Salammusik Persiap 2021 Bagi Jelajah Eropah
Naskah dengan elemen muzik tradisional jadi senjata pikat audiens antarabangsa.
Oleh Rumi | Foto Salammusik
2020 seharusnya menjadi tahun yang gemilang buat Salammusik yang mengintai peluang untuk menerobosi pasaran muzik dunia menerusi sembilan festival utama di Eropah, jika tidak kerana pandemik Covid-19.
Apatah lagi, jelajah berkenaan sepatutnya berlaku bersamaan keraian ulang tahun pertama penghasilan Riwayat, iaitu album fizikal kumpulan ini yang memuatkan hits Menyemai Kemungkinan.
Keunikan yang nyata, menjadi kelebihan apabila Salammusik yang mencipta nama lewat karya yang berisi gabungan bunyian tradisional dan moden yang disebut sebagai genre Irama atau digelar juga Newsantara, diberi penjadualan semula untuk meneruskan jelajah Eropah mereka pada tahun depan.
Ia susulan jelajah dalam negara, dari Selatan ke Utara tanahair, mengalunkan keasyikan melalui hits terdahulu seperti Aku Pelat dan Bangkit, selain Menyemai Kemungkinan daripada album terbaharu itu yang diilhami sejarah Malaysia.
“… menghargai elemen muzik tradisional yang menjadi khazanah negara dan akan sentiasa mengketengahkan elemen ini untuk dikongsi… ”
Riwayat, menurut siaran media mereka, mengandungi karya seni, puisi, terjemahan, transkripsi dan akord album, di mana Menyemai Kemungkinan turut dijadikan lagu tema bagi filem aksi mempertahankan diri, Geran. Versi asal atau Newsantara Remix by YYY Hertz kini boleh didengari di semua platform digital, termasuk i-Tunes dan Spotify.
Salammusik, malah menerima pengiktirafan bermakna di tanahair menerusi penghargaan yang dizahirkan Kerajaan Malaysia melalui Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai menyokong inisiatif kumpulan ini memartabatkan elemen muzik tradisional di dalam penghasilan naskah mereka.
“Ia satu perasaan yang sukar untuk digambarkan apabila usaha kreatif kami mendapat perhatian pemimpin negara ini,” kata Salammusik, merujuk perjuangan mereka dalam mengangkat dan menyemarakkan elemen serta irama tradisional Malaysia.
“Kami sentiasa menghargai elemen muzik tradisional yang menjadi khazanah negara dan akan sentiasa mengketengahkan elemen ini untuk dikongsi bersama generasi muda dan pada masa sama, masih disulami rentak moden agar kekal relevan.”
Berbesar hati dengan sambutan menggalakkan daripada pendengar tempatan, Salammusik juga mengakui teruja menantikan kemunculan mereka di pentas Eropah yang diharap membuka jalan untuk mengembangkan pengaruh muzik mereka ke persada dunia.
Seraya menggalakkan pemuzik tempatan supaya berani mengeksplorasi kolaborasi di peringkat antarabangsa yang bakal memberi banyak pengalaman dan ilmu baharu, tambah mereka, “Dunia sedang berevolusi dan saling menginspirasikan, kita juga tidak harus ketinggalan.”
Comments are closed.