<i>3 Generasi:</i> Spider Tak Rancang Nak <i>Tone Down</i>
Sedar mood headbanging yang akan diberikan XPDC, band ini tambah ingin lepas gian… main muzik.

Oleh Zurina Waji | Foto Faizal Tonto

“Ada level, bukan kasta tapi hormat tu. XPDC adalah satu band besar, itu harus dipandang. Siapa lagi kalau bukan Mael yang mampu memberi rasa pada marhaen metal Malaysia?”

“SPIDER tak nak bersaing, tak nak cabar sesiapa,” kata Tam Mustafah, frontman band asal Johor itu  yang persembahan mereka pada malam Konsert YOLO Live Sessions: 3 Generasi akan diapit Noh Salleh dan band rock, XPDC.

“Ia bukan suatu yang mudah kerana persoalannya, bagaimana Spider mahu imbangkan hype itu atau main saja, jangan peduli?”

Cabaran sebenar Spider, menurutnya memperhebatkan muzik bagi menyempurnakan repertoire mereka yang diperkenalkan menerusi album Ngam Ho pada 1998.

“Apa yang kita ada (lagu), itulah dia. Kami kena pastikan persembahan itu beri kesan pada hati audiens. XPDC, bagi kami sebagai satu band senior, ada adab yang perlu dijaga bila sepentas ni. Bukan bermakna tunduk, tapi ada benda yang menuntut kita untuk memberikan rasa hormat itu.”

Dianjurkan YOLO Malaysia, konsert itu yang dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 27 Ogos ini bagaimanapun bukanlah yang pertama buat Spider dan XPDC yang akan tampil bersama vokalis asalnya, Mael.

“Nak kata tone down, tidak! Saya tidak peduli kalau sudah atas pentas. Kita jalan, tak peduli tapi… “

“Ini bukan kali pertama Spider main dengan XPDC, jadi kita dah tahu macam mana nak masuk,” kata Tam sambil kami melihat senarai lagu pada papan putih di studio di Sungai Buloh, usai latihan malam itu bersama pemain dram, Aie dan bass, IS. Spider yang pernah berada di bawah naungan Luncai Emas, milik komposer terkenal, Datuk M Nasir turut dianggotai gitaris, Nafie.

“Tapi seperti Noh sebut sebelum ini pasal hormat, samalah macam kami apabila memandang XPDC. Ada level, bukan kasta tapi hormat tu. XPDC adalah satu band besar, itu harus dipandang. Siapa lagi kalau bukan Mael yang mampu memberi rasa pada marhaen metal Malaysia? Hal peribadi kadang terlampau diperkatakan sehingga orang tidak disanjung dengan cara yang wajar,” ujarnya.

Begitu pun, tegas Tam ia tidak bermakna Spider harus berkompromi dalam persembahan.

“Bukan tone down tapi seimbangkan,” jelasnya. “Nak kata tone down, tidak! Saya tidak peduli kalau sudah atas pentas. Kita jalan, tak peduli tapi tetap kena jaga lagi-lagi dalam pemilhan lagu. Kita tak nak berlawan, tak best! Kita nak dalam show itu daripada Noh, Spider ke XPDC untuk serlahkan hype tanpa menjatuhkan. Itu lagi best.”

Pandangan kami kembali mengarah pada senarai lagu itu yang menurut Tam, “sudah berpuluh kali diubah”, antaranya judul yang jarang diperdengarkan. Studio itu berderai dengan tawa mendengar seloroh saya agar Spider membawa Tiara, hit asal band rock 90an, Kris yang lagi menggila, saat ini.

Akui tidak semua lagu yang dianggap rare itu sesuai dipersembahkan, katanya repertoire Spider pada malam 3 Generasi kelak mewakili setiap daripada enam album studio yang pernah dirakam mereka.

“Kena seimbang sebab ada orang beli album Spider, ada orang tidak. Ada orang dengar tanpa tahu kita punya proses, kita punya cerita. Beza tu. Ada fans tahu semua, ada fans sekadar pendengar yang suka lagu tertentu,” kata vokalis dan gitaris yang juga komposer berbakat ini.

“Kalau dah panggil XPDC, orang nak dengar balada ke? Orang mesti nak banging. Tak ada nak buat benda lain di situ, metal kan. Samalah kita, kena pastikan orang bergembira dengan kita. Bezanya Spider, kita ada lagu balada dan fast number. Itu cabaran besar. XPDC dah straight metal, tak perlu nak balada sangat.”

Enam album studio, terakhir Ankabut pada 2016, memastikan Spider sentiasa dalam radar lantaran kekuatan muzik mereka yang mampu bertaut indah dalam ska rock, antaranya. Aladin pada 2002 menambah kegilaan terhadap Spider lewat kolaborasi Allahyarham Loloq bagi hampir keseluruhan lirik yang memberikan hits, antaranya Lauk Ku Cukup Masin dan Kasih Latifah.

Anugerah Industri Muzik (AIM) memberikan penghormatan buat Spider apabila Aladin meraih Album Pop Terbaik pada tahun ke-10, disusuli AIM12 yang menganugerahi Nazraku, Album Pop Rock Terbaik. Manakala Relaku Pujuk yang dimuatkan di dalam Nazraku yang memenangi kategori Pop Rock pada Anugerah Juara Lagu (AJL) 19 turut dinobat Juara Lagu.

“Sampai terdetik ‘apa hal semua (hjt) lagu M Nasir ni?’ Macam Tiara tadi. Wings ada, Search ada. Alleycats pun ada! Freedom ada, Zaiton Sameon pun dia (M Nasir) ni ada. Semua nama besar-besar punya karya, tak ada yang kecil-kecil.”

CERITA UNPLANNED BAND DAN M NASIR

HUJAN lebat di luar studio membuat suasana tambah nyaman. Tam, sambil membetulkan topinya, berkata: “Kalau ikutkan, kita ni unplanned band.” Senyum, tambahnya, “Ini cerita terang-terang, takde plan punya band. Kita so much into music. Gitar, komposisi semua tu kita suka kecuali bila fikirkan ‘aku jadi penyanyi?’ Itu suspens.”

Spider yang awal dulu turut dianggotai Allahyarham Tony Iskandar yang dikenali dengan mainan bassnya, menurutnya malahan hanyalah nama sementara kerana tidak ambil pusing soal jadi artis.

“Supaya kalau ditanya orang, senang Spider lah. Jadi letaklah Spider, memikirkan nanti kita adjustlah. Silaplah sebab terlalu fikirkan muzik kita terlupa pasal hal sepenting nama tapi kami percaya nama Spider diungkap bukan kebetulan, pasti bersebab.

“Cuba tukar pun tak boleh, macam sifat labah-labah dah melekat habis,” katanya, mengakui kunjungan ke Kuala Lumpur, ketika itu tanpa diduga membawa mereka ke Studio Ronggeng milik M Nasir.

“Masa diberitahu kawan, dengar perkataan studio je dah teruja. Nak sangat pergi sebab tak pernah tengok studio dan langsung tak memikirkan pasal pemiliknya. Tahulah itu studio M Nasir, tapi tak peduli pun.”

Ketidakpedulian tu, jelas Tam kerana M Nasir dilihat berada di satu liga berbeza.

“Kami tahu dia orang besar, malah dia adalah idola saya dalam komposisi. Saya mengidolakan M Nasir, bukan sebagai penyanyi tapi komposer. Sebagai penyanyi saya tidak begitu mengenalinya dulu tapi saya betul kagum dengan lagu-lagu ciptaannya yang seolah-olah dibawa semua penyanyi.

“Sampai terdetik ‘apa hal semua (hjt) lagu M Nasir ni?’ Macam Tiara tadi. Wings ada, Search ada. Alleycats pun ada! Freedom ada, Zaiton Sameon pun dia (M Nasir) ni ada. Semua nama besar-besar punya karya, tak ada yang kecil-kecil. BPR (Bumi Putra Rockers), Medicine pun ada. Kali pertama jumpa, ‘Oh! Itu ke dia orangnya?’ Di situlah segalanya bermula,” katanya.

“… M Nasir adalah seorang produser yang hebat. Dia bagi kami kebebasan untuk berkarya, tiada sekatan, tiada pembabitan langsung walaupun satu. Kau buatlah suka hati kau. Kami duduk di studio, ada yang masih di studio sampai jadi gila!’ Kita into it, tiada patah balik sampailah sekarang.”

Ngam Ho mencatat Spider sebagai produser, malah bagi semua album studio mereka – suatu yang tidak pernah diberikan M Nasir kepada mana-mana artisnya, sebelum itu. Nafie, misalnya kata Tam, “Daripada tidak tahu apa-apa pasal rakaman, sampai dicalonkan di AIM untuk album M Nasir, Phoneix Bangkit.”

Sambil tertawa, akuinya: “Memang dia beri kepercayaan, tapi dalam proses (belajar) itu banyak jugalah benda kami rosakkan. Trial and error, tapi hasilnya memuaskan. Berpeluang terbabit dalam  album N Nasir, juga proses pembikinan album Wings, Search, antaranya. Itu memang sekolah terbaik dan klimaksnya adalah kala mendengar penghasilan seninya.”

Kepercayaan diberi M Nasir, tambahnya antara apa yang membolehkan Spider melangkah jauh.

“Dia bos sebab kita duduk di bawah label M Nasir. Dia percaya seseorang artis itu ada pandangan tersendiri dan dia menghormatinya. Dia masih beri input tapi kitalah yang kena putuskan, nak dengar cakap dia atau nak lawan dia punya cakap.

“Kita lawan tapi sebagai cabaran. Jadi dari satu album ke album seterusnya perjalanan lain-lain. Dia pantau tapi tak kacau pun. Contoh, katanya lagu ini tak sedaplah tapi kami pertahankan. ‘Sukahati kau,’ katanya. ‘Kau percaya lagu ni sedap kan.’ Dia seperti itu dan dia percaya pada apa yang kami ada namun itulah yang menjadi cabarannya.

“Tapi pastinya, apa yang kita boleh katakan, M Nasir adalah seorang produser yang hebat. Dia bagi kami kebebasan untuk berkarya, tiada sekatan, tiada pembabitan langsung walaupun satu. Kau buatlah suka hati kau. Kami duduk di studio, ada yang masih di studio sampai jadi gila!’ Kita into it, tiada patah balik sampailah sekarang.”

Justeru 3 Generasi, menurut Tam juga diharap menjadi platform band berusia 26 tahun ini meraih audiens baru, termasuk mendorong kelahiran pemuzik muda.

“Kita berevolusi dengan muzik,” kataya. “Spider bukan sekadar ada lagu tapi muzik, seperti mainan gitar. Ini diharap menarik anak-anak muda untuk main gitar. Kita nak orang terdorong buat muzik, misalnya apa perlu ada untuk buat band.

“Jadi, apabila dengar lagu yang sedap, penuh guitar works, drum dan bass akan buka jalan untuk cari fans baru. Dari satu lagu, lama-lama harap akan dengar seluruh album dan mula main. Itu yang kita harapkan, iaitu untuk beri rasa itu kepada orang.”

Kata Tam lagi, lumrah bagi pemuzik untuk mengharapkan karya diterima secara masif, melangkaui generasi walaupun diakui kepelbagaian yang cuba diberikan Spider menghasilkan fans yang sukar dijangka.

“Nak buat lagu punk, tak kan makcik nak dengar punk? Ada lagu orang muda suka, orang tua tak suka sangat. Fans Spider sukar dijangka apabila ada lagu tertentu, makcik makcik suka.

“M Nasir pernah mengatakan ini, ‘Kat Malaysia ni ada dua benda je, satu rock, satu balada. Kau (Spider) ni kat tengah-tengah, metal pun tak sangat, balada ada lah.” Kami sempat melalui masa sukar disebabkan itu dan mungkin sebab itu, jadi macam ini,” ujarnya, ketawa penuh makna.