“Kaki hang dah tak ada, dik.” – Insiden dua minggu sebelum Raya mengubah pemain bola sepak kudung ini, selamanya
Oleh Zurina Waji | Foto IG aliftarmezam
DIA memang anak nelayan sejati. Pantang nampak laut, kakinya sudah tidak sabar berlari di pasir pantai dan menerpa air, bermain dengan ombak.
Tapi, tidak lagi hari ini.
“Dulu kalau masa air surut,“ kata Mohammad Nur Alif Mohamad Tarmezam, 23, menerusi kapsyen yang mengiringi fotonya, duduk berjuntai kaki di batuan pantai, di akaun Instagramnya, “sudah pasti turun laut menyelam cari hasil laut. Cuma sekarang kena fikirkan keselamatan dulu.”
Perkongsian itu diakhiri dengan perkataan #bahaya.
Jujur, dalam perkongsiannya dengan Rumi Explorer, anak kelahiran Pulau Pangkor ini tidak menyangka dunianya akan berubah dalam sekelip mata.
“Sehinggalah abang sulung, Mohd Rizal datang, seorang diri ke arah saya, memeluk dan berbisik, ‘Dik, abang nak beritahu hang ni… jangan marah, jangan sedih. Kaki hang dah tak ada, dik.”
Ramadan, enam tahun lalu, dia hanya memikirkan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal dihadapi tanpa menduga ujian sebenar didatangkan, dua minggu sebelum sambutan Hari Raya. Dia dimasukkan ke hospital berikutan kemalangan jalanraya yang menyebabkan sebelah kakinya terpaksa dipotong.
“Seminggu saya di hospital, tapi lama terlantar di katil (rumah). Semasa kemalangan, saya sedar tapi sebelah kaki sudah tidak terasa apa-apa. Selama tiga hari ditahan di sebuah hospital Kerajaan, mereka tidak berbuat apa-apa… terlantar tanpa sebarang air, mahu pun makanan.
“Sehingga akhirnya, keluarga ambil keputusan untuk memindahkan saya ke sebuah hospital swasta tapi sudah terlambat. Kaki saya tidak dapat diselamatkan lagi dan mungkin, saya juga sudah tiada di muka bumi ini,” katanya.
Alif pernah menyertai acara renang untuk Para-Sukma
Alif memberitahu, ketika itu, dia sebenarnya tidak mengetahui bahawa kakinya akan dipotong.
Jelasnya, walaupun tiada luka luaran, bahagian dalaman kaki kirinya itu sudah teruk disebabkan urat saraf tersumbat.
“Semua orang merahsiakannya daripada saya, baik keluarga, doktor, kawan-kawan… semua tidak beritahu. Sehinggalah abang sulung, Mohd Rizal datang, seorang diri ke arah saya, memeluk dan berbisik, ‘Dik, abang nak beritahu hang ni… jangan marah, jangan sedih. Kaki hang dah tak ada, dik.‘
“Semasa kemalangan berlaku, saya baru berumur 17 tahun. Di tengah Ramadan, lagi dua minggu mahu menyambut Lebaran. Saya tidak sempat pun ambil peperiksaan percubaan SPM, malah SPM pun di katil,” katanya.
Kemalangan pada 2014 itu, kata Alif, pada awalnya membuatkannya terfikir tidak ada gunanya untuk hidup lagi.
“… manusia semuanya sama. Serba kekurangan. Kalau kita rasa kita susah, sebenarnya ada orang lebih susah cuma berbeza dugaan, cabaran. Jadi, saya bina semangat semula. Jatuh bangun, saya bangkit… ”
“Masa mula-mula dapat tahu kaki saya dah tiada, perkara pertama saya fikirkan tentulah masa depan. Cita-cita nak jadi polis, musnah. Masa depan saya gelap. Saya berfikir, dunia memang tidak adil dan sebagainya,” katanya.
“Tipulah kalau saya kata saya tidak malu untuk berhadapan dengan orang dalam keadaan tidak sempurna sehingga terlintas dalam fikiran untuk apa lagi hidup kalau diri serba kekurangan. Sejak kecil, cita-cita saya mahu jadi polis kerana abang dan kakak saya, polis. Impian saya mahu jadi seperti mereka, malah lebih hebat.
“Menangis sudah tentu, tidak henti-henti menangis. Perasaan bercampur baur, marah sedih semua ada.”
Namun dia bersyukur, kecamukan perasaan yang dialaminya tidak lama. Dia memberikan penghargaannya kepada ibu, Robakyah Mohd Yusuf dan bapa, Mohamad Tarmezan Abdul Raj yang disifatkan tonggak kekuatannya untuk mengharungi ujian ini.
Ibu dan ayah, tonggak kekuatan Alif
Ditanya apa yang membuatnya merubah persepsi, dia yang melihat adanya hikmah di sebalik setiap kejadian, berkata, “Bagi saya, manusia semuanya sama. Serba kekurangan. Kalau kita rasa kita susah, sebenarnya ada orang lebih susah cuma berbeza dugaan, cabaran.
“Jadi, saya bina semangat semula. Jatuh bangun, saya bangkit kerana ibu bapa dan orang sekeliling yang tidak henti-henti memberikan semangat. Alhamdulillah, sampai sekarang saya boleh menerima semua ini.”
Masa depan, sememangnya suatu yang tidak dapat diduga Alif yang hari ini, menyarung jersi No.12 sebagai pemain tengah Amputee Football Malaysia.
Pada perlawanan di Jakarta, Indonesia
Dia yang bersama Projek Tongkat sejak 2017, sebuah inisiatif kesedaran mengenai bola sepak kudung, ketika itu dijemput menyertai Kejohanan Amputee Football di Kuala Lumpur, kali pertama menentang pasukan Indonesia.
“Menyarung jersi kebangsaan, berpeluang bermain untuk negara, itulah perasaan paling seronok sekali. Saat kaki melangkah masuk ke stadium, bertongkat, dada memang berdebar namun bangga…”
“Pada mulanya, saya tidak berminat kerana rasa ada kekurangan. Mustahil untuk bermain bola dengan hanya sebelah kaki, tapi apabila cuba bermain barulah terasa semua itu tidak mustahil. Malah seronok sangat sebenarnya, tambahan berjumpa kawan-kawan yang senasib,” katanya yang seharusnya menyertai satu kejohanan pada April lalu namun ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan bagi membendung wabak Covid-19.
Bukan saja bermain bola, peminat pemain tengah Selangor, Brendan Gan ini juga merupakan pegawai keselamatan kolam renang di Hotel Marina Island, Pulau Pangkor, malah menyertai acara renang Para-Sukma, tiga tahun lalu.
Status OKU bukan penghalang untuk mengharumkan nama Negara
Hilang upaya, menurut Alif yang selesa bertongkat berbanding berkaki palsu, bukanlah pengakhiran. Baginya, hidup tetap indah walaupun bergelar Orang Kurang Upaya (OKU). Positif, kematangan anak muda ini cukup terserlah.
Dia ketawa mengimbau kepayahan dilalui semasa mula bermain di padang, namun terselit nada bangga kala bercerita, “Kadang terlupa kaki sebelah sudah tiada. Berlari dengan hanya sebelah kaki sangat memenatkan, mengimbangi sambil menendang memerlukan tangan yang kuat untuk memegang tongkat. Kalau tak, terjatuh.
“Menyarung jersi kebangsaan, berpeluang bermain untuk negara, itulah perasaan paling seronok sekali. Saat kaki melangkah masuk ke stadium, bertongkat, dada memang berdebar namun bangga kerana bermain untuk negara.
“Saya sentiasa berusaha untuk membuktikan apabila jadi OKU, ia bukanlah penghalang. Apa yang orang rasa OKU tidak mampu buat, ia membuatkan saya lebih ingin mencuba. Ia jadi cabaran untuk saya dan kalau kami, OKU sendiri tidak naikkan nama OKU, siapa lagi?”