Mencuri Raden Saleh Bukan Kaleng-Kaleng
Dari penceritaan kepada pemilihan pelakon dan inti kritik sosialnya, ia nyata bukan hanya sekadar filem.
Oleh Zurina Waji
“Paling mencabar adalah skrip kerana ia bukan genre biasa di Indonesia, malah rasanya tiada yang pernah membikinnya, sebelum ini.”
“DUA lukisan itu tidak jauh daripada tembok luar. Saya terfikir, sekiranya saya punya cukup keberanian dan mencampak lukisan itu ke luar tembok, senang-senang saja saya boleh dapat 1 juta Dolar,” kata Angga Dwimas Sasongko mengenai lukisan Raden Saleh yang longgar kawalannya pada pameran yang dikunjunginya di Yogyakarta.
“Ia buat saya memikirkan tentang mencuri (lukisan) Raden Saleh dan mula merencana untuk membuat filem mengenainya.”
Idea Mencuri Raden Saleh, filem bergenre aksi heist membabitkan lukisan berjudul Penangkapan Diponegoro, iaitu karya pelukis terkenal Indonesia abad ke-19 itu melalui proses pembikinan yang sangat dramatik, jelasnya.
“Paling mencabar adalah skrip kerana ia bukan genre biasa di Indonesia, malah rasanya tiada yang pernah membikinnya, sebelum ini,” katanya mengenai filem arahannya yang padat kritik sosialnya itu yang ditunjangi enam bintang muda Indonesia – Iqbaal Ramadhan sebagai Piko, pemalsu lukisan; Angga Yunanda (Ucup, si hacker), Aghniny Haque (Sarah, pakar bela diri), Rachel Amanda (Fella, si perunding), Umay Shahab (Gofar, si mekanik) dan Ari Irham (Tuktuk, si pemandu).
“Kami ambil masa tiga tahun untuk menulis skripnya, malah menghantarnya kepada seorang penulis pemenang anugerah di Amerika Syarikat, tapi selepas tujuh draf, ia masih tidak memuaskan. Jadi, saya menulisnya sendiri. Sukar kerana ia soal menyampaikannya kepada audiens yang tidak biasa dengan cerita sebegini dan bagaimana mahu menjadikannya lebih lokal.”
Cerita itu, menurut Angga adalah cerminan terhadap pengkisahan di sebalik lukisan yang perlu dicuri enam karekter utamanya yang terperangkap dalam perancangan yang berputik daripada hasrat meraih duit bagi menyelesaikan masalah.
“… perlawanan daripada kelompok kecil dan soal pertahanan, pengkhianatan. Saya gunakan semiotik ini untuk memberitahu idea perlawanan daripada rakyat marhaen terhadap sistem yang lebih besar yang tidak peduli sehinggalah si kecil ini melawan balik.”
Enam remaja ini menggunakan kepakaran mereka, berkomplot untuk mencuri lukisan Raden Saleh atas arahan seorang yang berpengaruh. Sebaliknya, mereka dikhianati sehingga menjadi buruan polis lalu mereka nekad membalas dendam dan merancang untuk mencuri kembali lukisan itu.
“Penangkapan Diponegoro merujuk antara perang paling lama pada era penjajahan koloial Belanda di Indonesia,” kata lulusan Sains Politik daripada Universitas Indonesia ini pada temubual yang berlangsung secara maya itu. “Panglima Diponegoro ditangkap bukan ketika perang, tapi semasa negosiasi. Ia umpama pengkhianatan terhadap undang-undang peperangan (kerana) anda tidak menangkap musuh ketika negosiasi.
“Lukisan itu sendiri dibuat Raden Saleh untuk mengajuk bangsawan Belanda. Semasa draf pertama, saiz (orang) semuanya normal tapi apabila lukisan siap, dapat dilihat dua pegawai Belanda yang menangkap Panglima Diponegoro dilukis seperti orang kerdil dengan kepala besar dan tubuh lebih kecil, seolah mengajuk.
“Kejadian itu dan juga lukisannya, saya lihat ia mengenai perlawanan daripada kelompok kecil dan soal pertahanan, pengkhianatan. Saya gunakan semiotik ini untuk memberitahu idea perlawanan daripada rakyat marhaen terhadap sistem yang lebih besar yang tidak peduli sehinggalah si kecil ini melawan balik.”
“Enam pelakon ini adalah yang terbaik di Indonesia. Bukan saja mereka pelakon paling popular, ketika ini malah bakat terbaik diperolehi, beri tambah nilai kepada penceritaan dan ya, komersil.”
Angga Sasongko, menerusi rumah produksi, Visinema Pictures yang diasaskan ada 2008 merupakan pemenang beberapa anugerah, antaranya Anugerah Citra untuk Filem Terbaik pada Festival Filem Indonesia 2014 bagi karya terbitannya, Cahaya Dari Timur: Beta Maluku. Manakala Surat dari Praha yang diarahkannya dipilih penyertaan rasmi Indonesia ke Anugerah Academy pada 2016.
Mencuri Raden Saleh yang mencatat lebih 1.2 juta audiens di Indonesia dalam masa kurang seminggu tayangan, mulai akhir Ogos lalu, menurutnya mengambil masa setahun untuk mengumpulkan enam pelakon yang dimahukannya itu.
Alasannya: “Enam pelakon ini adalah yang terbaik di Indonesia,” katanya yang bertemu setiap seorang daripada mereka secara peribadi bagi projek yang diterbitkannya itu bersama Jagartha dan Blibli dengan kerjasama Astro Shaw.
“Bukan saja mereka pelakon paling popular, ketika ini malah bakat terbaik diperolehi, beri tambah nilai kepada penceritaan dan ya, komersil. Saya didorong rasa ingin tahu bagaimana bekerja dengan mereka semua dalam satu naskah.
“Sebagai sutradara, untuk keluarkan potensi mereka jadi satu pengalaman yang belum pernah saya alami. Dan bukan saja mereka ada rupa, tapi mereka berhak ke atas karekter itu dan berhasil menunjukkan kredibiliti, potensi, tampak kuat di dalam filem.
”Mencuri Raden Saleh akan mula ditayangkan di Malaysia pada 22 September ini.
Apa kata pelakon Mencuri Raden Saleh?
IQBAAL
“Di skrip pada babak Piko yang dalam keadaan terdesak terpaksa mencuri kerana tiada pilihan, saya menulis ‘be friend with fear.’ Saya sebenarnya takut dengan ketinggian, walaupun ada stunt, saya buat (babak melompat) sendiri. Ia mengingatkan bagaimana Piko terpaksa berkawan dengan ketakutan. Minda separa sedar Piko di dalam saya membantu saya membuat suatu yang ditakuti, iaitu (berdepan) ketinggian.
“Filem ini mulanya dikritik kerana enam anak mudanya dianggap tidak cukup profesional (untuk melakukan pencurian), tapi kerja ini harus bermula dengan anak muda kerana lihat gerakan tuntutan hak sivil, malah kemerdekaan dimulai anak muda. Tidak boleh orang lebih tua melakukannya yang mungkin mencuri kerana mahu beli susu anak sedangkan anak muda hanya mahu melawan sistem lebih besar yang menekan kami. Ia simbol perlawanan dan melawan balik.”
UMAY
“Sama seperti Piko sampaikan, melawan. Sebagai pelakon, kami merasakan itu, iaitu jadi bahagian daripada perlawanan. Kita bisa dimasukkan sebagai, mungkin (siri TV) Money Heist di Eropah yang dijadikan simbol perlawanan di stadium bola sepak, di sebuah demonstrasi mereka pakai topeng (dipopularkan karekter) Money Heist. Sebagai pelakon, semangat perlawanan terhadap sistem yang selalu ada di kepala, itu perlawanan yang menarik bagi anak muda apatah lagi gerakan, revolusi selalu bermula dengan anak muda.”
AMANDA
“Saya gembira kerana filem ini mendorong diskusi di media sosial bagi menjelaskan siapa Raden Saleh, tentangnya dan seninya, misalnya apa makna di sebalik lukisan Penangkapan Diponegoro. Malah, sebelum projek dicadang Angga Sasongko, saya termasuk orang yang tidak tahu siapa Raden Saleh.
“Saya ke Singapura pada 2018, sempat ke National Gallery dan ada lukisan Raden Saleh di sana. Barulah saya tahu beliau pelukis moden Asia Tenggara yang terkenal, cukup besar rupanya. Sebuah lukisannya, malah pernah mencecah harga Rupiah 150 Milyar. Di Jakarta ada juga Jalan Raden Saleh tapi orang tak sedar dia siapa sehingga filem ini keluar, orang jadi ingin tahu tentang hasil seninya.”
Comments are closed.