-kanak 3-12 tahun)

Info dan pembelian pas di www.kuchingjazz.com