Kasi Jadilah! Konsert 4G’s: Black, Hazama, Tomok & Akim Disember Ini
Dan hanya satu yang diimpikan mereka, iaitu untuk mencetuskan fenomena.
Oleh Rumi | Foto Belbis Sdn Bhd
SEPULUH bulan berlalu, masih adakah semangat yang bersisa untuk tahun 2020 ini?
Sebelum menularnya pandemik Covid-19 yang ikut menjejaskan industri seni tanahair, Black, Hazama, Tomok dan Akim tidak menyembunyikan keterujaan untuk bergabung, membentuk quartet buat kali pertamanya.
Dijadual asalnya untuk persembahan dua malam pada pertengahan April lalu, wabak yang melumpuhkan banyak ekonomi dunia telah melihat penggabungan itu ikut berdepan halangan untuk direalisasikan.
Penganjur, Belbis Sdn Bhd bagaimanapun tampaknya optimis masih ada sinar pada 2020 ini.
“Mereka ada banyak lagu popular dan setiap orang ada kelebihan vokal serta identiti muzik tersendiri,” kata wakilnya, mengesahkan Konsert 4G’s yang tertunda telah dijadual semula untuk dua malam, bermula 17 Disember depan.
Baca: Gabungan Melodi Terindah di Konsert 4G’s: Black, Hazama, Tomok & Akim
Begitupun, menurut kenyataan media yang diedarkan, penganjur hanya menyasarkan 450 tempat duduk dalam Istana Budaya, setiap malam dan sedang mempertimbangkan untuk menambah semalam lagi persembahan.
“Kemungkinan akan ditambah kepada satu malam lagi, bergantung kepada keadaan, selain perlu mengikuti SOP ketat sebagaimana yang telah digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara,” tambahnya.
Serentak, kata wakil itu lagi, satu single yang buat kali pertamanya menyatukan empat penyanyi ini akan dilancarkan pada awal Disember nanti untuk menyuntik mood segar, selain menambahkan lagi aura mereka untuk merealisasikan konsert berkenaan.
Penganjuran konsert ini turut mendapat kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. Tiket telah mula dijual sejak 15 Oktober lalu, manakala pembeli awal akan menerima e-tiket baharu melalui emel, mulai akhir Oktober.
Boleh didapatkan menerusi www.airasiaredtix.com atau talian hotline +6018-2488184
Info lanjut, DM ke Instagram @konsert4gs atau @belbisproductions
Comments are closed.