50 Filem Peribumi di International Indigenous Film Festival Kuching Buat Santapan Jiwa
Julung kali di Rainforest Fringe Festival 2019, menampilkan 20 pembikin filem antarabangsa, selain Malaysia dengan karya mereka, bermula 7 Julai ini.
Oleh Zurina Waji
DILAHIRKAN sebagai perempuan, di tengah konflik antara puak, di mana kahwin paksa, kemiskinan, buli dan keganasan rumahtangga seakan satu norma kehidupan yang mendorong anda untuk bertanya kembali: Adilkah?
Alika Ambai, sebuah filem karya Diane Anton dan Mark Eby mengajak audiens melihat permasalahan ini daripada sudut pandangan dua gadis dalam masyarakat peribumi yang berdepan cabaran, membesar di Papua New Guinea.
Isu yang menghambat wanita ini adalah antara 50 filem cereka dan filem pendek atau dokumentari yang dijadualkan untuk tayangan sepanjang International Indigenous Film Festival Kuching yang diluncurkan bersempena Rainforest Fringe Festival (RRF) 2019 sebagai pembuka keraian tahunan Rainforest World Music Festival.
“Festival ini adalah sebagai platform kepada pembikin filem di kalangan masyarakat peribumi untuk mempertontonkan karya mereka, sekaligus menjangkau lebih ramai audiens dan untuk menjalin kolaborasi dan mewujudkan rangkaian,” menurut kenyataan oleh penganjur, Joe Sidek Productions.
RRF yang akan berlangsung selama lapan hari, mulai 7 Julai ini, diisi dengan pelbagai program seperti Asas Melayu dan pertunjukkan fesyen yang memperlihatkan kekayaan seni songket dan keringkam Sarawak, dan Ink Kuching mengenai pembikinan tatu tradisional.
International Indigenous Film Festival yang dibangunkan pada 2018 oleh Emmanuela Shinta dan David Metcalf di Bali, Indonesia, diperkenalkan pada edisi ke-3 RFF ini yang turut menyaksikan penyertaan 20 pembikin filem daripada 13 negara seperti Australia, India, Equador, Kanada dan Thailand, selain Malaysia.
Tidak hanya menonton, audiens juga berpeluang mengikuti sesi dialog bersama sutradaranya. Bukan hanya sebuah acara previu filem, kenyataan itu juga menyebut, audiens juga boleh meneroka isu berkaitan masyarakat peribumi dengan lebih mendalam.
Menjunjung Malaysia, Iman Untuk Bulan yang mengisahkan perhubungan antara seorang bapa dan anak perempuannya. Filem garapan Dain Said ini dibintangi Alena Murang, penyanyi dan pemuzik sape berdarah Kelabit-Inggeris-Itali dan Mathew Ngau Jau yang merupakan pemuzik sape Kenyah dihormati.
Sedang filem seperti Ngera’ arahan Timotius akan membawa anda ke Kalimantan, memahami masyarakat Dayak Seberuang yang mempercayai padi sebagai sumber hidup atau semangat. Atau, ke India bersama Niyamgiri: Mountain of Law karya Surya Shankar yang menyentuh perjuangan satu masyarakatnya bagi mendapatkan hak tanah dan keadilan.
Jadi, mana satu pilihan antara 50 judul yang bakal dipertontonkan? Jumpa di Kuching!
AKSES
7 Julai – 12 Julai 2019
Old Court House Auditorium, Kuching, Sarawak
TIKET
RM30, biasa manakala pelajar dan warga emas, RM15
Info FB Rainforest Fringe Festival; atau layari laman sesawang www.rainforestfringe.com