Niaga Sambil Menderma, Lebih 100 Selebriti Siap Jelajah Johor
Ke selatan kita, mulai 29 Januari ini, sertai artis popular seperti Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Afdlin Shauki meriahkan Expo Jom Niaga Jelajah Johor 2020

Foto Mewah Event Management

JOHOR. Bukan hanya ngauman di padang bola dengan gelar Harimau Selatan, malah kepelbagaian budaya, kesenian dan makanan tradisinya turut menjadikan negeri paling selatan di Semenanjung Malaysia ini cukup unik.

Diangkat sebagai antara acara utama dalam kalendar Tahun Melawat Johor 2020, Expo Jom Niaga Jelajah Johor 2020 yang membawa keunikan budaya masyarakat Johor juga dianjurkan dengan objektif “berniaga sambil menderma.”

Penyelaras Program, Hairol Nazli Hamdan, dalam satu sidang media, berkongsi tarikannya:

JOHOR 2020 ESKTRA MERIAH

Tahun Melawat Johor 2020 yang ekstra meriah, serentak dengan keraian Tahun Melawat Malaysia 2020, sesuai kedudukan Johor sebagai pintu masuk utama negara dari selatan, iaitu Singapura dan Indonesia, menerusi Batam.

Dianjurkan Persatuan Peniaga & Penjaja Bazar Siang & Malam Negeri Johor, Expo Jom Niaga Jelajah Johor 2020 yang turut mendapat sokongan Kerajaan Negeri bakal diadakan secara bulanan sepanjang tahun ini, membabitkan jelajah ke 11 daerah, bermula di Muar pada 29 Januari ini.

JELAJAH LEBIH 100 SELEBRITI

Jelajah ke 11 daerah bakal disertai lebih daripada 100 selebriti tanahair menerusi pelbagai program, antaranya persembahan, berniaga sehinggalah pertandingan pentas lawak, malah memasak.

Selain Jamal Abdillah dan Afdlin Shauki, ekspo berkenaan turut mendapat sokongan Jamal Mirdad, BPR, XPDC, Shidi Data, Poey Sting, Gimie Screen, Nizam Laksamana selain Persatuan Seniman Malaysia yang diterajui Zed Zaidi.

Juga Azlan Typewritter, Aweera Pelita Lusoh, Moliano Love Hunters dan Khai Nizam.

MADE IN JOHOR

Sebagai platform memperkenalkan budaya, kesenian dan makanan tradisi di setiap daerah, ekspo turut bakal dimanfaatkan untuk memperkenalkan produk-produk usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Johor.

“Memandangkan Expo Jom Niaga Jelajah Johor 2020 juga adalah salah satu program utama yang berada di dalam kalendar Tahun Melawat Johor 2020, perlu diwujudkan ekspo yang mampu menampilkan keunikan budaya dan cara hidup bangsa Johor kepada umum,” kata Hairol Nazli.

NIAGA SAMBIL MENDERMA

#sambilmeniaga #sambilmenderma dipromosi dalam menyokong usaha meningkatkan ekonomi para usahawan IKS selain ahli Persatuan Peiaga & Penjaja Bazar Siang & Malam Negeri Johor, sambil menanam konsep syukur dan sedekah. “Usaha menggalak pertumbuhan ekonomi diperkasa dengan kebajikan, di mana sebahagian daripada hasil jualan akan disalurkan kepada badan kebajikan yang mengikuti ekspo ini,” kata Hairol Nazli mengenai kerjasama dengan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor 2020.

ZAPIN, GHAZAL KE KING SPONTAN

Apalah Johor tanpa zapinnya? Tidak hanya itu, pengisian ekspo juga akan disempurnakan dengan persembahan serta penampilan selebriti terkenal, selain ghazal dan keroncong, juga pertandingan kompang dan Master Chef Jelajah Johor.

Selain puluhan ruang pameran dan jualan, termasuk disertai usahawan food truck dalam kalangan anak-anak muda, Jelajah 2020 ini akan dimeriahkan acara berbasikal Night Fun Ride dan sesi King Spontan bagi mencungkil bakat di pentas lawak.