#single ‘Kini Ku Sepi’ Joanna and Co. Dan Aura 80an Sheila Majid
Karya kembalikan band pop indie alternative ini dalam radar muzik tanahair

Oleh Rumi | Foto Joanna and Co

“… tidak hairanlah mengapa Sheila, juga penyanyi seperti Francissca Peter menjadi inspirasi Joanna and Co dalam penghasilan muzik mereka.”

DUA puluh tahun Joanna Renisa membiarkan sebuah lagu ciptaannya yang berentak R&B terperap. Iaitu, lagu mengenai seorang gadis yang kecewa ditinggalkan kekasih, namun masih bersikap positif dengan ketentuanNya.

Cliché?

Bedanya, apabila lagu itu akhirnya diputuskan untuk diperdengarkan kepada khalayak, bukan dengan selera R&B, tetapi diadun dalam mood Pop Vibe 80an.

Kini Ku Sepi, menurut kenyataan media Joanna, selaku pencipta dan vokalis, adalah sebagai cubaan band berkenaan untuk meraih minat pendengar dengan mengembalikan aura yang pernah dipelopori penyanyi terkenal, Datuk Sheila Majid.

Jelas, membesar dalam era pelantun yang diperkenalkan menerusi Pengemis Muda itu, tidak hairanlah mengapa Sheila, juga penyanyi seperti Francissca Peter menjadi inspirasi Joanna and Co dalam penghasilan muzik mereka.

2020, menurut Joanna lagi, disifatkan tahun terbaik untuk menebarkan mood sebagaimana diberikan Kini Ku Sepi, sekaligus mengembalikan Joanna and Co. yang pernah hit, antaranya lewat Aku Pelangi dan Lutsinar dalam radar muzik tanahair.

Bersama gitaris, Ijam; pemain bass, Kusha dan dram, Farid Hashimoto, Kini Ku Sepi dilancarkan menyusuli single Go Ahead, tahun lalu.

Sebuah video muzik yang menyaksikan suntikan mood 80an dalam pembikinannya, telah dilancarkan pada 14 Mac lalu bagi menambah kehangatan lagu hasil kolaborasi beberapa pemuzik tanahair seperti Ayop Azril dan Juad (Robot Asmara) dengan tiupan saksofon oleh Farin Irwan (Gerhana Ska Cinta).

Pengolahan semula melodi dan harmoni vokal turut dibantu Widy (Gerhana Ska Cinta) dan Jipie (Pesawat). Lagu diadun oleh Hafiz Ahmad, manakala mastering oleh Leon Zervos, jurutera yang berpengalaman bekerja dengan penyanyi antarabangsa seperti Maroon 5, Rihanna dan Pink.