“30 minit pun dah bahang, inikan 5,6 jam dalam PPE. Macam sauna pun ada.“ – Bagi frontliner, Ramadan bukan cuma soal tahan lapar, dahaga
Oleh Dr Muhammad Afnan Mohd Fakhrurazi
“Dikenakan home isolation, sebelum ini selepas ada kontak rapat dengan pesakit disahkan positif Covid-19, terdetik rasa risau. Bukan sebab takutkan virus, tapi risau kalau kita positif dan menjadi penyebab tersebar wabak.”
RAMADAN menjengah lagi, memberi makna lebih mendalam apabila mentafsirkan apa itu pengorbanan. Ujian getir buat dunia seluruhnya yang sedang dilanda wabak coronavirus, musuh halimunan yang telah menjangkiti hampir 3 juta manusia.
Alhamdulillah, sehingga sekarang saya masih diberi nikmat kesihatan, mampu bekerja seperti biasa, menyumbang dan mengembeling tenaga untuk bersama, berjuang menentang pandemik ini. Letih, tapi tiada istilah burnt out.
Ya, Alhamdulillah masih lagi mampu dan dalam keadaan 100 peratus untuk bersama kerajaan menangani krisis ini.
Dikenakan home isolation, sebelum ini selepas ada kontak rapat dengan pesakit disahkan positif Covid-19, terdetik rasa risau. Bukan sebab takutkan virus, tapi risau kalau kita positif dan menjadi penyebab tersebar wabak.
“… luluh hati melihat pesakit tiada ahli keluarga dapat bersama, mendoakan, mengajar kalimah Syahadah buat kali terakhir.”
Bagi petugas medikal, paling gusar kalau kita yang sepatutnya merawat pesakit, sebaliknya menjadi kluster baru yang menyebabkan kes bertambah. Balik bekerja, kita fikirkan ahli keluarga, anak isteri, mak ayah kerana mereka paling mudah dijangkiti, dapat komplikasi.
Petugas medikal HRPZ II siap untuk memulai tugas
Sut PPE (peralatan perlindungan diri) itu sajalah pendinding kami, ibarat senjata di medan peperangan. Saya akui, memakai sut lengkap PPE memang tidak selesa. Baru 30 minit pun dah rasa bahang panas, jadi bayangkan ada staf terpaksa pakai berjam-jam, sehingga 5,6 jam. Boleh bayangkanlah perasaannya, macam sauna pun ada. Tambah sekarang, berpuasa. Saya sendiri, sukar untuk melakukan prosedur, seolah-olah memakai baju tebal. Pergerakan pun susah tapi nak tak nak, kena pakai juga untuk keselamatan diri.
“… barisan hadapan, daripada polis, bomba, tentera ke staf kesihatan, semua berusaha sedaya upaya untuk menangani pandemik ini. Tak boleh hargai juga? Jangan perlekehkan.”
Kekuatan mental juga teruji, terutama apabila perlu berdepan pesakit yang mahu menghembuskan nafas terakhir. Terngiang-ngiang, cerita seorang kawan yang luluh hati melihat pesakit tiada ahli keluarga dapat bersama, mendoakan, mengajar kalimah Syahadah buat kali terakhir.
Cuma ada, petugas kesihatan dengan sut PPE. Tiada ahli keluarga dapat mengucup buat kali terakhir, tiada yang boleh berada di sisi pesakit ini. Ia tidak mudah, walaupun untuk kami.
Lantas, apabila viral cerita golongan yang digelar kluster kayangan, isu permintaan yang bermacam-macam, memperlekehkan petugas medikal… mungkin disebabkan faktor stres, dikuarantin lama tapi ia bukan alasan sebab barisan hadapan, daripada polis, bomba, tentera ke staf kesihatan, semua berusaha sedaya upaya untuk menangani pandemik ini.
Tak boleh hargai juga? Jangan perlekehkan. Ramai bagaimanapun, kalangan rakyat yang menyuarakan penghargaan terhadap barisan hadapan namun kemusnahan telah berlaku dan memaliti kami. Bukan masa untuk menunding jari, sebaliknya kita bekerjasama, faham situasi, pasti kita menang dalam perjuangan ini.
Sut lengkap PPE ibarat senjata buat barisan hadapan
Sepanjang berdepan dengan virus pandemik ini, bermula seawal Januari sebelum memuncak seperti sekarang ini, bermula dengan Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP pada 18 Mac lalu dan kini, memasuki Fasa 4 iaitu sehingga 12 Mei nanti, membuatkan ramai pihak yang letih dengan PKP. Ada yang hilang mata pencarian, ada tidak dapat berjumpa keluarga, ada yang terpisah kerana bekerja berjauhan daripada keluarga, tidak dapat bertemu anak isteri.
Begitu pun, bukan alasan untuk kita melanggar arahan keselamatan dan untuk terus menutup sebelah mata, tidak mendengar saranan kerajaan bagi mengelak penularan wabak Covid-19 menjadi lebih teruk. Sepatutnya PKP yang sudah berlanjutan ke Fasa 4 ini membuat kita nampak kenapa kerajaan sanggup keluarkan bajet tinggi, membantu rakyat kerana keutamaan sekarang ialah membendung negara daripada menerima nasib sebagaimana China, Itali dan sekarang, Amerika Syarikat yang kini, paling terjejas teruk.
Pelaksanaan dasar PKP menunjukkan trend wabak menurun, sikit lagi kita bersabar InsyaAllah, kita mampu menurunkan kes sehingga tiada kes. Ini yang kami, para barisan hadapan perlukan daripada anda, rakyat. Bantu dengan bekerjasama, patuh PKP dan amalkan langkah-langkah pencegahan iaitu penjarakan sosial semeter, kebersihan tangan, gunakan topeng muka jika ada simptom, gunakan cecair pencuci tangan jika ke pasar, tidak berkumpul beramai-ramai.
Dr Muhammad Afnan ketika menerima sumbangan PPE daripada KHOM untuk barisan hadapan
Bantu barisan hadapan anda untuk membantu anda, elak menyebabkan kluster baru.
Jika semua pihak bekerjasama, InsyaAllah kita mampu menang. Sinar sudah kelihatan tapi janganlah kita jadi penyebab sinar yang sudah ada menjadi malap dan mendorong apa yang dicapai sebaliknya menjadi lebih teruk.
Ujian Ramadan, bagi umat Islam, tersisip hikmah luar biasa kurniaan Yang Maha Esa. Doa saya agar kita semua diberi kekuatan dan terus berada dalam rahmatNya. Di kesempatan ini, saya memohon maaf sekiranya ada salah silap, baik dalam pertuturan atau perbuatan. Saya juga manusia, tidak lepas daripada membuat kesalahan.
Selamat menjalani ibadah Ramadan.
Dr Muhammad Afnan Mohd Fakhrurazi, 29, adalah Pegawai Perubatan, Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi, Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Baharu, Kelantan. Bapa penyayang, keserasian bersama pasangan, juga seorang doktor, membawa ke lapangan dan kini, berjuang sama di barisan hadapan.