Yonnyboii ke M Nasir. Dayang Nurfaizah ke Tuju. MALAYSIA LIVE! Tiup Nafas Baharu
Siri konsert live-streaming pacu industri hiburan tanahair 2021 biar pun di tengah Covid-19.

Oleh Rumi | Foto @vscape_

“KITA masih perlu cari makan dan membayar bil,” kata Jennifer Thompson, antara tulang belakang industri muzik tanahair mengenai realiti yang mendesak penggiat sepertinya keluar daripada kemelut akibat pandemik Covid-19 yang melumpuhkan ekonomi dunia.

Desakan yang menuntut pemain industri untuk bangkit, bergabung tenaga yang melahirkan MALAYSIA LIVE!

Bagi memastikan industri muzik terus bernafas pada 2021 ini, MALAYSIA LIVE! telah direalisasikan hasil kerjasama Jennifer dan pengarah muzik, Datuk Acis bersama Pam Shahril dan Shahril Razak daripada Gabung Cipta, iaitu sebuah syarikat pembekal sistem audio dan cahaya profesional.

Dayang Nurfaizah
Aizat Amdan & Noh Salleh
Jaclyn Victor
Yonnyboii

Disokong Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (PENJANA), antaranya bagi membantu penggiat dan perniagaan industri kreatif yang terkesan akibat pandemik Covid-19, MALAYSIA LIVE! akan memulai live-streaming dua episod pengenalan menjelang akhir Januari ini.

Ia juga adalah sebagai usaha mengekal dan memulakan acara konsert secara langsung dalam talian, bukan hanya untuk artis tanahair malah pembekal, jurutera, lokasi, kru dan perniagaan di belakang tabir yang kehilangan punca pendapatan akibat Covid-19.

Langkah itu, menurutnya, bukan sekadar menjana pekerjaan malah bagi menghiburkan peminat muzik tanahair dan membangkitkan keterujaan konsert secara langsung walaupun disiarkan secara maya.

“… semestinya adalah untuk mengesyorkan kita tidak kehilangan bakat dan kepakaran industri kita kepada pekerjaan lain.” – Jennifer Thompson

Menampilkan gandingan penyanyi terkenal seperti Datuk M Nasir, Dayang Nurfaizah dan Faizal Tahir ke muka baharu seperti Yonnyboii, Zynakal, Kmy Kmo & Luca Sickta, konsert ini telah dirakam secara langsung tanpa penonton di KL Live @ Life Centre.

Konsert diiringi pemuzik handalan seperti Acis sendiri yang bermain keyboard dan bertindak selaku pengarah muzik, juga Fendi Mokhtar (dram); Jenny Chin (keyboard), Rozhan Rahman (bass), Wan Gigi (gitar), Jamie Wilson (gitar) dan Steve Thornton (percussion).

Manakala Yuaz Bahtiar Kassim, Eja Muhd Nor dan Juanita Ismail sebagai penyanyi latar.

Dato M.Nasir
Tuju
Zizi Kirana
Faizal Tahir

Kata Jennifer, perubahan dalam industri hiburan adalah lumrah kehidupan namun dalam keadaan drastik ini dan dalam percubaan untuk menyesuaikan diri, hakikatnya setiap pemain ada tanggungan perlu dipenuhi.

“Bukan kita dalam industri tidak mencuba menyesuaikan diri atau meningkatkan kemahiran untuk mengadaptasikan diri kepada norma baharu, tetapi ia perlukan lebih daripada usaha kita sendiri,” katanya menerusi satu siaran media.

“Objektif ,” jelasnya lagi, “semestinya adalah untuk mengesyorkan kita tidak kehilangan bakat dan kepakaran industri kita kepada pekerjaan lain.”

Menurut Acis pula, industri muzik antara yang terjejas teruk berikutan acara-acara secara langsung untuk khayalak ramai yang sebelum ini menjadi sumber pendapatan penggiat seni belum boleh dibenarkan.

“Dalam senario terburuk, mereka terpaksa menjual peralatan muzik yang sekian lama menjadi punca pencarian makan,” katanya yang berharap MALAYSIA LIVE! membolehkan pemain industri “mula menjana pendapatan dan bagi peminat muzik menyambung semula keistimewaan menonton acara secara langsung.”